IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Ahad, 24 Februari 2013

Ben, Ruby tarikan baharu Zoo Johor

Mohd. Nazri Mansor (kiri) memegang Ben manakala Raja Zulkifli Raja Hassan memegang Ruby, masing-masing baharu berusia sebulan di Zoo Johor, Johor Bahru


 
JOHOR BHARU 18 Feb. - Orang ramai berpeluang untuk melihat dan berjinak-jinak dengan 'anak buah' baharu Zoo Johor iaitu dua ekor anak harimau yang diberi nama Ben dan Ruby bermula Mei ini.

Pengasuh haiwan berkenaan, Mohd. Nazri Mansor berkata, kedua-dua haiwan comel itu baharu berusia sebulan dan memerlukan masa kira-kira tiga bulan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling sebelum dipertontonkan kepada umum.

Menurutnya, anak harimau spesies Malayan Tiger itu dilahirkan pada pukul 5 pagi, 18 Januari lalu memerlukan penjagaan rapi serta perlu dilatih supaya mudah mesra dan tidak kekok berhadapan dengan orang ramai.

"Sekarang ini, Ruby (harimau betina) dilihat cukup aktif dan lasak berbanding Ben (harimau jantan) yang lebih pasif dan cuba membiasakan diri dengan keadaan sekeliling.

"Kedua-dua haiwan berkenaan kini di tempatkan dalam kurungan dan dijaga rapi oleh pengasuhnya sebelum dipamerkan kepada pengunjung," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi pengasuh haiwan berkenaan, Raja Zulkifli Raja Hassan berkata, kedua-dua anak harimau itu hanya minum susu setiap dua jam bagi menguatkan tulang dan membolehkan mereka bergerak aktif.

"Setiap dua jam, saya akan memastikan mereka minum susu untuk memastikan tumbesaran kerana pada umur sebegini mereka belum boleh makan daging," katanya.

JDT- utusan

Felda sedia 3,615 rumah untuk anak peneroka

NUSAJAYA 20 Feb. - Kerajaan negeri meluluskan kawasan seluas 180 hektar di 10 tanah rancangan Felda di negeri ini untuk membina projek perumahan kos sederhana dan rendah bagi 3,615 penduduk generasi kedua.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kesenian Kebudayaan dan Warisan negeri, Asiah Md. Ariff berkata, projek berkenaan merupakan sebahagian usaha kerajaan menyediakan penempatan untuk generasi kedua yang masih tiada rumah sendiri.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 413 pemohon adalah dari Felda Papan Timur, 320 pemohon dari Felda Bukit Aping Barat manakala Felda Tenggaroh 2 dan 5, masing-masing melibatkan 552 serta 584 permohonan.

Pemohon lain katanya, termasuk sebanyak 560 orang dari Felda Tunggal, Felda Air Tawar 3 (277), Felda Sungai Sibol (284), Felda Simpang Waha (240), Felda Air Tawar 4 (146) serta Felda Lok Heng Timur (240).

“Kerajaan hanya menyediakan tanah namun kos pembinaan rumah yang hendak dibina ditanggung sendiri pemohon. Bagi membina rumah tersebut, pemohon boleh memilih sama ada membinanya sendiri atau menerusi kerjasama Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB)," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Asiah berkata, projek sedemikian sebelum ini memberi manfaat kepada 2,418 orang generasi kedua Felda yang menyaksikan pemohon yang layak diberi notis 5A dan hak pemilikan tanah, malah ada yang sudah menetap di kediaman yang didirikan manakala selebihnya masih menanti kediaman mereka dibangunkan SPNB.

JDT- Utusan.

Rumah mampu milik diperbanyakkan

ABDUL Ghani Othman menyerahkan replika kunci rumah kepada Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Taman Sri Nilam, Zakaria Othman (tiga dari kanan) pada Majlis Penyerahan Kunci dan Sijil Layak Menduduki di Taman Sri Nilam dekat Tangkak, Ledang, Johor, kelmarin. 
 


LEDANG 23 Feb. - Kerajaan merancang membina lebih banyak rumah mampu milik bagi membantu golongan berpendapatan rendah termasuk pekerja ladang memiliki rumah sendiri, sekali gus dapat menikmati kehidupan lebih selesa.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, kerajaan sedar ramai pekerja ladang yang terpaksa tinggal di kuarters atau rumah milik ladang ketika bekerja kerana ketiadaan rumah sendiri.

"Tetapi selepas bersara mereka terpaksa meninggalkan kuarters dan perlu mencari rumah lain yang lebih selesa bagi keluarga. Kerajaan prihatin dengan masalah ini," katanya pada Majlis Penyerahan Sijil Kelayakan Memiliki Projek Perumahan Terbengkalai Taman Sri Nilam di Tangkak semalam.

Yang turut Hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Ahmad Zahari Jamil; Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Goh Tee Tee; ADUN Gambir, M. Asojan dan Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin.

Abdul Ghani berkata, terdapat beberapa skim perumahan untuk golongan berpendapatan rendah tetapi projek itu terbengkalai sehingga membebankan pembeli.

Beliau berkata, ramai pembeli membuat pinjaman bank untuk membeli rumah itu tetapi apabila projek tersebut terbengkalai, mereka terpaksa menanggung beban hutang dengan menjelaskan bayaran bulanan pinjaman dan pada masa sama tidak dapat memiliki rumah itu.

"Kerajaan sedar perkara itu dan mengambil keputusan untuk menyelesaikan masalah rumah terbengkalai di negeri ini dan salah satunya adalah di Taman Seri Nilam di sini," katanya.

Beliau berkata, Taman Seri Nilam mempunyai 180 unit rumah kos sederhana rendah yang dibina pada 2002, tetapi terbengkalai lebih 12 tahun lalu.

Menurutnya, kerajaan memberi peruntukan sebanyak RM6.2 juta untuk meneruskan semula projek itu yang dibangunkan pemaju swasta sehingga berjaya disiapkan empat bulan lebih awal daripada tempoh masa yang ditetapkan.

"Pemaju mengambil masa kira-kira lapan bulan untuk menyiapkan projek ini dengan kerjasama semua jabatan kerajaan di Ledang dan rumah ini selamat untuk diduduki.

"Hari ini kita dapat melihat wajah gembira pemilik rumah yang sudah menunggu lama untuk mendapatkan kunci rumah ini," katanya.
 
JDT- Utusan

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com