Mat Yo
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Tan Sri
Annuar Musa membidas kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor
(PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memintanya
menghentikan drama dan politik melibatkan Norshahrul Idlan Talaha.
Annuar berkata, dalam isu penyerang itu, yang turut dikenali sebagai
Mat Yo, yang patut berhenti drama dan bersikap profesional adalah Tunku
Ismail sendiri kerana isu tebus kontrak adalah antara pemain itu dengan
bekas majikannya.
“Sebenar saya belum pernah membuat sebarang komen secara langsung
terhadap Presiden PBNJ kerana saya memandang tinggi dan hormat statusnya
sebagai seorang anak Raja bergelar Tengku Mahkota.
“Namun hari ini saya terpanggil memberi reaksi dan juga ingin menegur
Presiden PBNJ agar jangan keterlaluan dalam berkata atau berbuat
sesuatu kerana dalam sukan dan persatuan hanya ada satu peraturan untuk
semua tanpa adanya beza berasaskan ras, warna kulit, pangkat atau
keturunan,” kata Annuar yang dipetik menerusi laman Facebokknya,
semalam.
Dalam laporan semalam, Tunku Ismail mahu Annuar menghentikan drama dan politik melibatkan Mat Yo.
Baginda juga mahu Annuar lebih bersikap matang dan profesional dalam mengendalikn pasukan bola sepak.
Tunku Ismail memberi jaminan Mat Yo akan membayar harga tebus kontrak seperti diminta Kafa.
"Jangan panjang-panjangkan cerita. Dia (Mat Yo) akan bayar (harga tebus
kontrak) pada hari ini. Anda (Annuar) perlu matang. Dalam sukan bola
sepak, mesti ada pemain yang datang dan pergi. Anda perlu terima dan
bersikap profesional.
"Sebagai contoh, jika satu hari nanti Safee Sali mahu keluar dari
pasukan, saya akan terima. Beliau (Annuar) sepatutnya berterima kasih
kepada Mat Yo atas sumbangan diberikan dan bukannya bercakap benda
kurang menyenangkan terhadap pemain ini,” katanya.
Dalam pada itu, Tunku Ismail turut berkata, Mat Yo akan menjelaskan
bayaran harga tebus kontrak sebanyak RM250,000 seperti ditetapkan oleh
FAM.
Mengulas mengenai jumlah bayaran harga tebus kontrak sebanyak RM250,000
yang ditetapkan oleh FAM seperti yang dinyatakan Tunku Ismail, Annuar
menyifatkan kenyataan Presiden PBNJ itu satu pembohongan.
Beliau menegaskan, isu tebus kontrak tidak kena-mengena dengan pihak
ketiga iaitu PBNJ, malah kenyataan Tunku Ismail adalah bukti campur
tangan dan 'inducement' di luar peraturan dan etika oleh Johor yang
menjadi punca isu semasa.
“PBNJ hanya terkait isu perpindahan yang kita tiada halangan mengenainya bila isu tebus kontrak oleh Mat Yo selesai.
“Jadi, isu kontrak tak ada kena-mengena dengan PBNJ. Mereka tak perlu
memberi jawapan kononnya hari ini nak bayar RM250,000 dan kononnya FAM
sudah putuskan jumlah tersebut, ia adalah satu pembohongan.
“Sedangkan FAM belum membuat keputusan, lagipun FAM sudah menetapkan
bahawa kedua pihak Kafa dan Mat Yo memfailkan afidavit untuk dinilai
oleh Jawatankuasa Status Rayuan,” ujarnya.
Tambah Annuar: “Setakat yang kita tahu jawatankuasa belum lagi berbuat
demikian, kita belum dimaklum apa-apa dan kita tunggu saja."
“Jadi, tidak perlu Presiden PBNJ cuba menggunakan nama FAM. Had
RM250,000 yang dirujuk adalah had bayaran perpindahan kiranya antara
kelab gagal sepakat, namun ia tidak merujuk kepada jumlah pampasan
terkait dari ingkar kontrak antara kedua-dua pihak yang ada prosedur
menentukannya," katanya.
Sehubungan itu, Annuar mahu Presiden PBNJ yang jauh lebih muda
daripadanya agar turut belajar jadi matang dan jangan berdrama serta
mengelirukan fakta.
“Tunku Ismail perlu belajar merendah diri, sabar mengikut peraturan dan
biarlah benar-benar profesional sebelum mahu menegur persatuan atau
orang lain,” jelas beliau.
JDTns - Sukan Sinar