IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Sabtu, 19 Januari 2013

BATU PAHAT : Jalan pintas akan dibina tidak perlu guna laluan utama yang sesak

Jalan pintas akan dibina tidak perlu guna laluan utama yang sesak


 Noraini berbincang dengan penduduk tempatan berkaitan jalan pintas yang bakal dibina.



BATU PAHAT – Penduduk di Kampung Tambak dan Kampung Lapis Peserai, di sini menarik nafas lega apabila jalan pintas menghubungkan kedua-dua laluan di situ akan dibina.

Jalan sepanjang 700 meter itu dijangka memudahkan 400 penduduk kawasan berkenaan termasuk pelajar sekolah berhampiran yang tidak lagi perlu melalui jalan utama.

Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad berkata, dengan adanya jalan tersebut, keselamatan kanak-kanak sekolah rendah terutamanya akan lebih terjamin.

Menurutnya, pembinaan jalan tersebut yang dijangka akan dimulakan dalam masa terdekat akan memendekkan masa penduduk untuk ke sesuatu destinasi berbanding menggunakan jalan utama.

“Tujuan saya meluluskan pembinaan jalan itu ada dua sebab, iaitu memberi kemudahan kepada pelajar sekolah dan juga memudahkan ibu bapa yang mengambil serta menghantar anak mereka ke sekolah.

“Sebab yang kedua, ialah faktor keselamatan kanak-kanak yang kebiasaannya menunggang basikal untuk ke sekolah, jika sebelum ini mereka menggunakan jalan utama yang agak bahaya kerana keadaannya yang sibuk.

“Selain itu ia turut memberi kemudahan kepada mereka yang tinggal di Taman Bendahara yang turut berada di kawasan berkenaan,” katanya.

Menurut Noraini lagi, pihaknya akan sentiasa memastikan penduduk serta masyarakat yang berada dalam kawasan Parlimennya boleh berkongsi masalah yang timbul.

Katanya, sebagai contoh masalah jalan pintas ini, penduduk di sini mengemukakan permohonan untuk membuatnya, dan jika tiada halangan setiap permohonan yang memudahkan rakyat akan diluluskan.

“Saya harap masyarakat dalam kawasan Parit Sulong dapat berbincang sekiranya mempunyai masalah, tidak kiralah ianya berkaitan dengan jalan, sistem perparitan juga kebajikan.

“Pihak Parlimen akan terus berusaha untuk memastikan masyarakat dalam kawasan ini menerima pembangunan yang sewajarnya.

“Saya yakin, setiap masalah yang timbul itu pasti ada penyelesaiannya, cuma setiap masalah itu perlu mengikut prosedur yang telah ditetapkan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

JDTns - Sinar

Banjir di Johor 1,180 dipindah

 JOHOR BAHRU - Seramai 1,180 penduduk dipindahkan ke lima pusat pemindahan berikutan banjir di Johor selepas hujan tidak berhenti sejak awal pagi ini.

Kawasan yang terlibat ialah Kampung Laut dan Kampung Sungai Tiram di Johor Baharu; Kampung Baru Sungai Mas di Penawar; Taman Aman, Taman Mawai di Johor Lama dan PPMS Kampung Batu, Teluk Ramunia di Kota Tinggi.

Mangsa banjir ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Batu 10 dan Balairaya Batu 18 Sungai Tiram di Johor Baharu serta    Dewan Kota Kecil, Dewan Kampung Baru Sungai Mas dan Dewan Kampung Baru PPMS Teluk Ramunia di Kota Tinggi.

Pegawai Daerah Kota Tinggi Ismail Karim berkata pihaknya sudah bersiap siaga berikutan makluman kemungkinan banjir di daerah itu oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

Beliau berkata kebanyakan mangsa di daerah itu mula dipindahkan ke pusat pemindahan banjir pada 10 pagi.

