IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Sabtu, 26 Januari 2013

SANTAI ; Tanda-tanda orang yang sayang padamu.

TANDA ORANG YANG SAYANG PADAMU


 1] Orang yang mencintai kamu tidak pernah mampu memberikan alasan kenapa dia mencintai kamu. Yang dia tahu di hati dan matanya hanya ada kamu satu-satunya.

 2] Walaupun kamu sudah memiliki teman istimewa atau kekasih, dia tidak peduli! Baginya yang penting kamu bahagia dan kamu tetap menjadi impiannya.

3] Orang yang mencintai kamu selalu menerima kamu apa adanya, di hati dan matanya kamu selalu yang terbaik walaupun mungkin kamu merasa berat badan kamu sudah bertambah.

4] Orang yang mencintai kamu selalu ingin tahu tentang apa saja yang kamu lalui sepanjang hari ini, dia ingin tahu kegiatan kamu.

5] Orang yang mencintai kamu akan mengirimkan SMS seperti ‘selalmat pagi’, ‘take care’, dan lain-lain lagi, walaupun kamu tidak membalas SMS-nya, kerana dengan kiriman SMS itu lah dia menyatakan cintanya, menyatakan dalam cara yang berbeza, bukan “aku CINTA padamu”, tapi berselindung selain kata cinta.

6] Jika kamu menyambut hari jadi dan kamu tidak mengundangnya ke majlis yang kamu adakan, setidak-tidaknya dia akan menelefon untuk mengucapkan selamat atau mengirim SMS.

7] Orang yang mencintai kamu akan selalu mengingati setiap kejadian yang dia lalui bersama kamu, bahkan mungkin kejadian yang kamu sendiri sudah melupakannya, kerana saat itu ialah sesuatu yang berharga untuknya. dan saat itu, matanya pasti berkaca. kerana saat bersamamu itu tidak boleh berulang selalu.

8] Orang yang mencintai kamu selalu mengingati setiap kata-kata yang kamu ucapkan, bahkan mungkin kata-kata yang kamu sendiri lupa pernah mengungkapkannya. kerana dia menyematkan kata-katamu di hatinya, berapa banyak kata-kata penuh harapan yang kamu tuturkan padanya, dan akhirnya kamu musnahkan? pasti kamu lupa, tetapi bukan orang yang mencintai kamu.

9] Orang yang mencintai kamu akan belajar menggemari lagu-lagu kegemaran kamu bahkan mungkin meminjam CD milik kamu, kerana dia ingin tahu apa kegemaran kamu – kesukaan kamu kesukaannya juga, walaupun sukar meminati kesukaan kamu, tapi akhirnya dia berjaya.

10] Kalau kali terakhir kalian bertemu kamu mungkin sedang selesema, atau batuk-batuk, dia akan sentiasa mengirim SMS atau menelefon untuk bertanya keadaan kamu bahkan dia sanggup kirimkan makanan buatmu walaupun dia ada komitmen lain yang lebih penting. Baginya kamu adalah lebih penting pada waktu itu. kerana dia bimbangkan tentang kamu, peduli tentang kamu.

11] Jika kamu mengatakan akan menghadapi ujian, dia akan menanyakan bila ujian itu berlangsung, dan saat harinya tiba dia akan mengirimkan SMS ‘good luck’ untuk memberi semangat kepada kamu.

 12] Orang yang mencintai kamu akan memberikan suatu barang miliknya yang mungkin buat kamu itu ialah sesuatu yang biasa, tetapi baginya barang itu sangat istimewa.

13] Orang yang mencintai kamu akan terdiam sesaat, ketika sedang bercakap di telefon dengan kamu, sehingga kamu menjadi bingung. Sebenarnya saat itu dia merasa sangat gugup kerana kamu telah menggegarkan dunianya.

14] Orang yang mencintai kamu selalu ingin berada di dekat kamu dan ingin menghabiskan hari-harinya hanya dengan kamu.

15] Jika suatu saat kamu harus pindah ke daerah lain, dia akan sentiasa memberikan nasihat agar kamu waspada dengan persekitaran yang boleh membawa pengaruh buruk kepada kamu dan jauh dihatinya dia benar-benar takut kehilangan kamu.

16] Orang yang mencintai kamu bertindak lebih seperti saudara daripada seperti seorang kekasih.

17] Orang yang mencintai kamu sering melakukan hal-hal yang SENGAL seperti menelefon kamu 100 kali dalam masa sehari. Atau mengejutkan kamu di tengah malam dengan mengirim SMS. Sebenarnya ketika itu dia sedang memikirkan kamu.

18] Orang yang mencintai kamu kadang-kadang merindukan kamu dan melakukan hal-hal yang membuat kamu pening kepala. Namun ketika kamu mengatakan tindakannya itu membuat kamu terganggu dia akan minta maaf dan tak akan melakukannya lagi.

