Abdull Rozak Ahmad Marzuki (berdiri, empat dari kanan) bersama isteri dan anak-anak peneroka yang menyertai program gotong-royong di Felda Kledang, Kota Tinggi baru-baru ini.
KOTA TINGGI - Tarikh 7 Julai 2010 cukup bermakna bagi 380 warga Felda Kledang kerana pada hari tersebut tanah rancangan itu diumumkan sebagai pemenang Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF), sekali gus menggondol RM1 juta.
Bagi mereka, penat lelah dan kesusahan meneroka empat hektar tanah setiap seorang kira-kira 30 tahun lalu berbaloi kerana akhirnya diiktiraf dengan penganugerahan AKKF 2010 iaitu anugerah yang cukup berprestij daripada Felda.
Anugerah itu sebenarnya menjadi pembakar semangat seluruh warga Felda tersebut dengan melakukan pelbagai anjakan berganda dan berikutan itu Felda Kledang terus menyerlah dan meraih kejayaan demi kejayaan dalam semua aspek kehidupan masyarakat di kampung tersebut.
Pengurus Felda Kledang, Abdull Rozak Ahmad Marzuki berkata, setelah menerima anugerah itu, pihaknya bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) serta seluruh penduduk merancang dan melaksanakan beberapa projek yang boleh memberikan manfaat secara menyeluruh dan berterusan.
"Separuh daripada hadiah kemenangan RM1 juta itu diagih-agihkan kepada 380 peneroka secara tunai, manakala bakinya dimanfaatkan untuk membiayai beberapa projek yang dikendali dan diurus secara bersama oleh Felda dan JKKR.
"Antara projek yang sedang dan telah dilaksanakan adalah pembinaan sembilan unit kedai yang melibatkan kos RM120,000, enam calet (RM120,000), taman kanak-kanak (RM50,000) dan menara surau (RM25,000)," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Abdull Rozak, pihaknya tidak menduga mendapat permohonan yang banyak daripada golongan muda Felda Kledang bagi kedai yang memberikan pengkhususan kepada perkhidmatan motosikal dan kenderaan.
Katanya, Calet D'Harmoni Kledang yang mempunyai enam bilik juga sudah mendapat tempahan walaupun sedang menjalani kerja-kerja kemasan kerana sewa yang dikenakan adalah serendah RM90 sahaja.
Ujarnya, calet di kawasan seluas 0.8 hektar itu menjanjikan suasana berbeza kerana dikelilingi dusun dan tanaman herba, malah sering dijadikan 'rumah bertandang' terutama ketika majlis keramaian seperti perkahwinan, selain kerap dikunjungi warga Singapura yang dahagakan keindahan semula jadi ala kampung.
Bagi memastikan warga tanah rancangan itu terus berdaya saing dalam apa juga keadaan, Abdull Rozak turut menggalakkan peneroka mengusahakan tanaman rebung madu di kawasan terbiar, seluas lapan hektar yang kini menjadi salah satu sumber pendapatan yang cukup lumayan.
Katanya, ladang itu diusahakan Osman Selamat, 60, bersama pasangannya, Siti Zainah Bakri, 50, yang kini mampu memperoleh pendapatan bulanan bersih antara RM2,500 hingga RM3,000, selain hasil komoditi kelapa sawit seluas empat hektar.
Tambah Abdull Rozak, berkat semangat gotong-royong yang tinggi dan perpaduan serta persefahaman penduduk, Felda Kledang terus melakar sejarah dengan menerima pelbagai anugerah termasuk tempat ketiga dalam Anugerah Persatuan Belia Felda Terbaik peringkat kebangsaan.
Selain itu, pencapaian lain yang dicatatkan adalah Persatuan Belia Cemerlang Negeri Johor, Pintu Gerbang Terbaik sempena Bulan Kemerdekaan dan Surau Cemerlang Negeri Johor yang kesemuanya menerima hadiah dalam bentuk wang tunai.
"Kejayaan ini menjadi sumber inspirasi kepada kami semua untuk meneruskan kehidupan dengan melakukan pelbagai anjakan berganda bagi membolehkan bangsa Melayu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain," katanya.
JDTns