"Tinjauan pukul 3 petang tadi mendapati air mulai surut, namun mangsa tidak dibenarkan pulang kerana masih hujan," katanya kepada pemberita.

Ismail menasihati orang ramai, khususnya penduduk di kawasan rendah, supaya berhati-hati dan bersiap sedia untuk berpindah sekiranya paras air terus naik di kawasan mereka.

Seorang mangsa yang tinggal di Taman Mawai, R. Prima, 38, berkata beliau dan suaminya sempat memindahkan barang ke tingkat atas rumah dua tingkat mereka sebelum berpindah pada 10 pagi.

Prima berkata ketika banjir pada 2006/2007, air melepasi lantai tingkat satu rumahnya dan banyak barangan tidak sempat diselamatkan.

Ketua MCA Bahagian Gelang Patah Jason Teoh berkata pihaknya mengagihkan makanan dan air mineral kepada mangsa banjir di Kampung Laut pada sebelah pagi sementara menunggu bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Beliau berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri Nusajaya Datuk Aziz Sapian dan Pegawai Daerah Johor Bahru Amran A Rahman turut melawat mangsa.

Sementara itu, portal publicinfobanjir.water.gov.my milik Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia menasihati penduduk di sekitar Batu Pahat agar berjaga-jaga kerana paras air Sungai Lenik di Ladang Chaah sudah mencapai tahap 5.79 meter, melepasi paras amaran yang ditetapkan. - Bernama

JDTns -

Annuar dakwa kehadiran GGK di Kota Bharu untuk iringi pemain Johor DT

 

Petaling Jaya :  Kehadiran anggota Rejimen ke-21 Grup Gerak Khas Komando (GGK) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Selasa lalu memang dibincangkan dalam mesyuarat membabitkan wakil Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sebelum perlawanan antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (DT).

Perkara itu disahkan Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui
selepas perlawanan antara FELDA United dan Kelantan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, petang semalam. Bagaimanapun, katanya kehadiran GGK itu sebenarnya dengan tujuan mengiringi pasukan Johor DT, bukan untuk persediaan andai Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mencemar duli menyaksikan perlawanan terbabit.

“Saya ada tanya seorang pegawai GGK berpangkat mejar ketika ditemui di sebuah hotel di Kota Bharu mengenai tugasan anggota terbabit.

“Mejar itu kata mereka ditugaskan untuk mengiringi pasukan Johor DT. Saya tanya, tak bolehkah iringi tanpa pakaian lengkap tetapi katanya tak boleh. Jadi saya kata okey, saya tak mahu halang.

Beri nama enam VIP

“Saya juga tanya kepada setiausaha PBNJ, Suhairi Hashim, siapa kenamaan yang akan hadir dan dia beri enam nama tetapi tiada nama Sultan Johor dan Tengku Mahkota Johor.

“Pagi perlawanan saya tanya lagi, pun Suhairi jawab hanya kita-kita saja,” katanya.

Semalam akhbar melaporkan anggota GGK yang berada di stadium berkenaan, ditugaskan sebagai persediaan langkah keselamatan kerana Sultan Johor dilaporkan akan berangkat menyaksikan perlawanan pada malam itu.

Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkata kehadiran anggota yang berpangkalan di Kem Iskanar, Mersing itu bukan untuk mengawal atau menjaga pasukan Johor DT, sebaliknya sebagai Prosedur Operasi Standard (SOP).

JDTns- Sukan Berita Harian

Amaran hujan lebat peringkat jingga di Johor

KEADAAN Taman Aman dan Taman Mawai, Kota Tinggi yang dinaiki air sejak jam 6 pagi tadi. - Foto Ahmad Othman  KEADAAN Taman Aman dan Taman Mawai, Kota Tinggi yang dinaiki air sejak jam 6 pagi tadi.

JOHOR : Hujan sekejap-sekejap kadang kala lebat di beberapa kawasan di Johor dijangka berterusan sehingga esok.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata kawasan terlibat ialah Johor Bahru, Kulaijaya dan Kota Tinggi.

