IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Memaparkan catatan dengan label Mat yo. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mat yo. Papar semua catatan

Sabtu, 5 Januari 2013

Liga-M: Johor Darul Takzim tiup nafas baru?


Norshahrul Idlan Talaha (Matyo)
Penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha (Matyo)


Safee Sali
Safee Sali

KEMUNCULAN Johor Darul Takzim (JDT) atau nama lamanya Johor FC pasti mencuri tumpuan apabila kempen Liga Malaysia (Liga-M) membuka tirainya dengan perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Shah Alam esok.

Piala Sumbangsih merebut trofi Sultan Ahmad Shah itu melibatkan juara Piala Malaysia 2012, Kelantan dan juara Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bagaimanapun, peminat bola sepak tempatan sudah pasti akan memberi tumpuan kepada pasukan JDT dengan deretan pemain bertaraf lima bintang termasuk gandingan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Safee Mohd Sali.

Lebih-lebih lagi, Presiden Persatuan Bolasepak Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mengisyitharkan skuad kendalian bekas lagenda Singapura, Fandi Ahmad, mampu menyapu bersih tiga gelaran musim ini iaitu Piala Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Nyata sekali, baginda telah mencetuskan fenomena baru dalam kempen Liga Super musim ini dengan membariskan pemain berstatus bintang dengan matlamat menjadi juara, sekali gus menjadi pasukan yang digeruni dan disegani oleh pihak lawan.
Pasukan Harimau Selatan itu turut disertai pasangan kembar Mohamad Aidil Zafuan dan Mohamad Zaquan, kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim.

Bagi melengkapkan koleksi pemain bintang, JDT turut menyenaraikan bekas penjaring terbanyak Liga Sepanyol, Daniel Guiza dan bekas pemain kelan Lazio dalam Serie A, Simone Del Nero dari Itali.
Dalam kancah bola sepak, kehadiran pemain berstatus bintang tidak semestinya menjanjikan kejayaan kepada sesuatu pasukan dan ini tidak terkecuali bagi pasukan JDT, yang digelar sebagai 'Manchester City Malaysia'.

Selain JDT, pasukan lain dalam Liga Super juga melakukan persiapan rapi termasuk juara trebel musim lepas, Kelantan, ATM, Terengganu, Pahang, Selangor serta pasukan jemputan dari Singapura, Lions XII.
Pasukan Lions XII, pada penampilan sulung musim lepas, berjaya menempa nama apabila muncul naib juara Liga Super tetapi pada musim ini, pasukan Singa Utara itu dijangka membariskan skuad bawah 23 tahun.

Kehadiran skuad 'Singa Muda' itu adalah sebagai persiapan awal bagi menghadapi temasya Sukan SEA di Myanmar, pada hujung tahun ini.

Berbanding musim lepas, kempen 2013 dianggap sebagai musim paling mengujakan bagi peminat bola sepak tempatan dengan kehadiran 41 pemain import mewakili pasukan negeri dan kelab berbanding 26, musim lepas.

Kehadiran pemain import serta kemunculan JDT dilihat mampu menghangatkan lagi suasana pertandingan serta berpeluang meniup nafas baru kepada peminat bola sepak tempatan untuk kembali semula ke stadium bagi menyaksikan aksi pasukan kesayangan masing-masing. - Bernama

JDTns - Bernama Sukan

Isu Mat Yo: Annuar mahu Tunku Ismail profesional

Milik Mat Yo
Mat Yo



PRESIDEN Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa membidas kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memintanya menghentikan drama dan politik melibatkan Norshahrul Idlan Talaha.

Annuar berkata, dalam isu penyerang itu, yang turut dikenali sebagai Mat Yo, yang patut berhenti drama dan bersikap profesional adalah Tunku Ismail sendiri kerana isu tebus kontrak adalah antara pemain itu dengan bekas majikannya.

“Sebenar saya belum pernah membuat sebarang komen secara langsung terhadap Presiden PBNJ kerana saya memandang tinggi dan hormat statusnya sebagai seorang anak Raja bergelar Tengku Mahkota.

“Namun hari ini saya terpanggil memberi reaksi dan juga ingin menegur Presiden PBNJ agar  jangan keterlaluan dalam berkata atau berbuat sesuatu kerana dalam sukan dan persatuan hanya ada satu peraturan untuk semua tanpa adanya beza berasaskan ras, warna kulit, pangkat atau keturunan,” kata Annuar yang dipetik menerusi laman Facebokknya, semalam.

Dalam laporan semalam, Tunku Ismail mahu Annuar menghentikan drama dan politik melibatkan Mat Yo.

Baginda juga mahu Annuar lebih bersikap matang dan profesional dalam mengendalikn pasukan bola sepak.
Tunku Ismail memberi jaminan Mat Yo akan membayar harga tebus kontrak seperti diminta Kafa.

"Jangan panjang-panjangkan cerita. Dia (Mat Yo) akan bayar (harga tebus kontrak) pada hari ini. Anda (Annuar) perlu matang. Dalam sukan bola sepak, mesti ada pemain yang datang dan pergi. Anda perlu terima dan bersikap profesional.

