IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Sabtu, 12 Januari 2013

Harimau Selatan atasi aksi 9 pemain Perak

Pemain pasukan Johor Darul Takzim, Aidil Zafuan menanduk bola ke gawang pasukan Perak dalam suasana kelam kabut dalam kotak penalti pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi. Johor Darul Takzim menang 1-0. - 
 


JOHOR BAHRU - Johor Darul Takzim melakar kemenangan sulung selepas menewaskan Perak 1-0 yang terpaksa beraksi dengan sembilan pemain pada separuh masa kedua pada saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini, semalam.

Gol kemenangan Harimau Selatan diperoleh menerusi Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak pada minit ke-47 dan kejayaan meraih tiga mata itu ternyata menceriakan lebih 25,000 penyokong setia Harimau Selatan.
Selepas tewas 2-3 kepada Pahang baru-baru ini, jurulatih, Fandi Ahmad melakukan sedikit rombakan dengan meletakkan Aidil Zafuan dan Mohd. Faizal Mansor di posisi pertahanan bergandingan bersama Azmi Muslim dan Muslim Ahmad manakala Mohd. Zamir Selamat menggantikan Muhammad Al-Hafiz Hamzah sebagai penjaga gol.

Penguasaan tuan rumah bermula seawal minit keenam apabila Safiq Rahim hampir membuka tirai jaringan melalui sepakan lambung dari luar kotak penalti, namun sedikit tersasar dan tandukan Aidil selang empat minit hasil sepakan penjuru sekadar melepasi palang.

Tuan rumah memiliki dua peluang terbaik pada minit ke-24 dan ke-26 apabila diberikan sepakan percuma namun sepakan Safiq Rahim dinafikan penjaga gol pasukan pelawat, Mohd. Farizal Marlias.
Malang buat skuad kendalian Mohd. Azraai Khor Abdullah apabila Khairi Kiman dilayangkan kad merah kerana mengutip dua kad kuning pada minit ke-37 sebelum Mohd. Hisyamudin Mohd. Shaari muncul pemain kedua Perak mendapat kad merah, lapan minit kemudian.

Kelebihan dua pemain itu ternyata membuka peluang kepada tuan rumah mendapatkan gol dan Aidil Zafuan akhirnya muncul wira tuan rumah selepas berjaya menanduk masuk gol tunggal perlawanan hasil sepakan penjuru Safiq Rahim pada minit ke-47 menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.

Perak hampir mengejutkan tuan rumah dengan gol penyamaan, namun tandukan Rafael Souza Silva Novais pada minit ke-53 sekadar terkena palang dan tandukan susulan rakan sepasukannya Muhd. Shahrom Abd. Kalam melepasi palang gol.

Kemasukan Safee Sali pada minit ke-55 menggantikan Azmi Muslim tidak banyak memberikan impak kepada pasukan tuan rumah yang dilihat banyak mempersia-siakan peluang untuk menambah bilangan gol.
Nurul Azwan Roya gagal memanfaatkan peluang terbaik untuk menambah bilangan gol pada minit ke-90 apabila sepakan derasnya dari luar kotak penalti tersasar jauh.

Dalam satu lagi perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan harus berterima kasih kepada kecemerlangan kepada penjaga golnya, Mohd. Hamsani Ahmad yang berjaya menyelamatkan maruah tuan rumah apabila berjaya mengikat Terengganu dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Bekas penyerang Negeri Sembilan, Jean-Emmanuel Effa Owona gagal menterjemahkan deretan peluang dalam perlawanan yang menyaksikan penguasaan lebih banyak tertumpu kepada pasukan pelawat.
 
jdtNS- utusan sukan

Isnin, 7 Januari 2013

Rangka terbakar : Polis temui petunjuk baru

KOTA TINGGI - Susulan penemuan rangka manusia dalam sebuah kereta yang terbakar di ladang kelapa sawit Persatuan Nguangxi Johor berhampiran jalan pintasan Kota Tinggi kelmarin, polis mengesahkan rangka itu sebagai mayat seorang lelaki berbangsa Cina berusia 40-an.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik berkata, berdasarkan hasil bedah siasat, lelaki itu dipercayai dibunuh sebelum kenderaan jenis Fortuner milik mangsa dibakar di ladang kelapa sawit terbabit.

Polis juga menemui satu petunjuk baru apabila seorang remaja lelaki berusia 15 tahun membuat laporan mengenai kehilangan bapanya yang juga seorang kontraktor, di Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru, kira-kira jam 11.20 pagi, 5 Januari lalu.

“Remaja itu turut memaklumkan bapanya gagal dihubungi sejak 5 Januari lalu dan mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena berlaku.

“Berdasarkan laporan, dia juga memberitahu bapanya membawa kereta jenis yang sama dengan kenderaan yang ditemui di ladang kelapa sawit itu.

“Namun, pihak polis masih menjalankan siasatan pelbagai sudut termasuk menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengenal pasti warisnya  yang sebenar,” katanya.

Che Mahazan berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan, niat seorang pekerja ladang, Norlee Hazalee,34, hendak memulakan kerja terbantut apabila menjumpai rangka manusia di dalam sebuah kereta jenis Toyota yang telah hangus terbakar.

Dia yang terkejut segera memaklumkan kejadian itu kepada pemilik ladang sebelum membuat laporan polis.

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com