"Keadaan ini akan menyebabkan banjir di kawasan yang berkedudukan rendah," kata kenyataan itu.


Sementara itu, amaran peringkat kuning iaitu hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana di Terengganu (Kemaman), Pahang (Pekan, Rompin dan Kuantan) dan Johor (Mersing dan Kluang) dijangka berterusan hingga esok.

"Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah," kata kenyatan itu.

- BERNAMA

Norshahrul penyelamat

JOHOR BAHRU - Johor Darul Takzim mencatatkan keputusan seri 2-2 pada pertemuan Liga Super menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini semalam.

Perlawanan penuh dramatik itu turut disaksikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berkenan mencemar duli hadir ke stadium bersama-sama lebih 30,000 penyokong Harimau Selatan untuk memberikan sokongan.

The Gladiators membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Amiridzwan Taj selepas berjaya menyambar bola hasil sepakan percuma ketua pasukan, Rezal Zambry Yahya untuk menewaskan penjaga gol, Mohd. Zamir Selamat.

Kegagalan pasukan pelawat mengeluarkan bola dari kawasan pertahanan mengundang padah buat mereka apabila Daniel Guiza pantas menyambar peluang itu untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-17 hasil sepakan lambung yang berjaya mengelirukan penjaga gol, Farizal Harun.

Irwan Fadzly Idrus kembali meletakkan skuad kendalian B. Sathianathan mendahului pada minit ke-39 menerusi sepakan percuma.

Seminit kemudian Norshahrul Idlan Talaha menyamakan semula kedudukan hasil hantaran lintang Nurul Azwan Roya.

Penyerang sensasi negara, Safee Sali hampir meletakkan Harimau Selatan di hadapan pada minit ke-50, namun tandukannya di dalam kotak penalti hasil hantaran Guiza melepasi palang gol.

Skuad kendalian Fandi Ahmad memiliki peluang berharga untuk mencipta gol kemenangan pada minit ke-70 tetapi sepakan voli Guiza tersasar jauh dan rembatan deras Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak yang menggantikan Safee Sali pada minit ke-71 sekadar terkena tiang gol.

Ketika perlawanan berbaki lapan minit, ATM terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Mohd Fitri Omar diarah keluar padang apabila dilayangkan kad kuning kedua selepas melakukan kekasaran terhadap Mohd. Zaquan Adha.

Jumaat, 18 Januari 2013

Felda Kledang gondol RM1 juta

Abdull Rozak Ahmad Marzuki (berdiri, empat dari kanan) bersama isteri dan anak-anak peneroka yang menyertai program gotong-royong di Felda Kledang, Kota Tinggi baru-baru ini.

KOTA TINGGI  - Tarikh 7 Julai 2010 cukup bermakna bagi 380 warga Felda Kledang kerana pada hari tersebut tanah rancangan itu diumumkan sebagai pemenang Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF), sekali gus menggondol RM1 juta.

Bagi mereka, penat lelah dan kesusahan meneroka empat hektar tanah setiap seorang kira-kira 30 tahun lalu berbaloi kerana akhirnya diiktiraf dengan penganugerahan AKKF 2010 iaitu anugerah yang cukup berprestij daripada Felda.

Anugerah itu sebenarnya menjadi pembakar semangat seluruh warga Felda tersebut dengan melakukan pelbagai anjakan berganda dan berikutan itu Felda Kledang terus menyerlah dan meraih kejayaan demi kejayaan dalam semua aspek kehidupan masyarakat di kampung tersebut.

Pengurus Felda Kledang, Abdull Rozak Ahmad Marzuki berkata, setelah menerima anugerah itu, pihaknya bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) serta seluruh penduduk merancang dan melaksanakan beberapa projek yang boleh memberikan manfaat secara menyeluruh dan berterusan.