19] Jika kamu memintanya untuk mengajarimu sesuatu maka ia akan mengajarimu dgn sabar walaupun kamu mungkin orang yang terbodoh di dunia!. bahkan dia begitu gembira kerana dapat membantu kamu. dia tidak pernah mengelak dari menunaikan permintaan kamu walau sesukar mana permintaanmu.

 20.Kalau kamu melihat handphone-nya maka nama kamu akan menghiasi sebahagian besar INBOX-nya. Dia masih menyimpan SMS-SMS dari kamu walaupun kamu kirim berbulan-bulan atau bertahun-tahun yang lalu. Tak percaya? Cuba ‘curi’ hp-nya seketika pabila dia terleka atau tertinggal di mejanya.

21] Dan jika kamu cuba menjauhkan diri daripadanya atau memberi reaksi menolaknya, dia akan menyedarinya dan menghilang dari kehidupan kamu, walaupun hal itu membunuh hatinya.

 22] Jika suatu saat kamu merindukannya dan ingin memberinya kesempatan dia akan ada menunggu kamu kerana sebenarnya dia tak pernah mencari orang lain. Dia sentiasa menunggu kamu.

23] Orang yang begitu mencintaimu, tidak pernah memaksa kamu memberinya sebab dan alasan, walaupun hatinya meronta ingin mengetahui, kerana dia tidak mahu kamu terbeban dengan karenahnya. saat kau pinta dia berlalu, dia pergi tanpa menyalahkan kamu, kerana dia benar-benar mengerti apa itu cinta.  

JDTns

Johor 'Messi' dapat simpati

Kementerian Pelajaran mahu bantu Sufian masuk semula ke sekolah

Kuala Lumpur: Nasib seorang remaja, Sufian Mat, 17, yang tidak bersekolah sejak dua tahun lalu kerana kecewa selepas gagal menyertai Sekolah Sukan Bandar Penawar Johor (SSBP), mendapat perhatian Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

“Saya tidak akan membiarkan masalah dihadapi Sufian, saya akan cuba membantunya.

“Saya akan lakukan semakan bagi membolehkan dia bersekolah semula, tetapi bagi kemasukannya ke sekolah sukan bergantung kepada syarat tertentu dengan mengambil kira tahap pencapaiannya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Tidak bersekolah

Beliau mengulas laporan BH Sukan semalam mengenai seorang remaja yang sebelum ini mendapat jolokan 'Messi Malaysia' dan disebut-sebut bakal menggegar arena bola sepak tanah air, kini terbiar dan tidak bersekolah lagi.

Episod duka Sufian bermula apabila bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putera, Kota Bharu itu kecewa selepas namanya tidak tersenarai untuk ke SSBP pada 2007.

Keadaan menjadi semakin buruk apabila dia dibuang asrama kerana dikaitkan dengan insiden pergaduhan di sekolahnya.

Ibunya, Mahanun Mat, 39, berkata dia pernah menghubungi pihak sekolah untuk meminta kebenaran anaknya kembali ke sekolah, namun tidak dibenarkan atas alasan sudah berhenti terlalu lama.

Nama Sufian mula menjadi sebutan ketika berada di Tahun Lima, selepas dipilih mewakili skuad bola sepak bawah 12 tahun di Kejohanan Jemputan Antarabangsa Saitama, Jepun pada 2007.

Dia juga pernah berada di bawah bimbingan ketua jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee ketika menyertai program realiti anjuran Media Prima, TV3, Soccer Kids pada tahun yang sama.

Sementara itu, Kim Swee mengakui kemampuan Sufian ketika beraksi di atas padang cukup menarik perhatiannya.

“Pada pertandingan peringkat umur, dia (Sufian) memang memiliki bakat dan prestasi yang dipamerkannya cukup baik. Sudah lama saya tidak mengikuti perkembangannya dan tidak pasti bagaimana prestasinya sekarang.

“Apa pun saya akan melihat perkembangannya sebaik saya pulang daripada menyertai latihan bersama Harimau Muda A di Australia,” katanya.

JDTns- bharian

Harimau Selatan bernasib baik

JOHOR BAHRU - Johor Darul Takzim, pasukan yang dibarisi ramai pemain bintang menepati ramalan mara ke pusingan kedua Piala FA apabila berjaya menang tipis ke atas Perak 1-0, malam tadi.

Bermain di hadapan 30,000 penyokong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin ternyata membakar semangat anak buah Fandi Ahmad sekali gus memastikan kemenangan milik skuad Harimau Selatan.

Gol berharga yang membawa Johor Darul Takzim mara ke pusingan seterusnya hadir pada minit ke-59 menerusi tandukan Aidil Zafuan Abdul Razak hasil sepakan sudut kapten pasukan, Safiq Rahim.

Pada separuh masa pertama, Johor Darul Takzim nyata mempunyai beberapa peluang menjaringkan gol, namun, Khairul Amri Salehuddin nyata cemerlang menjaga kemas gawang Perak.

