IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Jumaat, 31 Januari 2014

100 Kenderaan Hangus Di Muar

Muar: Kira-kira 100 kenderaan musnah terbakar membabitkan kerugian kira-kira RM2 juta dalam kejadian di sebuah bengkel simpanan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Parit Bakar berhampiran Taman Desa Murni di sini, semalam.

Kejadian jam 9.30 pagi itu disedari pekerja bengkel berkenaan selepas melihat api membakar bahagian belakang premis berkenaan. Pekerja bengkel itu, Mohd Munir Sain, 20-an, berkata, dia terjaga daripada tidur apabila terhidu bau asap sebelum mendapati api marak di belakang bengkel lalu segera mengejutkan lapan rakan setugas sebelum berusaha memadamkan api. “Bagaimanapun, kami terpaksa menyelamatkan diri apabila berlaku letupan membabitkan beberapa kenderaan yang dijilat api,” katanya.

Foto ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran membabitkan 100 kenderaan. Menurutnya, antara kenderaan yang musnah termasuk lori, treler, kereta serta kenderaan pelbagai guna (MPV).

Khamis, 30 Januari 2014

Chef Wan luahkan rasa kesal nasi lemak MAS

Chef-Wan

SIAPA yang tak kenal chef selebriti terkemuka Malaysia, Chef Wan?
Bukan sahaja ‘otai’ dalam bidang masakan, malah namanya sudah berdiri setanding dengan chef-chef terkemuka antarabangsa.

Baru-baru ini, Chef Wan yang menaiki penerbangan kelas ekonomi ke Bangkok, Thailand meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap nasi lemak yang dihidangkan dalam pesawat milik Malaysia Airlines (MAS).
Menggelarnya sebagai ‘telanjang’, dia kesal kerana menu tersebut kelihatan tidak sempurna tanpa timun, kacang dan ikan bilis.

Menerusi gambar yang dimuatnaik di akaun Instagramnya, nasi lemak tersebut hanya dihidangkan bersama sambal dan telur rebus sahaja.

Baginya, ia secara tidak langsung memberi gambaran negatif pada orang luar yang tidak pernah melihat nasi lemak yang sebenar sebelum ini.

Berikut merupakan ‘caption’ penuh yang ditulisnya:

“I flew on economy to Bangkok thinking its such a short trip and so early pulak tu pasti i will close my eye and have a short nap tak payah lah membazir duit naik business class. This Sad looking Nasi Lemak from Mas for sarapan sungguh memeranjat kan..The fact that its our national career and we dont take pride in providing our so call most famous Malaysian breakfast that kita Agong2 kan bangga serata dunia and to show case this on international flight without the proper timun and kacang serta ikan bilis nampak macam miskin sangat sarapan Malaysia ini. Kita orang Malaysia sudah pasti la tahu akan quality Nasi lemak serta pilihan lauk2 that goes along with it but hey….what about all that international travellers.

Seriously i feel sad that our Msian Breakfast can suffer its own image so misleading to the point where i felt the need for them to realised how serious this can be. Why la so much in consistency when it come to serving This dish at various destinations? Why my flight ticket cost me rm850 tu maka its not business class enough ke that i am serve Nasi and Sambal with telor that make my breakfast so mcm ” Telanjang la” Come on la Mas tak kan kita nak selalu membebel pasal simple basic thing of serving the country national heritage food and dah macam pahat serta pemukul? Why sent letters to act on my complain and appology and then repeat back the same mistake? Hello am i being to difficult here or being sensible to request for a normal Nasi Lemak?”

Nasi lemakk

Sejujurnya, penulis bersetuju dengan kata-kata Chef Wan itu. Setakat timun dan ikan bilis, berapa sangatlah jika dibandingkan dengan harga tiket yang sudah dibayar?

Lebih penting lagi, nasi lemak ni dah umpama makanan rasmi kita … janganlah hidang dalam keadaan yang menghilangkan seri dan imej masakan itu.

