IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Ahad, 30 Disember 2012

Kanak-kanak maut terjatuh tingkat lapan kuarters hospital

JOHOR BAHRU - Betapa luluhnya hati seorang ayah apabila kanak-kanak yang sedang nyawa-nyawa ikan, dikerumuni orang ramai, rupanya anak sendiri yang baru jatuh dari kediamannya.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, mangsa, D Dinesh Kumar disahkan maut di tempat kejadian dipercayai akibat patah tengkuk.

Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu maut selepas terjatuh dari tingkat lapan Blok Cemara 2, Flat Kuaters Hospital Permai, di sini, kelmarin.

Bapa mangsa, B Devakumar, 22, berkata, ketika kejadian, dia tiada di rumah, manakala isterinya, V Jayaturka, 22, sedang mandi dan tiga anaknya termasuk mangsa pula sedang bermain di sebuah bilik kosong rumah berkenaan.

“Saya pergi kedai yang tidak jauh dari kediaman kami untuk membeli barangan untuk menyediakan hidangan makan malam. Apabila pulang, saya lihat orang ramai berkumpul dan saya sangkakan ada budak yang terjatuh ketika bermain-main di tingkat bawah.

“Saya langsung tidak menyangka tubuh kecil yang terbaring seperti ‘nyawa-nyawa ikan’ adalah anak sulung saya.

Dia sempat membuka mata dan memandang saya apabila saya memanggil namanya sebelum tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, semalam.

Devakumar yang bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat di Singapura itu berkata, ada saksi ternampak separuh tubuh anaknya itu terkeluar dari tingkap rumah yang dihuni bersama ibu mertua dan abang iparnya lebih setahun yang lalu sebelum terjatuh dari bangunan terbabit.

Beliau berkata, seminggu sebelum kejadian, anaknya menunjukkan perubahan sikap yang ketara apabila dia terlalu mengambil berat terhadap adik bongsunya yang berusia setahun dan petah menyebut abjad A hingga Z dengan lancar.

“Sebelum ini dia agak lambat dalam menyebut A,B,C.

Bagaimanapun, seminggu sebelum kejadian, dia dengan mudah dapat menghafal semua abjad berkenaan.

“Malah, dia juga menunjukkan penuh kasih sayangnya sebagai seorang abang kepada adik perempuannya dengan selalu bermain dan mandi bersama. Perkara itu memang  tidak pernah dilakukan olehnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Biarpun begitu, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kita juga menunggu laporan penuh bedah siasat bagi memastikan sama ada terdapat unsur-unsur kecuaian ibu bapa,” katanya.

JDTns - sinar

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com