Gandingan Norshahrul dan Guiza juga dilihat masih belum berjaya menemui sentuhan penyudah sehingga babak pertama dengan masa tambahan empat minit berakhir tanpa sebarang jaringan gol.

Pasukan pelawat juga bermula garang apabila kerap mengasak kubu pertahanan skuad Harimau Selatan menerusi penyerangnya, Abdul Hadi Yahya dan peluang terbaiknya hadir pada minit keempat.

Bagaimanapun, dia mensia-siakan peluang tersebut apabila sepakannya tidak tepat ke arah gawang.

Skuad Harimau Selatan kemudiannya bangkit dengan bermula garang pada babak kedua apabila Ahmad Ezrie Shafizie merembat deras ke gawang lawan, bagaimanapun Khairul Amri berjaya menangkap kemas.

Johor Darul Takzim tidak putus asa dengan berterusan membuat asakan dan akhirnya gol pertama mereka berjaya dihasilkan menerusi tandukan Aidil Zafuan pada minit ke-59.

Sebelum itu, pada minit ke-48, skuad Harimau Selatan mempunyai peluang menjaringkan gol menerusi gerakan solo Norshahrul yang berjaya memperdaya pertahanan dan penjaga gol lawan.

Namun, pemain yang turut dikenali sebagai Mat Yo itu mensia-siakan peluang tersebut.

JDTns- utusan sukan

Pemandu lori ditahan berhubung kemalangan di jalan Muar - Air Hitam.

MUAR  - Seorang lelaki dipercayai pemandu yang membawa lori dengan muatan tiang konkrit dan terbabit dalam kemalangan yang mengakibatkan tiga beranak meninggal dunia di Jalan Muar-Air Hitam, kelmarin, ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, lelaki itu yang baru keluar dari Hospital Batu Pahat ditahan untuk membantu siasatan selepas membuat laporan di Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Muar, di sini.

“Lelaki yang dipercayai pemandu lori berkenaan datang membuat laporan pukul 10 pagi itu dan kemudian ditahan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada Sinar Harian.

Rabu lalu, isteri dan dua anak kepada Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Bakri terbunuh dalam kemalangan ngeri di Batu 14, Jalan Muar-Air Hitam, berhampiran Bukit Naning di sini, setelah kereta Proton Persona dipandunya  dihempap 32 tiang konkrit.

Sementara itu, suami dan juga bapa kepada kanak-kanak malang itu, Mohd Ghazali Salamun, 45, menarik nafas lega dengan penahanan itu dan mahukan pembelaan sewajarnya selepas kehilangan tiga ahli keluarganya.

“Saya bersyukur (dengan penahanan itu), bukanlah saya berdendam dengan dia. Saya reda dengan pemergian isteri saya tetapi cuma cara pemergiannya amat menyayat hati, tidak pernah terfikir sama sekali dalam fikiran.

“Apabila saya duduk berseorangan saya akan menangis.

"Isteri saya memang cermat apabila memandu kereta. Sebelum naik kereta mesti baca ayat kursi, selawat dan al-Fatihah,” katanya.

Mohd Ghazali berkata, tragedi tersebut adalah ujian paling getir pernah dilalui dalam hidupnya walaupun sebelum ini pernah melalui pengalaman jatuh bangun dalam dunia politik.

Piala FA: Selangor singkir ATM, Pahang dan JDT tunjuk taring

PENDATANG baru Liga Super musim ini, Pahang terus mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya memulakan kempen Piala FA 2013 dengan penuh bergaya selepas mengatasi Johor 3-2 di Stadium Pasir Gudang, malam tadi.

Tiga gol skuad Tok Gajah disumbangkan oleh penyerang import dari Maghribi, Mohamed Borji pada minit ke-13 dan dua gol Mohd Fauzi Rozlan minit ke-45 dan 74.

Dua gol pasukan Johor pula dijaringkan oleh Muriel Juan Orlando pada minit ke-10 dan 49.

Dengan keputusan itu, Pahang akan menentang ATM Tentera Darat pada pusingan kedua selepas pasukan itu menumpaskan wakil kelab dari Pahang, Shahzan Muda 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

Selain Pahang, juara lima kali Piala FA, Selangor turut mengetuai senarai yang berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua selepas mencatatkan kemenangan tipis 3-2 menerusi sepakan penalti ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Shah Alam.

Skuad bimbingan Irfan Bakti akan bertemu Sabah pada pusingan kedua selepas Sabah menjinakkan Felda United 2-1 dalam satu lagi perlawanan pusingan awal.

Dua gol Sabah dijaringkan oleh penyerang import, Koh Traore pada minit ke-14 dan Jufrey Amopor pada minit ke-73 manakala gol saguhati skuad The Settlers dihasilkan oleh Mohammed Ghaddar Mahmoud pada minit ke-65.