"Separuh daripada hadiah kemenangan RM1 juta itu diagih-agihkan kepada 380 peneroka secara tunai, manakala bakinya dimanfaatkan untuk membiayai beberapa projek yang dikendali dan diurus secara bersama oleh Felda dan JKKR.

"Antara projek yang sedang dan telah dilaksanakan adalah pembinaan sembilan unit kedai yang melibatkan kos RM120,000, enam calet (RM120,000), taman kanak-kanak (RM50,000) dan menara surau (RM25,000)," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Abdull Rozak, pihaknya tidak menduga mendapat permohonan yang banyak daripada golongan muda Felda Kledang bagi kedai yang memberikan pengkhususan kepada perkhidmatan motosikal dan kenderaan.

Katanya, Calet D'Harmoni Kledang yang mempunyai enam bilik juga sudah mendapat tempahan walaupun sedang menjalani kerja-kerja kemasan kerana sewa yang dikenakan adalah serendah RM90 sahaja.

Ujarnya, calet di kawasan seluas 0.8 hektar itu menjanjikan suasana berbeza kerana dikelilingi dusun dan tanaman herba, malah sering dijadikan 'rumah bertandang' terutama ketika majlis keramaian seperti perkahwinan, selain kerap dikunjungi warga Singapura yang dahagakan keindahan semula jadi ala kampung.

Bagi memastikan warga tanah rancangan itu terus berdaya saing dalam apa juga keadaan, Abdull Rozak turut menggalakkan peneroka mengusahakan tanaman rebung madu di kawasan terbiar, seluas lapan hektar yang kini menjadi salah satu sumber pendapatan yang cukup lumayan.

Katanya, ladang itu diusahakan Osman Selamat, 60, bersama pasangannya, Siti Zainah Bakri, 50, yang kini mampu memperoleh pendapatan bulanan bersih antara RM2,500 hingga RM3,000, selain hasil komoditi kelapa sawit seluas empat hektar.

Tambah Abdull Rozak, berkat semangat gotong-royong yang tinggi dan perpaduan serta persefahaman penduduk, Felda Kledang terus melakar sejarah dengan menerima pelbagai anugerah termasuk tempat ketiga dalam Anugerah Persatuan Belia Felda Terbaik peringkat kebangsaan.

Selain itu, pencapaian lain yang dicatatkan adalah Persatuan Belia Cemerlang Negeri Johor, Pintu Gerbang Terbaik sempena Bulan Kemerdekaan dan Surau Cemerlang Negeri Johor yang kesemuanya menerima hadiah dalam bentuk wang tunai.

"Kejayaan ini menjadi sumber inspirasi kepada kami semua untuk meneruskan kehidupan dengan melakukan pelbagai anjakan berganda bagi membolehkan bangsa Melayu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain," katanya.

JDTns

Johor Darul Takzim FC janji terbaik jumpa ATM

Tunku Ismail berharap pasukan Johor Darul Takzim mempamerkan persembahan terbaik menentang ATM dalam saingan Liga Super malam ini.

JOHOR BAHRU - Johor Darul Takzim akan memberikan persembahan terbaik pada pertemuan Liga Super menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, pasukan itu akan menampilkan corak permainan yang berkualiti untuk para penyokong dan seterusnya mencipta kemenangan.

"Kita menghormati ATM, mereka merupakan antara pasukan yang hebat dan memiliki jurulatih hebat. Kita akan pastikan Johor Darul Takzim akan menampilkan permainan bola sepak yang berkualiti.

"Saya berharap pasukan ini akan bermain dengan baik dan mencipta kemenangan," katanya pada sidang akhbar di Istana Bukit Pelangi, semalam.

Pasukan Harimau Selatan setakat ini masing-masing melakar satu kemenangan, seri dan tewas.

Terbaharu, pasukan yang dibimbing oleh bekas pemain Singapura, Fandi Ahmad itu terikat 1-1 dengan Kelantan di Kota Bharu, Selasa lalu.