"Sebagai contoh, jika satu hari nanti Safee Sali mahu keluar dari pasukan, saya akan terima. Beliau (Annuar) sepatutnya berterima kasih kepada Mat Yo atas sumbangan diberikan dan bukannya bercakap benda kurang menyenangkan terhadap pemain ini,” katanya.

Dalam pada itu, Tunku Ismail turut berkata, Mat Yo akan menjelaskan bayaran harga tebus kontrak sebanyak RM250,000 seperti ditetapkan oleh FAM.

Mengulas mengenai jumlah bayaran harga tebus kontrak sebanyak RM250,000 yang ditetapkan oleh FAM seperti yang dinyatakan Tunku Ismail, Annuar menyifatkan kenyataan Presiden PBNJ itu satu pembohongan.

Beliau menegaskan, isu tebus kontrak tidak kena-mengena dengan pihak ketiga iaitu PBNJ, malah kenyataan Tunku Ismail adalah bukti campur tangan dan 'inducement' di luar peraturan dan etika oleh Johor yang menjadi punca isu semasa.

“PBNJ hanya terkait isu perpindahan yang kita tiada halangan mengenainya bila isu tebus kontrak oleh Mat Yo selesai.

“Jadi, isu kontrak tak ada kena-mengena dengan PBNJ. Mereka tak perlu memberi  jawapan kononnya hari ini nak bayar RM250,000 dan kononnya FAM sudah putuskan jumlah tersebut, ia adalah satu pembohongan.

“Sedangkan FAM belum membuat keputusan, lagipun FAM sudah menetapkan bahawa kedua pihak Kafa dan Mat Yo memfailkan afidavit untuk dinilai oleh Jawatankuasa Status Rayuan,” ujarnya.
Tambah Annuar: “Setakat yang kita tahu jawatankuasa belum lagi berbuat demikian, kita belum dimaklum apa-apa dan kita tunggu saja."

“Jadi, tidak perlu Presiden PBNJ cuba menggunakan nama FAM. Had RM250,000 yang dirujuk adalah had bayaran perpindahan kiranya antara kelab gagal sepakat, namun ia tidak merujuk kepada jumlah pampasan terkait dari ingkar kontrak antara kedua-dua pihak yang ada prosedur menentukannya," katanya.
Sehubungan itu, Annuar mahu Presiden PBNJ yang jauh lebih muda daripadanya agar turut belajar jadi matang dan jangan berdrama serta mengelirukan fakta.

“Tunku Ismail perlu belajar merendah diri, sabar mengikut peraturan dan biarlah benar-benar profesional sebelum mahu menegur persatuan atau orang lain,” jelas beliau.

JDTns - Sukan Sinar

Rabu, 19 Disember 2012

Mat Yo tidak sabar sarung jersi Johor

Tunku Ismail (tengah) bergambar dengan pemain baru yang beraksi untuk kelab Johor Darul Takzim di Johor Bahru, semalam.

*‘Saya mahu buktikan sentuhan masih berbisa’*

Johor Bahru: Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia (Liga M), Norshahrul Idlan Talaha perlu bersaing sengit dengan dua rakannya di kelab Johor Darul Takzim, Safee Sali dan Daniel Guiza bagi merebut gelaran penjaring terbanyak liga musim depan.

Penyerang kebangsaan yang sinonim dengan panggilan Mat Yo yakin persaingan itu bakal menyaksikan skuad Harimau Selatan akan muncul sebagai pasukan paling banyak mencipta jaringan.

“Sudah pasti saya mahu buktikan sentuhan penyudah masih berbisa. Ketika saingan Piala Suzuki AFF, kita sudah mencuba habis-habisan namun nasib tidak menyebelahi dan saya sering dikepung pertahanan lawan,” katanya yang menjaringkan satu gol.

“Mewakili Johor memberikan semangat baru. Semestinya saya mahu merebut Kasut Emas walaupun bersaing dengan Safee (penjaring terbanyak Liga Super Indonesia) dan Daniel (Guiza) di La Liga,” katanya pada sidang media, semalam.
Turut hadir, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Safee pula berasa bertuah dapat menyertai Harimau Selatan walaupun berstatus pinjaman dari Arema FC ketika kemelut di Liga Indonesia masih samar dan belum diselesaikan Persatuan Sepak Bola Indonesia (PSSI).

“Keputusan itu bukan kerana wang tetapi bagi menjamin karier saya. Sebelum ini, PBNJ pernah merisik namun terpaksa ditangguhkan tetapi apabila keadaan liga di sana belum stabil, saya ambil keputusan menyertai Johor.

“Saya tidak sabar untuk beraksi di Liga M. Perancangan PBNJ mengambil pemain berkualiti membuatkan saya tekad memastikan impian pasukan memburu kejuaraan trebel musim depan membuahkan hasil,” katanya yang beraksi dua musim di Indonesia.

JDTns

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com