Turut mara ke pusingan kedua ialah Johor Darul Takzim (JDT) selepas menundukkan Perak 1-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Gol tunggal JDT hadir menerusi jaringan pemain pertahanan, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak pada minit ke-59.

Pada pusingan kedua 26 Februari ini, skuad Harimau Selatan itu akan bertemu Kedah yang membelasah wakil Negeri Sembilan, NS Betaria FC 3-0 di Stadium Alor Setar.

Terengganu yang mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Kuala Lumpur SPA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang turut tersenarai dalam 14 pasukan yang mara ke pusingan kedua bulan depan.

Tiga gol skuad Penyu dijaringkan oleh Ismail Faruqi pada minit ke-30 dan dua gol dari Jean Emmanuel Effa Owona pada minit ke-69 dan 80.

Terengganu akan menentang Pulau Pinang di pusingan kedua selepas pasukan Harimau Kumbang mengejutkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Begitupun, dua lagi perlawanan  melibatkan pertemuan UiTM FC menentang Negeri Sembilan dan PKNS bertemu Lions XII di Stadium Majlis terpaksa ditunda esok ekoran hujan lebat.

Berikut keputusan perlawanan pertama Piala FA 2013:

Selangor (2) - ATM (2) * Selangor (3) - ATM (2) sepakan penalti

Johor Darul Takzim (1) - Perak (0)

Sarawak (3) -  Melaka (0)

Kedah (3) - NS Betaria FC (0)

Pulau Pinang PBAPP (5) - PKRFC (CAM) (1)

Kuala Lumpur (0) - Pos Malaysia (5)

PDRM (1) - Pulau Pinang (2)

Sabah (2) - Felda United (1)

Shahzan Muda (0) - ATM Tentera Darat (2)

T-Team (3) - Perlis (2)

Johor (2) - Pahang (3)

Kuala Lumpur SPA (1) - Terengganu (3)

Khamis, 24 Januari 2013

Suami ratapi kematian isteri, dua anak akibat dihempap lori 10 tan

MUAR – Hanya laungan nama Ngaisah, Balqis dan Azzem berulang kali memecahkan suasana pilu di kediaman Ghazali Salamon, 45, yang meratapi jenazah tiga ahli keluarganya selepas semua mangsa dikeluarkan dari timbunan barangan konkrit bahan binaan.

Ghazali merupakan suami kepada mangsa kemalangan, Ngaisah Redzuan, 46, bersama dua anaknya, Faatiorrohirullah Al Azzem Ghazali, 12, dan Puteri Balqis Sofea Ghazali, 10; maut selepas terbabit dalam nahas melibatkan sebuah kereta Proton Persona dengan lori sarat membawa muatan konkrit di Batu 14 Jalan Muar-Air Hitam, berhampiran Bukit Naning dekat sini, kira-kira jam 1.30 petang semalam.

Bagaimanapun usaha untuk menemu bual Ghazali iaitu Pengerusi Biro Kesenian dan Kebudayaan Umno Bahagian Bakri,. tidak berjaya berikutan keadaannya yang tidak mengizinkan dan terpaksa ditenangkan oleh ahli keluarganya.

Lebih memilukan, kejadian ngeri itu berlaku di hadapan rumah mangsa yang ketika itu dalam perjalanan pulang dari Sekolah Kebangsaan Bukit Naning iaitu tempat Ngaisah mengajar.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila lori seberat 10 tan yang sarat membawa muatan dari Air Hitam menghala ke Muar cuba memintas kereta Proton Persona dipandu Ngaisah yang ketika itu sedang membelok ke kiri untuk pulang ke rumahnya.

Malangnya, lori terbabit hilang kawalan lalu terbalik menyebabkan keseluruhan muatan barangan konkrit bahan binaan itu bertaburan dan menghempap kereta dipandu guru Matematik itu.

Pegawai Bomba Kanan Dua, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 1.30 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama satu jentera dengan tujuh anggota.

Menurutnya, pihaknya terpaksa mengambil masa hampir satu jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan terhempap dalam timbunan barangan konkrit bahan binaan dengan menggunakan bantuan dua jentera forklift.

“Ketika dikeluarkan, mangsa sudah meninggal dunia dan pemandu lori berkenaan dipercayai melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk bedah siasat.

“Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Pertemuan terakhir Rabu lalu KAKAK kedua Ngaisah, Noriah Redzuan, 70, begitu terkejut menerima berita yang menimpa adiknya melalui penduduk kampung.

“Kali terakhir saya menemui Ngaisah pada Rabu minggu lalu di sebuah kedai runcit di Parit Sulung, Batu Pahat.

“Dalam pertemuan itu, dia tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik dan sentiasa dengan sikap ramahnya,” katanya.

Sementara itu, rakan mangsa yang dikenali sebagai Shidah, 47, berkata, sebelum kejadian arwah sempat meninggalkan pesanan supaya membantunya memasang langsir baru sekolah pada keesokan hari (hari ini).