Sebelum ini, Chef Wan pernah menegur sebuah restoran di hotel lima bintang kerana menggunakan resepi yang kurang tepat untuk Laksa Nyonya.

Dia yang juga Duta Pelancongan Makanan Malaysia berkata, kesilapan resepi akan memberi imej buruk pada industri pelancongan di negara ini.

Ada baiknya pihak-pihak tersebut mengambil positif teguran Chef Wan itu. Tambah-tambah pula, tahun 2014 ialah Tahun Melawat Malaysia, menurut sumber Mynewshub.

Kanak-kanak dirogol, liwat

LOKASI seorang murid berusia 10 tahun dalam perjalanan ke sekolah yang diculik sebelum dirogol serta dicederakan di Bukit Batu dekat Bakri, Muar, Johor, semalam.

MUAR 29 Jan. - Malang buat seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun apabila diperlakukan secara kejam oleh seorang lelaki yang bukan sahaja merogol malah meliwat mangsa dan dipaksa melakukan seks oral di Bakri di sini semalam.

Tidak cukup dengan itu, mangsa yang enggan mengikut kemahuannya dipukul dan kemaluannya ditoreh suspek dengan senjata tajam sehingga mengakibatkan kanak-kanak berkenaan terpaksa menerima 18 jahitan.

Lebih menyedihkan kejadian tersebut berlaku semasa mangsa dalam perjalanan menaiki basikal berseorangan menggunakan jalan pintas ke sebuah sekolah agama di Bakri di sini, melalui kebun getah, pukul 3 petang.

Semasa dalam perjalanan, mangsa ditahan suspek berusia 37 tahun, kira-kira 250 meter dari Jalan Mahmud di sini, sebelum dipaksa menaiki kereta lalu melarikannya.

Insiden itu disedari seorang pekebun yang hanya sempat mencatat nombor pendaftaran kereta tersebut dan bertindak menghubungi polis.

Menurut sumber, mangsa kemudian dibawa ke sebuah tempat pembuangan sampah lalu dirogol, diliwat dan dipaksa melakukan seks oral di dalam kereta.

"Mangsa turut dicederakan suspek apabila enggan menurut kemahuan lelaki itu," katanya ketika ditemui di Bukit Bakri, sini hari ini.

Kata sumber itu lagi, selepas kejadian, suspek membawa mangsa ke sebuah stesen minyak di Bukit Bakri dan sepasukan polis yang mendapat maklumat berhubung nombor pendaftaran kereta tersebut bertindak menahannya kira-kira pukul 5 petang.

Ujarnya, mangsa diselamatkan dalam keadaan baju sekolahnya berlumuran darah, ketakutan dan tidak bermaya sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dan menerima 18 jahitan di bahagian kemaluan.

Melalui siasatan awal katanya, suspek mengaku mengambil dadah sebelum melakukan perbuatan tersebut dan direman bermula hari ini untuk membantu siasatan.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati jarak antara rumah kanak-kanak malang itu dengan sekolah agama terbabit kira-kira dua kilometer yang perlu melalui kawasan belukar, kebun sawit dan kebun getah.

Menurut penduduk tempatan yang enggan dikenali, mangsa menggunakan jalan tersebut setiap hari kerana merupakan jalan pintas dengan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk ke sekolah.

Katanya, jalan tersebut sunyi tetapi penduduk tidak mempunyai pilihan lain kerana merupakan jalan paling dekat.

`Kami cuma tidak bernasib baik'

JOHOR BAHRU - Keputusan seri 2-2 yang dicatatkan Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika menentang Lions XII dalam saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos kelmarin disifatkan pemain sebagai tiada nasib.

Pemain pertahanan JDT, Baihakki Khaizan berkata, skuad Harimau Selatan tidak bernasib baik dalam beberapa situasi dan ditambah pula semangat juang pasukan pelawat yang cukup tinggi.

