JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT
Sabtu, 29 Disember 2012
Jersi Home Johor Darul Takzim Fc
Harimau Selatan Terima Tamparan
JOHOR BAHRU - Walaupun dibarisi pemain berstatus bintang, pasukan Johor Darul Takzim menerima tamparan apabila kalah 1-2 kepada pasukan adik, Johor dalam perlawanan akhir Undangan Empat Penjuru Piala Tunku Mahkota Johor di sini, malam tadi.
Dalam pertandingan yang berlangsung di sini, skuad Harimau Selatan yang dibarisi beberapa pemain kebangsaan, gagal mempamerkan aksi yang menyakinkan di hadapan lebih 30,000 penyokong walaupun mempunyai banyak peluang jaringan.
Aksi babak pertama menyaksikan Johor Darul Takzim hampir menyumbat gol pertama tetapi sepakan bebas yang dilakukan Daniel Guiza gagal menembusi benteng lawan.
Gawang Johor Darul Takzim juga hampir bolos pada minit ke-33 apabila penjaga gol Mohd. Al-Hafiz gagal menangkap kemas tendangan pemain import Johor, Muriel Juan Orlando sebelum rakan sepasukan Andre Francisco Da Silva melakukan sepakan tinggi melepasi palang gol.
Johor Darul Takzim akhirnya menemui jaringan seminit sebelum rehat apabila sepakan leret Nurul Azuan Roya mengelirukan penjaga gol Muhammad Syamim Othman.
Namun Johor bangkit menyamakan kedudukan menerusi tandukan Orlando pada minit ke-56.
Orlando muncul wira Johor apabila menjaringkan gol kemenangan pasukannya menerusi percubaan dari luar kawasan penalti pada minit ke-76.
Dengan kemenangan tersebut, Johor menerima hadiah RM20,000, piala pusingan dan trofi manakala Johor Darul Takzim menerima RM10,000.
Sementara itu, Pahang menduduki tempat ketiga dengan mengalahkan pasukan dari Singapura, Woodlands Wellington 6-0 pada perlawanan penentuan tempat ketiga di Padang Seri Gelam.
JDTns - utusan sukan
Jumaat, 28 Disember 2012
Fandi puas hati prestasi pemain
Johor Bahru: Pelaburan lumayan Johor Darul Takzim mendapatkan khidmat pemain berstatus bintang menghadapi kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim depan mula membuahkan hasil.
Ini berikutan kemenangan besar skuad kendalian Fandi Ahmad apabila membelasah kelab Liga Singapura (Liga-S), Woodland Wellington 5-1 pada saingan Jemputan Empat Penjuru Piala Tunku Mahkota Johor di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, kelmarin.
Kejayaan itu memberi gambaran awal skuad yang bergelar Harimau Selatan itu harus digeruni dalam usaha memburu tiga kejuaraan - Piala Liga, Piala FA dan Piala Malaysia musim depan.
*Kelemahan dikesan*
“Untuk keseluruhan aksi itu, saya berpuas hati,” kata pengendali skuad Johor darul Takzim, Fandi Ahmad.
“Cuma pada 10 hingga 15 minit perlawanan pada babak pertama, ada kelemahan dikesan apabila pemain hilang arah dan gagal mengumpan bola dengan tepat namun semua dapat diatasi selepas mereka mula menjiwai perlawanan itu.”
Fandi berkata, beliau sengaja tidak menurunkan Norshahrul Idlan Talaha dan Aidil Zafuan Abd Radzak pada babak pertama bagi memberi ruang kepada pemain muda membuktikan kesungguhan untuk berada dalam skuad utama dan apa yang mereka sajikan tidak mengecewakan.
Mengenai tugas Safiq Rahim, Fandi berkata pemain itu tampak lebih selesa apabila bergandingan dengan Ahmad Ezrie Sazali yang sering bertindak menyekat pergerakan lawan di kawasan tengah tatkala pemain tengah kebangsaan itu bebas melakukan gerakan tanpa perlu memikir untuk bertahan.
Rayu dana bedah jantung
KOTA TINGGI – “Dalam fikiran saya hanyalah kesihatan isteri menjadi keutamaan,” kata Ramlan Mursadi, 46 dari Felda Air Tawar 1, di sini.