“Tahun ini arwah menaja langsir baru untuk sembilan kelas seperti yang dilakukannya setiap tahun.

“Hari ini (semalam) kami tidak sempat berbual panjang kerana sibuk bergotong royong membersihkan sekolah berikutan akan menerima kunjungan lawatan Nazir Jumaat ini,” katanya.

Shidah turut sedih mengenangkan semula pesanan terakhir arwah dan menganggap pemergian sebagai satu kehilangan besar buat dirinya kerana mereka sudah bersahabat baik lebih 20 tahun lalu.

Manakala seorang anak murid mangsa, Nornasha Kamarudin, 12, berkata, dia turut sedih dengan pemergian guru matematiknya itu.

“Ketika mengajar dalam kelas hari ini, Cikgu Ngaisah banyak tersenyum dan mendekati rakan-rakan yang tidak faham dengan apa yang diajarnya,” katanya.

Rabu, 23 Januari 2013

Harimau Selatan garang

SHAH ALAM - Johor Darul Takzim FC mencipta kemenangan pertama di tempat lawan pada musim ini apabila mudah menjinakkan PKNS 3-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, semalam.

Penyerang kebangsaan, Safee Sali menamatkan kemarau jaringannya dalam saingan Liga Super 2013 apabila membuka tirai jaringan Johor pada minit ke-18 sebelum Ahmad Ezrie Shafizie dan Daniel Guiza memastikan tiga mata menjadi Harimau Selatan dengan jaringan pada minit ke-69 serta 87.

Pemain gantian, Mohd. Faiz Mohd Isa menjaringkan gol sagu hati buat tuan rumah pada masa kecederaan, namun ia sudah terlambat menghalang kemenangan kedua Johor pada musim ini.

Aksi yang dipertunjukkan oleh anak-anak buah Fandi Ahmad boleh dipuji dan keserasian pemain-pemain berstatus bintang dalam skuad pelawat ternyata semakin menjadi apabila banyak melancarkan serangan menarik ke kubu lawan.

Tuan rumah kembali diperkuatkan dengan kehadiran pemain import, Helmi Loussaief sementara Johor mempertaruhkan gandingan tiga serangkai, Safee, Guiza dan Norshahrul Idlan Talaha menerajui barisan serangan.

Pun begitu, PKNS terlebih dahulu mempamerkan aksi bertenaga di awal permainan dengan kawalan bahagian tengah menarik yang ditunjukkan oleh Mohd. Fazli Baharuddin dan Mohd. Nazrin Syamsul Bahari.

Namun, di hadapan 5,000 penonton setia Johor, suasana perlawanan berubah pada minit ke-18 apabila Safee Sali berjaya menanduk cantik hasil hantaran Guiza dari sebelah kiri bagi memastikan pasukan pelawat di hadapan.

Norshahrul boleh menambah jaringan kedua pada minit ke-35 selepas bijak memperdayakan tiga pertahanan PKNS tetapi rembatannya melepasi palang gol lawan.

Bermula babak kedua, Harimau Selatan semakin garang melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan. Ahmad Ezrie akhirnya menghadiahkan gol kedua Darul Takzim pada minit ke-61 apabila mudah melepaskan rembatan leret yang tidak mampu dijangkau Mohd. Remezey Che Ros.

Guiza melengkapkan kemenangan mutlak Johor apabila dia yang tidak dikawal mudah melunaskan peluang terhidang pada minit ke-87.

#Safee Sali (tengah) menanduk bola ke gawang PKNS walaupun diasak dua pemain lawan dalam saingan bola sepak Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi. Johor Darul Takzim menang 3-1.

Harimau Selatan raih tiga mata

JDT - PKNS
Aksi perlawanan PKNS menentang Johor Darul Takzim malam tadi.

MISI Kelantan untuk mengutip tiga mata penuh sekali lagi gagal apabila pasukan itu hanya terikat seri tanpa jaringan ketika melayan kunjungan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, malam tadi.

Meskipun beraksi di halaman sendiri dan mendapat sokongan padu daripada penonton, Kelantan nyata gagal memanfaatkan peluang itu untuk mengutip tiga mata penuh sebaliknya mengulangi prestasi sama ketika perlawanan menentang Felda United, Jumaat lepas.

Dengan keputusan itu, Kelantan kini menduduki tangga ketujuh dengan mengutip enam mata selepas mengharungi lima perlawanan setakat ini.

Sementara itu, Pahang yang tewas kepada Selangor Sabtu lepas, bangkit mencatatkan kemenangan apabila membelasah Terengganu 3-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Tiga gol Pahang dijaringkan oleh Mohd Hafiz Kamal pada minit ke-75 dan 89 serta Mohd Fauzi Roslan pada minit ke-77.

Keputusan itu membuatkan pasukan bimbingan Dollah Salleh kekal menerajui takhta liga dengan mengumpul 12 mata daripada lima perlawanan setakat ini.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula berjaya merampas tangga kedua daripada Lions XII selepas mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Felda United di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban.