"Kami sudah memperoleh dua gol, namun apa yang berlaku itu adalah bola sepak. Saya kenal pasukan (Lions XII) dan mereka bukan mudah untuk menyerah kalah, itulah sikap mereka.

"Saya harap kami dapat bangkit bagi mengharungi perlawanan akan datang," katanya.

Pada masa sama, bekas pemain Lions XII itu berharap pasukan JDT akan mempamer aksi terbaik ketika bertemu T-Team pada pusingan kedua Piala FA di sini Sabtu ini, sekali gus mencatatkan kemenangan.

"Keputusan seri itu diharap tidak melemahkan semangat pasukan kerana kami sudah memberi yang terbaik.

"Kami masih banyak perlawanan yang perlu ditempuhi, terus berfikiran positif, tidak perlu tunjuk siapa betul dan siapa salah kerana kita semua sudah cukup matang untuk terima segala keputusan," katanya.

Sementara itu, Amri Yahyah turut menyifatkan pasukannya tiada nasib dalam perlawanan kelmarin.

Bekas pemain Selangor itu berharap pasukannya melupakan kekecewaan itu untuk memberi tumpuan kepada perlawanan seterusnya.

"Semua pemain sudah memberikan yang terbaik, bukan hanya dalam perlawanan menentang Lions XII, tetapi dalam setiap perlawanan yang ditempuhi. Kini tumpuan perlu diberi kepada Piala FA kerana kami mahu melangkah ke peringkat seterusnya," katanya.

Jurulatih LionsXII, Fandi Ahmad pula begitu berpuas hati dengan tahap disiplin ditunjukkan anak-anak buahnya ketika menentang JDT yang pernah dibimbing legenda bola sepak Singapura itu.

Katanya, sukar apabila berdepan dengan sebuah pasukan seperti JDT selain bermain di hadapan puluhan ribu peminat yang memenuhi stadium.

"Kami terkejut apabila ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama, namun saya gembira mereka mampu bangkit dengan setiap orang memberikan yang terbaik, ini bukan mudah.

"Saya perlu mengakui memang sukar, namun pujian perlu diberikan kepada pemain kerana bermain bersungguh-sungguh dengan penuh semangat untuk meraih mata," katanya.

Atasi segera masalah banjir

ISMAIL Mohamed (tengah) bersama para penerima bantuan pada Program Pengagihan Wang Ihsan bagi Mangsa Banjir Negeri Johor Peringkat Daerah Muar Tahun 2013 di Dewan Orang Ramai, Gugusan Felda Maokil, Pagoh, Johor, semalam.

PAGOH 29 Jan. - Sistem perparitan yang bermasalah di kawasan Bukit Serampang sehingga mengakibatkan banjir terutama di Felda Moakil dekat sini Disember lalu akan diperbaiki. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed berkata, kerja menaik taraf tersebut akan dilakukan secepat mungkin menerusi kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pengurusan Felda.

"Kita mahu pastikan parit dan saluran air dari daerah ini yang masuk ke Sungai Muar mengalir lancar dan tidak tersekat atau disebabkan salurannya kecil serta cetek.

"Antara tindakan segera akan diambil adalah membersihkan laluan air daripada sampah-sarap serta tumbuhan yang menghalang aliran air hingga mengakibatkannya tersumbat dan melimpah," katanya selepas program Pengagihan Wang Ihsan Mangsa Peringkat Daerah Muar 2013 di Dewan Orang Ramai, Gugusan Felda Maokil semalam.

Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri memaklumkan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi bantuan sebanyak RM28,000 kepada 56 keluarga yang menjadi mangsa banjir dengan setiap keluarga menerima RM500. Beliau berharap sumbangan berkenaan mampu meringankan beban keluarga terbabit untuk membeli barangan keperluan termasuk peralatan elektrik dan perabot yang musnah akibat banjir.