Satu kemenangan ke atas Perak dan tewas kepada pendahulu liga, Pahang 2-3 pada aksi sulung.

Dalam pada itu, Tunku Ismail melahirkan rasa gembira terhadap persembahan pemain import, Daniel Guiza ketika menentang Kelantan, malah yakin pemain yang dipinjam dari Liga Sepanyol itu akan terus beraksi cemerlang selepas ini.

Mengulas mengenai persembahan Safee Sali, Tunku Ismail berkata, pemain itu memerlukan sedikit masa untuk mengembalikan prestasi sebenarnya dan akan menemui sentuhannya tidak lama lagi.

"Safee sudah lima bulan tidak beraksi ketika di Indonesia, berikan dia sedikit masa. Pengurus pasukan, Fandi Ahmad sedang membantunya untuk mengembalikan sentuhannya," katanya.

Khamis, 17 Januari 2013

TMJ kesal dengan Kelantan

Tunku Ismail sangat kesal dengan Kelantan FA yang tidak meletakkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi mengawal keselamatan penyokong Johor.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu telah melahirkan kekecewaan terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang tidak melakukan persediaan bagi mengawal keselamatan penyokong Johor yang hadir di stadium semasa perlawanan Liga Super antara Johor Darul Takzim dan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baharu pada Selasa (15 Januari).

Tindakan KAFA tidak meletakkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi mengawal keselamatan penyokong Johor sepanjang mereka berada di stadium adalah amat dikesali, titah baginda.

Tunku Ismail bertitah pihak baginda menerima banyak aduan penyokong Johor dibaling batu dan botol oleh penyokong fanatik Kelantan.

"Selain itu para pemain dan penyokong Johor terpaksa menyelinap keluar melalui pintu lain selepas lampu limpah dipadamkan dan diiringi Polis Diraja Malaysia sejauh 20 kilometer meninggalkan stadium," titah Tunku Ismail.

Sementara itu, Tunku Ismail berkata anggota tentera yang kelihatan di stadium ketika perlawanan berkenaan dua hari lepas merupakan anggota komando Rejimen 21 Grup Gerak Khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tunku Ismail menafikan mereka yang lengkap bersenjata itu merupakan anggota tentera daripada pasukan Timbalan Setia Negeri Johor (TSN).

"Mereka (anggota Gerak Khas) berada di stadium kerana menerima arahan yang menyatakan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar akan mencemar duli menyaksikan perlawanan itu," titah baginda pada sidang media di kediaman baginda di sini hari ini.

Baginda bertitah kehadiran anggota Gerak Khas itu merupakan persediaan keselamatan sekiranya Sultan Johor, yang juga Kolonel Komandan GGK menyaksikan perlawanan terbabit.

Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor bertitah kehadiran anggota Gerak Khas itu merupakan prosedur biasa yang telah ditetapkan dan tidak perlu dijadikan isu oleh mana-mana pihak.

"Kita boleh tanya kepada para pegawai mereka (Grup Gerak Khas), mereka ditugaskan bersedia untuk kehadiran Sultan Johor," titah baginda.

Media hari ini melaporkan ketidakpuasan hati penyokong pasukan Kelantan berikutan kehadiran anggota tentera lengkap bersenjata yang disangka daripada TSN pada perlawanan antara kedua-dua pasukan dua hari lepas.

JDTns - BERNAMA

Selasa, 15 Januari 2013

Misi merantai Harimau Selatan

Skuad Kelantan berlatih di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, semalam menjelang perlawanan menentang Johor Darul Takzim, hari ini.

KOTA BHARU - Ibarat 'buku bertemu ruas' - paling tepat menggambarkan pertarungan Kelantan dan Johor Darul Takzim dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Pertembungan buat kali pertama, Kelantan yang menanti selaku juara treble musim lalu tidak sabar menerima kunjungan Harimau Selatan yang dibarisi pemain bintang termasuk bekas penyerang mereka, Norshahrul Ildan Tahala.Bagi ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak, beliau optimis pasukan bimbingannya mampu melakar kemenangan bergaya walaupun Johor Darul Takzim diwakili ramai pemain kebangsaan.