Penyerang import skuad 'The Gladiators' iaitu Marlon Alex James membuka tirai jaringan pada minit ke-14 sebelum Mohd Shukor Adan meledak gol kemenangan pada minit ke-55.

Di Stadium Shah Alam, Johor Darul Takzim turut mempamerkan aksi garang apabila menewaskan PKNS 3-1.

Keputusan itu membuatkan pasukan bimbingan Fandi Ahmad itu naik dua anak tangga untuk berada di kedudukan kelima liga dengan meraih lapan mata.

Dalam perlawanan itu, Mohd Safee Sali membuka tirai jaringan untuk skuad Harimau Selatan pada minit ke-19 sebelum Ahmed Ezrie Shafizie Sazali menggandakan kedudukan pada minit ke-61.

Penyerang import dari Sepanyol, Danial Guiza menjaringkan gol ketiga pada minit ke-88 sekali gus menghadiahkan tiga mata penuh untuk pasukan pelawat.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Tunku Ibrahim turut kelihatan di bangku penonton untuk sama-sama memberi sokongan.

T-Team juga berjaya mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan Lions XII 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Mohd Badrul Hisham Morris menjadi wira T-Team apabila menjaringkan gol tunggal menerusi sepakan penalti pada minit ke-75.

Dalam pada itu, Perak dan Selangor hanya mampu mengutip satu mata selepas masing-masing mencatatkan keputusan seri 1-1 di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut.

Francis Forkey Doe membuka tirai jaringan untuk pasukan Selangor pada minit ke-65 sebelum penyerang skuad Seladang, Abdul Hadi Yahya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-80.

Pada perlawanan keenam PKNS akan menentang Felda United di Stadium Petaling Jaya manakala Johor Darul Takzim akan bertemu T-Team  di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos pada 16 Februari.

JDTns

Isnin, 21 Januari 2013

Kerajaan lulus peruntukan RM33j

AZALINA Othman Said (kiri) menyampaikan wang sara hidup nelayan kawasan Pengerang di Dewan Bandaran Kejora, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor, semalam. 
 


KOTA TINGGI 20 Jan. - Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM33 juta bagi membina Kompleks Bersepadu Nelayan yang bakal menjadi pusat pendaratan ikan yang baharu di Kampung Sungai Musuh, Pengerang dekat sini.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, fasa pertama projek tersebut melibatkan peruntukan RM7.5 juta dengan pelaksanaan bermula sebaik sahaja kerja kajian tapak selesai.

"Kemudahan pusat pendaratan itu dilakukan bagi memenuhi keperluan golongan tersebut selain membolehkan mereka keluar menangkap ikan dengan selesa untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
"Golongan nelayan perlu merebut peluang yang disediakan untuk meningkatkan pendapatan mereka melalui pelbagai peluang ekonomi yang dibawa ke sini, asalkan mereka sanggup melengkapkan diri dengan kemahiran berkaitan," katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian elaun sara hidup nelayan di Dewan Bandaran Kejora, Bandar Penawar dekat sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Abdullah Ismail; Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Abd. Hamid Yassin dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Pengerang, Abu Bakar Mohamad.

Pada majlis tersebut, seramai 520 nelayan di kawasan Pengerang masing-masing menerima elaun sara hidup sebanyak RM200.

Azalina turut mengingatkan golongan nelayan agar tidak terpengaruh dengan hasutan pembangkang yang mahu memperdaya mereka dengan mengatakan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang sebagai tidak bermanfaat dan hanya merosakkan alam sekitar.

"Pembangkang sekali pun tidak pernah mengatakan yang mereka akan menamatkan atau membubarkan RAPID jika mereka menang. Tidak pernah sekali pun Anwar Ibrahim, Azmin Ali, Chua Jui Meng mahu pun Salahuddin Ayub berkata seperti itu," katanya.

JDTns - Utusan

Kanak-kanak lima tahun maut dihempap tayar treler

kemalangan
Keadaan treler yang terbalik selepas terbabas dan meragut nyawa kanak-kanak berusia lima tahun

MUAR – Kejadian menyayat hati terpaksa dilalui sebuah keluarga yang kehilangan anak berusia lima tahun yang maut akibat dihempap tayar treler yang dipandu bapanya dalam kemalangan di Batu 10 Jalan Pagoh-Muar di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi itu, Mohd Afiq Amrin Mohd Yazid tercampak keluar sebelum kepalanya dihempap tayar treler yang dipercayai hilang kawalan semasa membelok selekoh sebelum terbalik dan memasuki parit.

Bagaimanapun, keluarga kanak-kanak terbabit, Mohd Yazid Banain (bapa), 44; Suriyati Abd Rahman (ibu), 30an, Nur Damia Batrisya (kakak), 6, terselamat, tetapi mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan.

Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Razali Ismail berkata, ketika tiba di tempat kejadian bersama satu jentera dan tujuh anggota, tiga mangsa masih berada di dalam treler kecuali Mohd Afiq Amrin.

Pihaknya mengambil masa selama 20 minit untuk mengeluarkan Mohd Yazid yang tersepit di tempat duduk pemandu, manakala  isteri dan anak perempuannya di bahagian tempat duduk belakang.

“Mohd Yazid patah kaki. Isteri dan anak perempuannya yang pada mulanya tidak sedarkan diri tersedar sebaik sahaja berjaya dikeluarkan.

“Kami masih menjalankan kerja untuk mengalihkan treler ini kerana dikhuatiri ada kenderaan lain di bawahnya yang terbenam dalam parit,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, treler yang sarat membawa muatan papan lapis itu dalam perjalanan dari Johor Bahru ke daerah ini.

Beliau meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.

JDTns - Sinar

Ahad, 20 Januari 2013

Jersi Home Johor FA 2013


JOHOR FA HOME JERSEY

Price :RM79.90
Size : S-XXL
Dry Fit

Additional:
Patch Liga Premier +RM10
Nombor Belakang +RM7(1digit)
Nombor Depan +RM4(1digit)
Nameset +RM8

STOCK AVAILABLE NOW


*Dapatkan yang ORIGINAL dari KAPPA.

Permohonan Kemasukan Program Latihan Kemahiran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar


Bidang Minyak & Gas

Bahagian Pembangunan Kemahiran, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia melalui Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar akan melaksanakan program berasaskan latihan dalam Bidang Minyak & Gas. Melalui kerjasama antara Kementerian Belia dan Sukan dengan PETROLIAM NASIONAL BERHAD (PETRONAS), SIRIM Berhad dan Johor Petroleum Development Corporation (JPDC) pada November 2012 telah mencapai satu persetujuan untuk menjadikan IKBN Bandar Penawar sebagai hub Pensijilan Profesional Antarabangsa yang menyediakan latihan kemahiran bersepadu bagi memenuhi keperluan sektor minyak dan gas di Malaysia.
Bidang Latihan

Health Safety & Environment (HSE)
Welding For 6G/6GR
Basic Welding Inspections
Pusat Latihan
Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar
Jalan Kejora Utama,
81930 Bandar Penawar
Johor Darul Takzim
Kemudahan
Pusat pengajian, bahan pembelajaran, peralatan latihan, penginapan, rekreasi dan kemudahan sukan

Tarikh Tutup
Permohonan adalah terbuka sepanjang tahun
Keputusan Permohonan
Calon yang berjaya akan dihubungi secara terus oleh Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar melalui talian telefon atau surat tawaran rasmi
Permohonan
Calon yang berkelayakan adalah dipelawa untuk memohon program yang ditawarkan dengan

Pertanyaan
Sebarang pertanyaan lanjut, calon boleh menghubungi;

Pengarah
Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar
Jalan Kejora Utama,
81930 Bandar Penawar
Johor Darul Takzim

Tel : +607-822 1567/1530
Fak : +607-822 1566
E-mail : brendanicholas@kbs.gov.my atau khairunafida@kbs.gov.my

Mayat dalam gulungan tilam

JOHOR BAHRU – Mayat seorang lelaki lengkap berpakaian dan dibaluti tilam ditemui di Jalan Mewah Ria 2/10 Taman Bukit Mewah, di sini, semalam.

Seorang saksi yang enggan namanya didedahkan berkata, kira-kira jam 3 petang, dia dan rakannya yang melalui kawasan itu ternampak orang ramai berkumpul di lokasi mayat ditemui.

Menurutnya, perasaan ingin tahu membuatkan dia turut mendekati kawasan itu sebelum terlihat kaki manusia terjulur dalam gulungan tilam berkenaan.

“Saya bukan orang pertamanya yang menemui mayat, namun antara yang terawal tiba di lokasi kejadian sebelum salah seorang menghubungi pihak polis.

“Apa yang saya tahu terdapat mayat seorang lelaki berada dalam gulungan tilam berkenaan.

“Bagaimanapun, saya tidak berani untuk membuka tilam berkenaan dan menunggu pihak polis sampai tidak lama kemudian,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan mengesahkan penemuan mayat terbabit.

Katanya, polis akan menjalankan siasatan secara terperinci dan menunggu laporan daripada unit patologi sama ada mayat itu mempunyai sebarang kecederaan atau sebaliknya bagi mengenal pasti punca kematian.

“Tiada sebarang dokumen ditemui, dan polis akan siasat daripada semua sudut bagi memastikan mangsa dibunuh atau mati mengejut (SDR),” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, untuk bedah siasat.

JDTns - sinar

PBNJ: Kafa gagal tepati janji jamin keselamatan penyokong Johor

Persatuan Bola Sepak Negeri Johor

PENGURUSAN Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) membuat akuan bersumpah berhubung insiden perlawanan Kelantan menentang Johor Darul Takzim, minggu lalu.