Sementara itu, seorang penerima, Mohd. Salleh Ibrahim, 57, berkata, banjir yang berlaku itu mengakibatkan banyak binatang ternakannya mati selain sebahagian perabot rumahnya rosak. "Kedudukan rumah saya rendah dan hampir setiap tahun ditenggelami air. Namun, Alhamdulillah bantuan yang diterima ini sedikit-sebanyak meringankan beban keluarga saya untuk membeli barang keperluan harian," katanya.

Mohd. Azman Manap, 29, yang merupakan generasi kedua di Felda pula berkata, masalah banjir di kawasan itu perlu diatasi segera. Menurut bapa kepada seorang anak ini, banjir setinggi paras lutut mengakibatkan tikar getah, perabot serta perkakas rumahnya rosak.

27 murid dari dua sekolah rendah keracunan makanan

KOTA TINGGI 29 Jan. - Seramai 27 murid sebuah sekolah rendah di bandar ini mengalami simptom keracunan makanan setelah memakan makanan yang dihidangkan sempena Majlis Maulidur Rasul di sebuah sekolah agama berhampiran petang semalam.

Pengerusi Hospital Kota Tinggi (HKT), Dr. Maslina Yusof yang dihubungi mengesahkan mangsa terdiri daripada 25 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana, manakala dua lagi dari SK Datuk Usman Awang. Bagaimanapun kesemua mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan dirawat sebagai pesakit luar serta dibenarkan pulang.

Kesemua mangsa dihantar menaiki kenderaan guru dan sebuah ambulans untuk mendapatkan rawatan di HKT. Sementara itu, ibu kepada seorang mangsa, Siti Salimah Jumal, 32, memberitahu dia mengetahui kejadian yang menimpa anaknya daripada jirannya yang turut mempunyai anak bersekolah di kelas yang sama.

Katanya, pagi tadi sebelum ke sekolah anak ada beritahu mengalami sakit perut namun beliau hanya menganggap sakit biasa kerana setiap pagi memang anaknya selalu membuang air besar sebelum ke sekolah.

"Bagaimanapun, saya amat terkejut apabila jiran menghubungi memberitahu bahawa anaknya dan anak saya berada di hospital kerana keracunan makanan. "Saya juga merasa pelik kerana petang semalam kami tidak ada keluar makan di mana-mana namun anak memberitahu petang semalam dia ada makan makanan yang dibekalkan pihak sekolah sempena sambutan Maulidur Rasul," katanya yang di temui di HKT di sini.

Sahabuddin Ngarip, 45, berkata, beliau telah dihubungi oleh pihak sekolah kira-kira pukul 10 pagi menyuruhnya mengambil anaknya yang berada di HKT. Beliau yang risau tentang keselamatan anaknya terus bergegas ke hospital untuk menjemput mangsa.

Rabu, 29 Januari 2014

Air mata si penyamun

Segamat: Seorang lelaki berusia 45 tahun yang mencuri barangan logam milik sebuah syarikat telekomunikasi menangis di pekarangan Mahkamah Seksyen, di sini, semalam kerana bimbang perbuatannya diketahui isterinya.

Difahamkan, suspek juga menangis kerana tidak tahu apa alasan yang perlu diberi kepada isterinya yang berusia 40-an memandangkan dia akan bermalam di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat bagi membantu siasatan kes terbabit.

Suspek ditemui di pekarangan mahkamah berkenaan sementara menunggu perintah tahanan reman terhadapnya serta seorang rakan jenayahnya.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, suspek ditahan bersama seorang rakannya berusia 32 tahun berhampiran menara pencawang milik sebuah syarikat telekomunikasi di sekitar FELDA Kemelah di sini, oleh juruteknik syarikat itu pada jam 11 malam kelmarin.

Foto ANGGOTA polis menunjukkan barang yang dirampas daripada kedua-dua suspek. “Juruteknik berkenaan mahu menyiapkan tugasannya dan pergi ke lokasi berkenaan sebelum nampak dua lelaki membawa beg berhampiran menara pencawang terbabit.

MRQ 76 tingkat pengeluaran beras wangi

KERJA menuai padi MRQ 76 yang kali pertama dihasilkan di Kampung Kesang Tasek dekat Kesang, Ledang, Johor.