`Kita akan menggunakan kelebihan beraksi di Kota Bharu untuk menumbangkan Johor Darul Takzim pada perlawanan tersebut. Di sini (Stadium Sultan Muhammad IV) kita menjadi pilihan menewaskan mana-mana pasukan yang datang."Sokongan padu puluhan ribu penyokong setia pasti menyuntik semangat pemain untuk memperagakan aksi terbaik pada perlawanan itu seterusnya meraih tiga mata penuh,"

katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.Dalam pada itu, Bojan mengakui Johor Darul Takzim sebuah pasukan hebat dan dibarisi oleh ramai pemain kebangsaan dan pemain import seperti Daniel Guiza dan Simone Del Nero."Kita perlu menyekat mereka terutamanya gandingan Norshahrul dan Guiza kerana mereka ini akan memberi masalah sekiranya dibiarkan bergerak bebas."Kita akan memberikan tekanan kepada dua pemain ini. Jika ia berjaya dilakukan mereka pasti berdepan masalah untuk menjaringkan gol pada perlawanan tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Hodak berkata, dia akan tetap menyenaraikan penyerang importnya, Keita Mandjou untuk mengetuai barisan serangan meskipun gagal menyerlah dalam dua perlawanan sebelum ini.Katanya, Keita akan tetap mengetuai jentera serangan dan dia akan terus mengunakan pemain import berkenaan sehingga April ini."Saya tetap memberikan sokongan dan berharap dia dapat menjaringkan gol pada perlawanan yang begitu penting malam ini."Saya tak boleh guna seperti percaturan sebagaimana yang dilakukan oleh jurulatih Pahang dengan merehatkan dua pemain import kerana kita mempunyai masalah pemain tempatan,"

JDTns-utusan

Isnin, 14 Januari 2013

Bot karam: 41 pendatang asing diselamatkan

KOTA TINGGI 14 Jan. - SEBAHAGIAN mangsa bot karam yang berjaya diselamatkan Maritim Malaysia dalam kejadian bot karam di Teluk Ramunia, Pengerang Kota Tinggi, dibawa menaiki lori di Jeti Marina Tanjung Pengelih di sini hari ini. Dalam kejadian pukul 5.20 pagi itu, bot itu yang dinaiki 49 orang itu karam setelah dipukul ribut.
 Mereka terdiri daripada 35 lelaki, empat wanita dan dua kanak-kanak. Lapan lagi penumpang masih dicari.

 - BERNAMA

KOTA TINGGI 14 Jan. - Anggota Maritim Malaysia menarik bot pancung sepanjang lapan meter yang dinaiki 49 orang pendatang asing dan karam di Teluk Ramunia, Pengerang Kota Tinggi untuk di bawa ke Jeti Sungai Rengit, Pengerang di sini hari ini. - BERNAMA

JOHOR BAHARU 14 Jan. - Sebanyak 41 rakyat asing, dipercayai pendatang tanpa izin diselamatkan manakala lapan lagi masih hilang apabila bot pancung yang mereka naiki karam di perairan Teluk Ramunia, Pengerang dekat Kota Tinggi awal hari ini.

Mereka yang diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis Marin itu terdiri dari 35 lelaki, empat wanita dan dua kanak-kanak.

Kesemua mereka dibawa ke Jeti Tanjung Pengelih dan jeti nelayan Sungai Rengit, Pengerang.

