- Jaafar setia menanti pelanggannya di Pasar Awam Maharani, di sini.
Kelibat Jaafar Abu, 72, dari Lorong Mat Tab Abu, Jalan Sungai Abong, bukanlah asing terutamanya kepada pengunjung di sekitar Pasar Awam Maharani kerana dia akan bekerja bermula dari jam 7 pagi sehingga 11 pagi.
Mengimbau kembali insiden itu, Jaafar menceritakan dia dilanggar sebuah motosikal ketika mengayuh beca di Jalan Maharani sehingga menyebabkan dia terlantar koma di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru selama dua minggu akibat kecederaan parah di kepala.
“Saya sekali lagi diuji tiga bulan hilang ingatan sehingga saya tidak kenal seluruh ahli keluarga termasuk isteri sendiri.
“Dalam tempoh itu juga, emosi selalu terganggu dan mula jadi seorang yang sensitif serta pemarah.
Kasihan isteri, dia sering menahan sabar dengan karenah saya ketika itu,” katanya sambil tersenyum.
Jaafar berkata, akibat pelanggaran itu dirinya mengalami kecacatan kekal iaitu masalah kurang pendengaran.
Biarpun begitu, dia tidak pernah berasa serik dan kembali mengayuh beca setelah hampir setahun berehat kerana tidak betah meninggalkan pekerjaan itu yang sudah sebati dalam dirinya sejak 53 tahun lalu.
Jaafar berkata, aktiviti itu sudah dikurangkan berikutan permintaan terhadap perkhidmatan beca di daerah ini semakin berkurangan bermula sejak lebih 10 tahun lalu.
“Sehari nak dapat RM10 pun susah. Tak macam dulu (sekitar 1970 hingga 1980an), beca menjadi pengangkutan utama di sini.
“Dulu daerah ini ada lebih 300 penarik beca. Tapi sekarang tinggal empat penarik beca saja. Kami semakin dilupakan,” katanya.
Kata Jaafar lagi, kini tumpuannya lebih kepada beca yang membawa bahan basah peniaga kedai makan sekitar bandar ini. Barangan itu dihantar ke setiap kedai yang menjadi pelanggan tetapnya sejak beberapa tahun lalu.
“Seawal 7 pagi saya sudah berada di pasar ini untuk ambil dan hantar barang. Upah yang diterima bergantung kepada jumlah barangan dan jarak kedai yang dituju.
“Selepas hantar barang, saya akan bawa penumpang pula sementara menunggu jam 11 pagi untuk pulang ke rumah,” katanya.
Katanya, selain itu dia turut mengambil upah memotong rumput untuk menampung perbelanjaan keluarga. Dalam pada itu, Jaafar bangga kerana dapat membesarkan tujuh anaknya daripada hasil pendapatan sebagai penarik beca.
#Sinar Harian 6 September 2013