IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Ahad, 16 Disember 2012

Fandi optimis Johor Darul Takzim mampu mara jauh

 
Fandi AhmadKetua jurulatih Johor Darul Takzim FC, Fandi Ahmad optimis bahawa pasukannya mampu melangkah ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala FA yang bermula 25 Januari ini.

Dalam undian Piala FA 2013 di Shah Alam hari ini, Johor Darul Takzim akan menentang Perak pada perlawan pusingan pertama.
Ketika ditemui pemberita selepas undian itu, Fandi berkata pertemuan dengan Perak merupakan satu perlawanan yang dijangka sengit namum mereka memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.

Bagaimanapun, bintang lagenda bola sepak Singapura berusia 50 tahun itu tidak meletakkan sasaran awal meskipun pasukan itu dibarisi beberapa pemain kebangsaan termasuk penyerang Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha.

“Saya bagaimanapun berkeyakinan mampu mengembalikan pasukan ini sebagai sebuah pasukan yang disegani dalam masa dua tahun lagi,” kata Fandi.

Pasukan Johor itu mula mendapatkan perhatian peminat bola sepak negara apabila mereka mula mendapatkan pemain-pemain bintang termasuk bekas kapten Selangor, Safiq Rahim serta pasangan kembar Mohamad Aidil dan Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak.

Pasukan itu turut membawa masuk bintang Sepanyol Daniel Guiza serta bekas pemain kelab Lazio dari Itali, Simone Del Nero untuk memantapkan lagi pasukan tersebut bagi menghadapi Liga Super musim depan.
Fandi berkata, kesemua pemain baharu yang mengikat kontrak bersama pasukan berkenaan akan menjalani latihan pusat sebaik sahaja skuad kebangsaan menamatkan aksi mereka pada Piala AFF Suzuki yang sedang berlangsung ketika ini.

Sementara itu, Perak merancang dua perlawanan persahabatan menentang kelab Liga Singapura, Balestier Khalsa FC dari Singapura pada 18 dan Johor pada 22 Disember ini sebagai persiapan terakhir menghadapi Liga Super 2013 yang bermula 8 Januari depan.

Ketua jurulatihnya, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, kelab Singapura itu telah mengesahkan perlawanan itu manakala Johor belum memberikan kata putus.

Beliau berkata, sekiranya pertemuan dengan Johor tidak dapat diadakan maka mereka akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan sebuah pasukan Liga Perdana bagi menguji barisan pemain.

Mengulas mengenai pertemuan dengan pasukan berstatus ‘bintang’, Darul Takzim itu, Mohd Azraai Khor berkata beliau yakin anak didiknya mampu memberikan persembahan terbaik pada perlawanan berkenaan.
“Saya akui begitu bermotivasi untuk bertemu pasukan Darul Takzim FC yang bakal dibarisi ramai pemain kebangsaan namun saya yakin anak buah saya mampu memberi kejutan pada perlawanan itu nanti,” katanya.
Skuad Seladang sebelum ini telah berjaya mendapatkan beberapa pemain tempatan untuk memperkuatkan pasukan seperti bekas penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd Farizal Marlias, bekas penyerang Terengganu Abdul Hadi Yahya, bekas pemain tengah Felda United Yong Kuong Yong dan bekas pertahanan Kedah, V. Thirumurugam.

Mereka turut mendapatkan khidmat dua pemain import iaitu bekas penyerang kelab BEC Tero Sasana, Karim Rouani dari Perancis dan bekas pertahanan kelab Bangkok Glass FC, Rafael Souza Silva Novais dari Brazil.

JDTns- sinar

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com