Jurucakap APMM berkata, dalam kejadian pada pukul 5.20 pagi itu, bot yang dilapor dinaiki 49 orang itu karam setelah dipukul ribut. Operasi mencari dan menyelamat lapan lagi penumpang yang dilapor hilang masih berjalan. - BERNAMA

JDTns- Bernama

Khalwat: Pemuda beri alasan rehat selepas penat bersiar-siar

BATU PAHAT – Seorang pemuda memberi alasan datang ke hotel kerana hanya mahu berehat setelah penat bersiar-siar di sekitar bandar di daerah ini selepas ditangkap khalwat bersama pasangannya.

Pasangan terbabit dicekup oleh Unit Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Daerah Batu Pahat, di sebuah hotel di sini selepas pihak berkuasa melakukan operasi mencegah maksiat.

Timbalan Ketua Penguatkuasanya, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, dalam serbuan kira-kira jam 2.30 pagi itu, mereka terpaksa menunggu lama selepas pasangan terbabit enggan membuka pintu.

Menurutnya, selepas pintu bilik dibuka, pemeriksaan awal mendapati hanya seorang lelaki berada di dalam bilik itu, manakala wanita terbabit dipercayai bersembunyi di dalam tandas.

“Lelaki terbabit yang bekerja di Negeri Sembilan itu hanya mampu tersenyum pada mulanya apabila ditanya mengenai status hubungan mereka. Dia kemudiannya memberikan pelbagai alasan termasuklah hanya berehat sahaja.

“Pasangan berusia lingkungan 20an ini enggan membuka pintu pada mulanya, namun selepas beberapa kali pintu berkenaan diketuk dan beberapa pegawai penguatkuasa mendesak untuk memecah pintu, barulah pasangan terbabit membukanya.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki dan seorang wanita yang berada di dalam tandas bilik itu tidak mempunyai hubungan sah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Saiful berkata, pasangan terbabit ditahan untuk dokumentasi dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 27(1)(a)(b) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Johor 1997.

“Pasangan terbabit akan dihadapkan ke mahkamah selepas siasatan selesai dilakukan berhubung kesalahan yang dilakukan itu. Tangkapan ini sebagai pengajaran kepada orang ramai.

“Operasi yang dilakukan ini adalah untuk terus membendung perbuatan sumbang yang semakin membimbangkan di kalangan anak-anak muda yang semakin banyak sejak akhir-akhir ini.

“Selain itu, operasi seperti ini juga akan dilakukan dengan lebih kerap lagi dengan tertumpu pada aduan orang ramai, hotel-hotel bajet dan juga kawasan yang berpotensi untuk kelakuan seperti ini,” katanya.

JDTns

Hentian bas, teksi jadi pusat rekreasi

PONTIAN - Tapak perhentian bas dan teksi lama dan gerai-gerai di Jalan Dewan di sini akan dibangunkan sebagai kawasan rekreasi serta medan selera berkonsep moden demi keselesaan orang ramai.

Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian (MDP), Miswan Yunos berkata, perancangan awal sedang dilakukan dengan merobohkan bangunan tersebut yang tidak lagi beroperasi selepas semua operasi bas dan teksi berpindah ke terminal pengangkutan awam yang baru di Pusat Perdagangan Pontian.

Katanya, pembangunan semula yang dirancang mampu menjadi satu tarikan baru kepada orang ramai memandangkan kawasan itu terletak berhampiran Sungai Pontian Kecil serta pesisiran pantai Pontian.

"Bagi menepati sebuah bandar yang selesa serta memenuhi keperluan orang ramai, MDP sentiasa berusaha menjadikan bandar Pontian Kecil dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti rekreasi serta medan selera.

"Turut menerima impak daripada pembangunan semula ini ialah para peniaga pasar malam yang kini beroperasi di tapak perhentian bas dan teksi lama pada setiap Jumaat dan Isnin," katanya selepas melawat kerja-kerja merobohkan bangunan perhentian bas dan teksi lama di sini baru-baru ini.

Miswan berkata, turut terlibat dengan pembangunan semula itu ialah 25 gerai yang merupakan baki kepada gerai-gerai yang telah dipindahkan ke Terminal Pengangkutan Awam Pontian yang baru.