Akuan tersebut dibuat Setiausaha Kehormat, Suhairi Hashim dan Bendahari Kehormat, Datuk Abd Latiff Bandi.

Antara isi kandungan akuan mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 menyatakan kegagalan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menepati janji bagi menjamin keselamatan penyokong Johor Darul Takzim diserang dengan objek sehingga mengakibatkan kecederaan.

“Dalam perbincangan kira-kira jam 2 petang hari perlawanan, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Ismail Mohd Nor berbincang berkaitan perlawanan malam itu, di mana Kafa menyatakan tidak maklum kehadiran 200 penyokong Johor Darul Takzim tetapi bersedia untuk kehadiran VVIP, biarpun surat telah dihantar pada 14 Januari.

“Perbincangan turut mengutarakan tentang suasana penyokong Kelantan yang masih tidak berpuas hati dengan isu Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo) dan persediaan berhadapan provokasi penyokong,” katanya, semalam.

Satu mesyuarat diadakan jam 4 petang di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV dipengerusikan Ismail dan antara perkara dibangkitkan, memaklumkan kehadiran VVIP dan 200 penyokong Johor Darul Takzim yang beli tiket secara tempahan daripada Kafa.

Perkara lain yang dibincangkan adalah meminta kawalan keselamatan penyokong Johor Darul Takzim ditingkatkan dan pengerusi menjamin tiada masalah berlaku kerana penyokong Johor Darul Takzim diletakkan bersama Ultras Kelantan, polis serta Rela yang akan mengawal sebagai tembok pemisah.

“Saya minta kawalan FRU dibuat tetapi dimaklumkan FRU tidak boleh ada dalam stadium kerana penyokong Kelantan merasakan ia satu provokasi dan akan menyebabkan mereka bertindak liar.

"Pengerusi juga memberitahu jika terjadi kejadian merusuh, penyokong Johor Darul Takzim diminta jangan bergerak sehingga lampu dimatikan dan penyokong Kelantan dibawa keluar, barulah penyokong Johor Darul Takzim dibenarkan keluar ikut laluan belakang diiringi polis," katanya.

Menurutnya, ancaman menjadi kasar selepas gol Kelantan pada minit ke-38, dengan membaling objek bukan sahaja ke padang tetapi penyokong Johor Darul Takzim dan berterusan hingga tamat wisel.

Jelasnya, lampu dipadamkan 11.35 malam, penyokong Johor Darul Takzim mula diiring masuk ke padang dengan iringan polis menggunakan jalan belakang ke IPK.

Beliau berkata, Kafa gagal tepati janji untuk jamin keselamatan atas kekasaran itu, satu laporan polis dibuat di Johor Bahru sebaik tiba di negeri ini.

JDTns- sinar

Liga Malaysia : Annuar cadang selesai kemelut

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa menasihati Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ), Tengku Ismail Sultan Ibrahim supaya bersikap profesional dan lebih matang dalam menangani isu kekecohan yang berlaku pada perlawanan Liga Super membabitkan Kelantan menentang Johor Darul Takzim di Stadium Sultan Muhammad IV, 15 Januari lalu.

“Tidak usah bawa benda pelik-pelik ke dalam bola, buat biasa saja. Bola sepak permainan orang ramai untuk mewujudkan muhibah dan perpaduan serta perlu ikut peraturan yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya.

Beliau berkata, kehadiran askar Rejimen Gerak Khas (komando) di dalam kawasan stadium juga mengundang pelbagai tanggapan bahawa penyokong Kelantan terlampau agresif, walhal Kafa sudah mendapat khidmat Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk pasukan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) untuk menjaga keselamatan.

“Insiden yang berlaku itu di luar kawalan, walaupun kita sediakan pasukan keselamatan termasuk dikawal rapi oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), ia tetap berlaku, jadi dakwaan baginda sebenarnya tidak berasas.

“Jadi untuk menyelesaikan kemelut ini agar tidak berpanjangan, Kafa mencadangkan satu pertemuan diadakan antara mereka dan PBNJ bagi menyelesaikan segala kemelut yang timbul selepas perlawanan kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Muhammad IV, baru-baru ini.

“Saya cadangkan kita adakan pertemuan dengan jawatankuasa pengurusan Kafa dan PBNJ untuk berbincang secara baik untuk menyelesaikan masalah ini daripada terus berpanjangan,” katanya.

Kemelut terbabit tercetus apabila Tunku Ismail dalam laporan media sebelum ini, tampil menjelaskan kehadiran anggota komando tersebut ditugaskan untuk bersedia di stadium berkenaan berikutan ayahandanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar akan berangkat untuk menyaksikan perlawanan berkenaan.

Tunku Ismail turut mempertikaikan ketiadaan anggota polis FRU bagi mengawasi perlawanan tersebut.

JDTns - sinar

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com