Menurutnya, dia tidak sampai hati melihat keadaan isterinya Roszana Jahari, 45, yang disahkan menghidap komplikasi jantung berlubang sejak Ogos lalu.
Menurut ayah kepada tujuh anak itu, dia kini terpaksa bekerja lebih masa sehingga lewat malam semata-mata untuk mencari wang bagi menampung kos rawatan isteri.
“Selama ini isteri berada dalam keadaan sihat, malah kesemua anak kami dilahirkan dalam keadaan normal dan tidak mengalami sebarang masalah.
“Bagaimanapun ketika mendapat berita mengenai penyakit isteri, saya benar-benar terkejut namun dalam masa sama saya reda dengan ujian Tuhan,” katanya.
Kini katanya, hampir setiap bulan isterinya terpaksa menjalani rawatan yang menelan perbelanjaan sehingga RM600 setiap kali rawatan.
“Roszana dijadualkan akan menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) dengan kos rawatan sebanyak RM25,000, 9 Januari depan.
“Dengan gaji RM1,400 sebulan sebagai pembantu jualan, kemampuan saya amat terbatas tambahan pula kesemua anak-anak saya akan memulakan persekolahan tidak lama lagi,” katanya.
Bagi Roszana, walaupun berdepan dengan ujian getir yang mendatang secara tiba-tiba itu, namun dia terpaksa menguatkan dirinya demi untuk anak-anak.
Katanya, bagaikan luruh hatinya apabila diberitahu doktor yang dirinya menghidap penyakit jantung berlubang yang kini sudah sebesar dua sentimeter.
“Menurut doktor, saya telah menghidap penyakit tersebut sejak kecil lagi, namun selama ini saya tidak menyedarinya tambahan pula saya berada dalam keadaan yang sihat.
“Namun pada Syawal lalu saya mengalami batuk yang teruk lalu pergi membuat pemeriksaan ketika itu berat badan saya sudah mulai susut daripada 65 kilogram (kg) turun kepada 45kg.
“Doktor beritahu saya menghidap paru-paru berair serta mengalami masalah jantung. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu.
“Pada mulanya saya agak sedih, namun apabila memikirkan anak-anak yang masih kecil saya harus kuatkan semangat demi mereka,” katanya sebak.
Menurut suri rumah sepenuh masa itu, selain bergantung harapan kepada suaminya dia juga amat berharap agar orang ramai dapat memberi sumbangan untuk menampung kos pembedahannya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh membuat pembayaran ke akaun (Maybank) Ramlan Mersadi 101075174581.
Liga Piala Malaysia 2013
Liga Super 2013: Kelantan miliki faktor X
KEMUNCULAN Darul Takzim FC tidak akan menggugat Kelantan pada saingan Liga Super 2013 yang bakal bermula 8 Januari ini.
Pendapat itu disuarakan bekas jurulatih berpengalaman, Datuk M Karathu yang merasakan pasukan kendalian Bojan Hodak itu mampu meneruskan momentum seperti yang dipamerkan sepanjang musim 2012.
Menurutnya lagi, The Red Warriors tidak akan berdepan banyak masalah kerana majoriti pemain lama masih bersama pasukan itu untuk saingan tahun hadapan.
"Saya rasa Kelantan sekali lagi akan menjadi kuasa besar dalam saingan 2013. Ada beberapa faktor yang membantu pasukan itu, antaranya keserasian pemain, konsisten dan juga sokongan padu daripada penyokong.
"Tanpa ragu-ragu mereka boleh ulangi pencapaian tahun ini," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Untuk rekod, musim ini skuad Kijang muncul juara treble dengan membawa pulang trofi Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super ke Kota Bharu.
Pada masa sama, Karathu berpendapat pasukan Darul Takzim FC yang dilimpahi pemain bintang mampu memberi cabaran, namun memerlukan masa untuk serasi.
"Selain Kelantan, Darul Takzim FC juga mampu menyengat. Kehadiran pemain bintang dalam pasukan itu sudah pasti mampu melonjak kembali kegemilangan Johor seperti pada awal era 90-an," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai pasukan pilihan untuk kelompok Big Four bagi saingan Liga Super 2013, Karathu berkata: "Ada beberapa pasukan yang bagus, antaranya ATM, Lions XII dan Terengganu. Tapi saya memilih Kelantan, Darul Takzim FC, Selangor dan Perak."