LEDANG 28 Jan. - Daerah ini menjadi perintis memperkenalkan penggunaan benih padi baharu MRQ 76 di 1,531 hektar sawah di negeri ini dalam usaha meningkatkan pengeluaran dan memenuhi permintaan terhadap beras wangi berkualiti tinggi.

Jenis tersebut yang dihasilkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjadikan kawasan kira-kira 2.4 hektar di Kesang Tasek, dekat sini sebagai projek perintis untuk melihat kesesuaian dan hasilnya.

Pegawai Pertanian Daerah Ledang, Abdullah Rashidi berkata, mengikut perancangan apabila jenis MRQ 76 berjaya ditanam dan mengeluarkan produktiviti tinggi di Kesang Tasek, benih baharu itu turut akan ditanam di daerah lain.

"Kesang Tasek menjadi model untuk seluruh negeri ini. Selepas ini kita akan gunakan varieti ini di semua kawasan sawah di Ledang iaitu di Kesang Tasek dengan keluasan 76 hektar, Kesang Gate (32.4), Pulau Penarek (50.7), Telok Rimba (151.52) dan Sawah Ring (270).

"Ledang menyumbang kira-kira 70 peratus hasil beras untuk negeri ini dan kita percaya selepas ini Mersing yang merupakan kawasan sawah padi kedua terbesar akan menggunakan benih baharu ini diikuti daerah lain," katanya ketika ditemui selepas majlis menuai padi baharu MRQ 76 di Kampung Kesang Tasek, hari ini.

Beliau berkata, varieti baharu itu mempunyai banyak keistimewaan, antaranya pokok tegak serta tegap dengan daun pengasuh yang panjang dan tegak, matang pada 117 hari selepas ditabur benihnya, selain tahan penyakit karah atau serangan kulat yang merosakkan tangkai dan daun serta tahan serangan bena perang iaitu serangan ulat, serangga, hawar daun bakteria, hawar seludang dan penyakit merah virus.

MRQ 76 turut menghasilkan beras seroi atau peroi yang lembut, melekit dan sedikit berketul serta mampu mencecah lima hingga enam tan metrik bagi satu hektar sawah dan boleh dijual RM1.60 sekilogram (kg) berbanding beras jenis lain seperti MR220CL1 dan MR220CL2 iaitu RM1.15 bagi satu kilogram.

"Benih jenis ini sesuai ditanam di kawasan yang bukan jelapang padi. Johor menjadi negeri keempat menggunakan benih ini selepas Terengganu, Kedah, Perak dan Melaka," katanya sambil memberitahu benih tersebut mampu meningkatkan pendapatan petani dan mengurangkan kos penanaman atau penyelenggaraan kerana tidak perlu menggunakan racun atau baja kimia bagi mengawal serangga atau penyakit.

Abdullah berkata, MRQ 76 hanya menggunakan baja organik dihasilkan daripada najis ayam atau lembu dan kaedah tersebut mesra alam serta lebih selamat.

"Penggunaan varieti baharu ini juga disasar bagi mengurangkan 30 peratus atau kira-kira RM500 juta yang dibelanjakan untuk import beras wangi dari Vietnam, Thailand dan Kemboja bagi menampung keperluan dalam negara," katanya.

Ahad, 26 Januari 2014

ANAK KERBAU KEPALA 2 - KOTA TINGGI

KOTA TINGGI 25 Jan. - Pekerja Ladang Alaf dekat sini gempar dengan kelahiran seekor anak kerbau balau merah yang berkepala dua semalam.

Pengurus ladang tersebut, Fauzahar Sail, 40, ini merupakan kali pertama dia melihat kejadian aneh seperti itu apabila ibu kerbau melahirkan seekor anak berkepala dua.

"Barangkali ini salah satu keberkatan dan kebesaran ditunjukkan Allah SWT di ladang ini, maklumlah pada masa ini ramai orang datang membeli dan menyembelih haiwan ternakan seperti lembu dan kambing sempena sambutan Maulidur Rasul.

