Keadaan bandar raya Johor Bahru yang padat dengan pembangunan.
JOHOR BHARU - Bandaraya Johor Bahru yang juga ibu negeri Johor adalah
bandar raya kedua terbesar di negara ini, dengan jumlah penduduk
melebihi 1.4 juta menjadikannya antara kota raya tumpuan.
Ekonomi bandar raya ini dijana daripada sektor pelancongan,
perindustrian dan perdagangan memandangkan kedudukannya di pintu masuk
selatan Malaysia.
Perkembangan perindustrian di Johor Bahru yang begitu pesat menjadikan
ia sebagai salah satu pusat perindustrian yang terbesar di negara dengan
pembukaan kilang-kilang industri memberi ruang rezeki kepada penduduk
tempatan.
Pusat beli-belah yang wujud di bandaraya ini juga didominasi pelancong
Singapura yang melawat sambil mengambil kesempatan membeli belah susulan
kadar tukaran mata wang Singapura yang semakin kukuh berbanding
ringgit.
Di bawah pelan induk Pihak Berkuasa Iskandar Malaysia (Irda), Johor
Bahru dijangka akan berkembang menjadi metropolitan besar dengan
bilangan penduduk melebihi tiga juta orang menjelang 2025.
Dalam tempoh 15 tahun, pemimpin bersilih ganti dan menyaksikan bandar
raya ini dibahagikan kepada tiga parlimen iaitu Johor Bahru yang kini
diterajui Tan Sri Shahrir Abdul Samad; Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed
dan Nusajaya, Lim Kit Siang.
Pembangunan infrastruktur seperti pembinaan lebuh raya, terminal
pengangkutan awam baru dan sebagainya antara yang dilaksanakan ketika
itu.
Bagi Adun Tanjung Puteri, Datuk Adam Sumiru, pelbagai bentuk
pembangunan telah dilaksanakan sebagai menyediakan kemudahan serta
melengkapkan prasarana kepada seluruh penduduk Johor Bahru sekali gus
memberi keselesaan kepada mereka.
“Antara kemudahan yang dibina termasuklah Lebuh raya Lingkaran
Penguraian Timur (EDL) , jalan raya bertingkat, sekolah, hospital, lebuh
raya pesisir pantai dan sebagainya yang menjurus kepada pembangunan
menyeluruh agar semua pihak menerima impaknya,” katanya.
Beliau berkata, tidak dapat dinafikan terdapat pelbagai kesan positif
daripada pembangunan yang dilaksanakan namun rakyat turut menerima
tempiasnya dengan peningkatan taraf hidup dari semasa ke semasa.
“Antara yang ketara ialah harga atau sewa rumah yang tinggi. Meskipun
pendapatan isi rumah adalah RM6,000 belum tentu mereka dapat membeli
rumah dengan harga RM300,000 ke atas. Justeru, kerajaan perlu membina
lebih banyak rumah mampu miliki dengan nilai RM150,000 ke bawah supaya
rakyat dapat memiliki aset sendiri,” katanya.
Beliau berharap dengan pimpinan Menteri Besar baru, Datuk Seri Mohamed
Khaled Nordin, Johor Bahru terus menikmati pembangunan dengan memberi
lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi yang berumur 30 tahun ke
bawah.
“Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan penghijrahan penduduk ke
negeri lain untuk mencari rezeki. Kalau di Dun saya, kawasan
perindustrian agak kurang.
“Kebanyakan penduduk menjana ekonomi dengan membuat perniagaan atau
menyediakan perkhidmatan kepada para peniaga. Memang ada pusat latihan,
tetapi peluang perniagaan agak kurang.
“Dalam perancangan juga, kawasan perindustrian Larkin juga dalam masa
lima hingga 10 tahun akan bertukar menjadi kawasan kediaman yang
dikhuatiri akan meningkatkan harga rumah di kawasan tersebut.
“Perkembangan ini dikhuatiri akan menjejaskan populasi penduduk kerana
berkemungkinan orang Melayu akan keluar dari bandar untuk mencari rezeki
di tempat lain. Jadi diharap Menteri Besar harus memberi perhatian
kepada generasi muda,” katanya.