JDTns
Rabu, 26 Disember 2012
Johor yakin kemampuan 3 penjaga gawang
JOHOR BAHRU - Sejak Johor Darul Takzim memulakan pembelian pemain berstatus bintang bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan, usaha mendapatkan khidmat penjaga gol ternama tidak pernah timbul.
Ini kerana, skuad yang dikenali dengan gelaran Harimau Selatan itu percaya dengan kemampuan tiga penjaga gol dimiliki pasukan selain mementingkan pemain yang mempunyai kualiti daripada ternama.
Tiga penjaga gawang dimiliki pasukan Johor Darul Takzim pada masa ini ialah bekas penjaga gol kedah dan USM FC, Muhammad Al-Hafiz Hamzah, Zamer Selamat dan Zulfadli Mohamad.
Bagi ketua jurulatih, Fandi Ahmad, ketiga-tiga mereka mempunyai kualiti penjaga gol yang baik terutama sekali Muhammad Al-Hafiz yang disifatkannya sebagai yang terbaik di negara ini.
Biarpun mempunyai fizikal yang dikatakan tidak sesuai ekoran berat badan yang bukan ideal, namun menurut Fandi, dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak tujuh kilogram.
"Dia seorang penjaga gol yang bagus, tangkapannya juga kemas selain mampu merebahkan badan dengan baik untuk menangkap bola dengan fizikalnya sebegitu. Zamer dan Zulfadli juga sama bagus.
"Selain itu, ketiga-tiga mereka juga mempunyai kemahiran berkomunikasi yang baik dan mampu berinteraksi dengan pemain di posisi lain," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Pada masa sama, Fandi turut mengakui skuad Harimau Selatan kini mempunyai beberapa pemain pertahanan yang baik sekali gus yakin ia mampu mewujudkan kerjasama hebat antara mereka dan penjaga gol.
Dalam pada itu, jurulatih penjaga gol Johor Darul Takzim, Khairul Azman Mohamad berkata, dia berpuas hati dengan prestasi ketiga-tiga penjaga gol yang dimiliki pasukan tersebut.
"Mereka menunjukkan komitmen yang baik selain turut memberi kerjasama antara satu sama lain. Saya tidak mempunyai sebarang masalah sejak mula melatih mereka bertiga.
"Saya hanya menjalankan tugas saya sebagai jurulatih dan siapa yang dipilih untuk beraksi terserah kepada Fandi, namun kita sering berbincang," ujarnya yang merupakan bekas penjaga gol utama kebangsaan.
Tugas berat bintang Johor
Safee Sali (kanan) dan Norshahrul Idlan Talaha antara bintang baru dalam skuad Johor musim 2013.
JOHOR BAHRU - Selepas dua tahun tidak menyertai liga elit domestik, penyerang baru Johor Darul Takzim, Safee Sali nyata teruja menjalani latihan bersama pasukan barunya, sekali gus berjanji memberikan yang terbaik.
Sambil menyifatkan keputusan untuk menyertai skuad Harimau Selatan adalah tepat terutama dalam usaha menyelamatkan karier bola sepaknya, Safee jelas gembira dan bersemangat pada sesi latihan pertamanya.
Sesi latihan pertama bagi lima pemain kebangsaan yang bermain untuk pasukan yang dilabel sebagai termahal dalam Liga Malaysia (Liga M) itu diadakan di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin kelmarin.
Selain, Safee, kelibat Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Razak dan Azmi Muslim juga kelihatan bersemangat pada sesi latihan dikendalikan ketua jurulatih, Fandi Ahmad dan pembantunya, Ismail Ibrahim.
Safee mengakui dia mempunyai tugas berat terutama dalam peringkat awal kerana mahu mendapatkan keserasian bersama skuad Harimau Selatan yang baru disertainya itu.
"Saya gembira dapat bersama menjalani latihan dengan rakan lain dan sudah pasti untuk mendapatkan keserasian yang sempurna memerlukan masa, mungkin dalam lima hingga perlawanan lagi," katanya kepada pemberita di sini.
Pendapat dan perasaan sama turut diluahkan Pemain Paling Bernilai 2012, Norshahrul atau Mat Yo yang kini mendapat gelaran baru iaitu Wak Lan, yang menekankan tentang persefahaman antara rakan pasukan lain sebagai perkara penting.