"Bagaimanapun saya terkilan tidak dapat perlihatkan kepada orang ramai kerana anak kerbau itu tidak dapat diselamatkan semasa dilahirkan," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.

Pembantunya, Mohd. Rafiq Kadir, 27, percaya anak kerbau itu telah mati sebelum dilahirkan berikutan air ketuban telah kering.

Dia bersama enam rakan sekerja cuba membantu ibu kerbau itu dari pukul 10.30 pagi Khamis lalu, namun sehingga petang mereka gagal mengeluarkan anak kerbau berkenaan.

"Kami kemudian mengambil keputusan menyuntik ibu kerbau dengan sejenis cecair perangsang agar dapat melahirkan anaknya secara semula jadi.

"Dalam pukul 10 pagi tadi (semalam) bila saya tinjau ibu kerbau itu berjaya melahirkan anaknya, tetapi terkejut mendapati anak kerbau itu mempunyai dua kepala dan sudah tidak bernyawa," katanya.

"Sudah tiga tahun saya bekerja di sini, tetapi baru kali ini menyaksikan peristiwa aneh seperti ini," katanya.

https://www.facebook.com/johordarultazimharimauselatan

BAHASA JOHOR ( Rujukan hampir Lengkap)

Kalau orang tak tahu, ramai orang anggap bahasa orang Johor ini sama saja. Contohnya masa saya belajar kat luar Johor dulu, orang tak tahu saya orang mana selagi dia tak tanya saya. Sedangkan dia boleh tahu orang Kedah, Kelantan atau Terengganu tanpa bertanya pada orang tu.Ada juga loghat daerah yang lebih halus lagi seperti dari daerah Muar, Segamat, Batu Pahat, Sg Rengit, Kuala Sedeli yang mempunyai loghatnya tersendiri. Sampai sekarang, bahasa ni masih digunakan.

Air Tawo – Air Tawar
Bak - bawa
Bandor – Bandar
Belajor – belajar
Besor – Besar
Betok - Ikan puyu
Bobos - bocor
Buboh - letak
Cador – cadar
Calor – calar
Cenonet - kecik

Engko – Engkau
Esbok – Peti Sejuk
Gambor – Gambar
Gebor – selimut
Getol - Sekel kepala
Grobok – Almari
Hangen – angin
Hantor – hantar

Jajan – Makanan Ringan
Jerang - masak air/nasi
Jerih - Semput
Jotos - sekel (Aku jotos kepala engko kang)
Kang - nanti
Kejor – Kejar
Kerek - Eksen
Kolah - tempat simpan air
Koknai - Main kejar kejar
Kokot - ambil sampai habis
korang - engkau orang
Kosi – kerusi

Lantak - hentam keromo
Lapor – Lapar
Laymo - Limau
Lawo – cantik
Leceh - lambat (Leceh betullah ko ni)
Longgo - Longgar
Mancah - Menebas
Muor – Muar

Ngeteh – Minum air di kedai
Nonong - tanpa memperdulikan apa-apa pun (Orang tu nonong ajer)
Pasor – pasar
Pasor Lambak – Pasar Malam
pestol – pistol
Peygang- pegang

Sarap - Sarapan
Nyonyot - Hisap
Nor - betul (panjang nor cerita ni)
Pakkal - Nasib baiklah
Segor – segar
Selipor – selipar
Semangka - tembikai
Sengabong - Sungai Abong
Sila panggung - Duduk rilek
Sogame – sekolah agama
Sokkabor – Surat Khabar

Tanak - Masak
Tampor – tampar
Terpeleot - terseliuh
Tikor – tikar
Tombot - pelupusan sampah
Tualo - tuala

Motosikal - Orang Muar tak panggil moto, dia panggil 'motosikal'.

Televisyen - Orang Muar tak panggil TV, tapi panggil 'televisyen'.

Copypaste#.

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com