Menurutnya, MDP akan membantu para peniaga yang ada sekiranya kerja-kerja pembangunan dilaksanakan kelak bagi membolehkan mereka meneruskan perniagaan di tempat yang sesuai.

Ditanya tentang kerja-kerja pembinaan jambatan kedua Pontian yang merentangi Sungai Pontian Kecil ke Pusat Perdagangan Pontian, beliau memberitahu, kerja-kerja sedang dilaksanakan oleh pemaju dan apabila siap kelak akan memendekkan perjalanan antara bandar Pontian Kecil ke Pusat Perdagangan Pontian.

JDTns- utusan

Konvoi kutip dana bantu rakyat Gaza

Tunku Hassan Tunku Mahammed Archibald (tiga dari kanan) diiringi Ismail Yatim (dua dari kanan) mengibarkan bendera negeri Johor dan Jalur Gemilang sebagai tanda pelepasan konvoi Bike for Gaza di Taman Molek, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 13 Jan. - Prihatin terhadap kesengsaraan yang terpaksa ditanggung rakyat Palestin, seramai 120 individu berkonvoi ke enam daerah termasuk Johor Bahru dengan menaiki 95 buah motosikal berkuasa besar bagi mengutip dana mengisi tabung Gaza hari ini.

Peserta program anjuran ITS Success Services iaitu sebuah syarikat persendirian yang mengadakan program kebajikan yang dinamakan Bike For Gaza itu dilepaskan oleh Penasihat Kehormat Johor Bikers, Tunku Hassan Ibni Almarhum Tunku Mahammed Archibald.

JDTns - utusan

Fandi hanya bawa 'pejuang' ke KB

Norshahrul Idlan Talaha (tengah) ceria dan bersemangat pada sesi latihan Johor Darul Takzim di Padang Seri Gelam, Johor Bahru semalam menjelang pertembungan Liga Super menentang Kelantan, esok.

JOHOR BAHRU - Bersediakah penyerang Johor Darul Takzim, Norshahrul Idlan Talaha berdepan dengan bekas pasukannya The Red Warriors pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu,esok.

Mampukah penyerang sensasi itu menghadapi tekanan dan cemuhan yang pastinya menanti beliau ketika berkunjung menentang Kelantan sekali gus membawa pasukan barunya yang dibarisi ramai pemain berstatus bintang mencapai kemenangan.

Kecergasan Norshahrul atau Mat Yo itu juga difahamkan berada pada tahap terbaik, jadi tiada sebab untuk Norshahrul yang dipalit kontroversi perpindahannya menyertai skuad Harimau Selatan tidak diturunkan pada perlawanan itu nanti.

Tinjauan di padang Seri Gelam, venue latihan Johor Darul Takzim semalam mendapati sesi tersebut berjalan lancar dan Mat Yo kelihatan ceria menjalani latihan.

Namun, usaha untuk menemuramah Pemain Paling Bernilai pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012 itu juga gagal kerana difahamkan mereka tidak dibenarkan untuk mengeluarkan sebarang ulasan.

Dalam pada itu, ketua jurulatih, Fandi Ahmad menyifatkan perlawanan menentang Kelantan pasti sukar memandangkan reputasi pasukan tersebut selaku penyandang juara musim lalu selain terkenal dengan corak permainan pantas.

Untuk itu, beliau mahu pemain memberikan fokus sepenuhnya dan perlu 'panas' dengan cepat sekali gus memastikan tidak memberi ruang kepada pasukan lawan.

"Kita hanya boleh membawa fighters (pejuang) ke Kelantan, semua pemain perlu berdisiplin, bersedia dengan mental dan fizikal yang kuat serta agresif jika benar-benar mahu mengalahkan Kelantan.

"Kita perlu menyekat kemaraan Kelantan di awal permainan, jika tidak kita bakal berdepan masalah besar," katanya.

JDTns- utusan sukan

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com