IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Memaparkan catatan dengan label Batu Pahat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Batu Pahat. Papar semua catatan

Sabtu, 8 Jun 2019

Padah guna siren polis untuk mudahkan perjalanan

BATU PAHAT: Seorang lelaki yang menggunakan siren polis untuk memudahkan perjalanannya meredah kesesakan lalu lintas di Parit Raja, di sini, petang Khamis (6 Jun) sudah ditahan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Azhan Abdul Halim berkata penahanan lelaki berusia 34 tahun itu dilakukan kira-kira 10.30 pagi semalam, susulan satu aduan awam yang dilakukan pada 2.30 pagi hari sama.

Katanya sebuah rakaman video yang menunjukkan kenderaan suspek menggunakan siren itu turut menjadi tular dalam media sosial sejak kejadian.

"Dalam penahanan itu, polis telah merampas sebuah kereta Proton Gen 2 yang digunakan suspek. Selain itu, satu set siren yang telah dipasang dalam kereta berkenaan turut ditemukan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Polis 1967 kerana kesalahan menghalang lalu lintas serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Jika sabit dengan kesalahan halangan lalu lintas itu, suspek boleh didenda sebanyak RM200 atau dipenjara selama tiga bulan atau kedua-duanya sekali manakala bagi kesalahan menyamar penjawat awam, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali, katanya.

Beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan yang ditetapkan dan mengamalkan pemanduan berhemah terutama di musim perayaan yang sering berlaku kepadatan serta kesesakan lalu lintas.

-- BERNAMA

Sabtu, 19 Januari 2013

BATU PAHAT : Jalan pintas akan dibina tidak perlu guna laluan utama yang sesak

Jalan pintas akan dibina tidak perlu guna laluan utama yang sesak


 Noraini berbincang dengan penduduk tempatan berkaitan jalan pintas yang bakal dibina.



BATU PAHAT – Penduduk di Kampung Tambak dan Kampung Lapis Peserai, di sini menarik nafas lega apabila jalan pintas menghubungkan kedua-dua laluan di situ akan dibina.

Jalan sepanjang 700 meter itu dijangka memudahkan 400 penduduk kawasan berkenaan termasuk pelajar sekolah berhampiran yang tidak lagi perlu melalui jalan utama.

Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad berkata, dengan adanya jalan tersebut, keselamatan kanak-kanak sekolah rendah terutamanya akan lebih terjamin.

Menurutnya, pembinaan jalan tersebut yang dijangka akan dimulakan dalam masa terdekat akan memendekkan masa penduduk untuk ke sesuatu destinasi berbanding menggunakan jalan utama.

“Tujuan saya meluluskan pembinaan jalan itu ada dua sebab, iaitu memberi kemudahan kepada pelajar sekolah dan juga memudahkan ibu bapa yang mengambil serta menghantar anak mereka ke sekolah.

“Sebab yang kedua, ialah faktor keselamatan kanak-kanak yang kebiasaannya menunggang basikal untuk ke sekolah, jika sebelum ini mereka menggunakan jalan utama yang agak bahaya kerana keadaannya yang sibuk.

“Selain itu ia turut memberi kemudahan kepada mereka yang tinggal di Taman Bendahara yang turut berada di kawasan berkenaan,” katanya.

Menurut Noraini lagi, pihaknya akan sentiasa memastikan penduduk serta masyarakat yang berada dalam kawasan Parlimennya boleh berkongsi masalah yang timbul.

Katanya, sebagai contoh masalah jalan pintas ini, penduduk di sini mengemukakan permohonan untuk membuatnya, dan jika tiada halangan setiap permohonan yang memudahkan rakyat akan diluluskan.

“Saya harap masyarakat dalam kawasan Parit Sulong dapat berbincang sekiranya mempunyai masalah, tidak kiralah ianya berkaitan dengan jalan, sistem perparitan juga kebajikan.

“Pihak Parlimen akan terus berusaha untuk memastikan masyarakat dalam kawasan ini menerima pembangunan yang sewajarnya.

“Saya yakin, setiap masalah yang timbul itu pasti ada penyelesaiannya, cuma setiap masalah itu perlu mengikut prosedur yang telah ditetapkan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

JDTns - Sinar

Isnin, 14 Januari 2013

Khalwat: Pemuda beri alasan rehat selepas penat bersiar-siar

BATU PAHAT – Seorang pemuda memberi alasan datang ke hotel kerana hanya mahu berehat setelah penat bersiar-siar di sekitar bandar di daerah ini selepas ditangkap khalwat bersama pasangannya.

Pasangan terbabit dicekup oleh Unit Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Daerah Batu Pahat, di sebuah hotel di sini selepas pihak berkuasa melakukan operasi mencegah maksiat.

Timbalan Ketua Penguatkuasanya, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, dalam serbuan kira-kira jam 2.30 pagi itu, mereka terpaksa menunggu lama selepas pasangan terbabit enggan membuka pintu.

Menurutnya, selepas pintu bilik dibuka, pemeriksaan awal mendapati hanya seorang lelaki berada di dalam bilik itu, manakala wanita terbabit dipercayai bersembunyi di dalam tandas.

“Lelaki terbabit yang bekerja di Negeri Sembilan itu hanya mampu tersenyum pada mulanya apabila ditanya mengenai status hubungan mereka. Dia kemudiannya memberikan pelbagai alasan termasuklah hanya berehat sahaja.

“Pasangan berusia lingkungan 20an ini enggan membuka pintu pada mulanya, namun selepas beberapa kali pintu berkenaan diketuk dan beberapa pegawai penguatkuasa mendesak untuk memecah pintu, barulah pasangan terbabit membukanya.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki dan seorang wanita yang berada di dalam tandas bilik itu tidak mempunyai hubungan sah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Saiful berkata, pasangan terbabit ditahan untuk dokumentasi dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 27(1)(a)(b) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Johor 1997.

“Pasangan terbabit akan dihadapkan ke mahkamah selepas siasatan selesai dilakukan berhubung kesalahan yang dilakukan itu. Tangkapan ini sebagai pengajaran kepada orang ramai.

“Operasi yang dilakukan ini adalah untuk terus membendung perbuatan sumbang yang semakin membimbangkan di kalangan anak-anak muda yang semakin banyak sejak akhir-akhir ini.

“Selain itu, operasi seperti ini juga akan dilakukan dengan lebih kerap lagi dengan tertumpu pada aduan orang ramai, hotel-hotel bajet dan juga kawasan yang berpotensi untuk kelakuan seperti ini,” katanya.

JDTns

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com