Ini kerana, katanya, persefahaman antara satu sama lain perlu dipertingkatkan sejajar usaha untuk menjadikan pasukan lebih yakin dalam mengharungi saingan dalam setiap perlawanan apabila Liga-M bermula tidak lama lagi.
"Ini baru sesi latihan pertama dan sudah pasti keserasian itu masih longgar, namun saya percaya dengan komitmen diberikan setiap pemain, segala yang diajar semasa latihan mampu diterapkan," ujarnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai lambakan pemain bintang terutamanya di bahagian jentera serangan, kedua-dua mereka, Safee dan Norshahrul menyifatkan ia satu perkembangan positif dan petanda baik untuk pasukan.
"Sememangnya bahagian serangan skuad Harimau Selatan mempunyai pilihan, situasi itu pada saya adalah satu persaingan sihat dalam pasukan. Semua ada kualiti masing-masing dan harap semuanya dapat beraksi baik untuk musim akan datang," kata Safee.
Norshahrul pula menjawab: "Bagi saya lambakan penyerang bukan satu isu, malah ia satu persaingan sihat supaya setiap pemain berusaha lebih gigih untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama."
JDTns- Utusan Sukan
Selasa, 25 Disember 2012
Safee,Norshahrul mulai sertai sesi latihan Johor.
JOHOR BAHRU - Pemain kebangsaan yang beraksi untuk Johor Darul Takzim bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan memulakan latihan bersama skuad Harimau Selatan buat pertama kali di Stadium Tan Sri Hassan Yunus di sini, semalam.
Pada sesi latihan itu, Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Razak dan Azmi Muslim bersemangat menjalani latihan, bagaimanapun mereka dilihat masih mencari rentak dan keserasian bersama rakan pasukan yang lain.
Hanya Daniel Guiza tidak menyertai latihan semalam kerana diberi pelepasan untuk meraikan sambutan Krismas.
Pengurus pasukan yang juga ketua jurulatih, Fandi Ahmad berkata, semangat yang ditunjukkan kelima-lima pemain kebangsaan itu untuk menjalani latihan bersama rakan pasukan lain disifatkan sebagai 'lumayan' dan petanda terbaik bagi pasukan Johor Darul Takzim.
Pada masa sama, beliau percaya semua mereka memerlukan masa sekurang-kurangnya menyertai lima atau enam perlawanan akan datang bagi mendapatkan rentak permainan dan yakin setiap pemain Johor Darul Takzim mampu menerapkan apa yang telah diarahkan.
"Sebagai pemain profesional saya yakin mereka dapat adaptasi corak permainan kita kerana mereka pernah bermain dengan banyak pasukan lain dan yang berubah mungkin dari segi serangan dan pertahanan, yang penting adalah disiplin mereka.
"Saya berpuas hati dengan komitmen diberikan, mereka kelihatan bersemangat berlatih bersama yang lain, keadaan mereka juga bagus sekali gus ini memberi gambaran 'lumayan' untuk pasukan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi latihan.
Dalam pada itu, bagi penggempur baru skuad Harimau Selatan, Safee dan Norshahrul atau Mat Yo, masih terlalu awal untuk menilai kemampuan mereka beraksi sebagai satu pasukan kerana semua pemain baru berkumpul.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka yakin persefahaman dalam kalangan pemain dapat disatukan tidak lama lagi apabila mereka mula bermain sebagai satu pasukan.
Sementara itu, bagi menguji kehebatan barisan pemain Johor Darul Takzim sebelum mengharungi saingan Liga M musim depan, Fandi berkata, pasukan akan beraksi pada saingan empat penjuru kalah mati bermula esok hingga Jumaat.
Beliau berkata, selain Johor Darul Takzim, pasukan lain yang akan menyertai saingan yang julung kali diadakan dalam fasa akhir mempersiapkan skuad Harimau Selatan adalah Johor, Pahang dan kelab dari Liga Singapura, Woodlands Wellington FC.
"Pertandingan empat penjuru itu adalah satu platform terbaik untuk kita uji dan lihat pemain-pemain beraksi dan saya harap dapat menggunakan peluang tersebut untuk memantapkan lagi pasukan sebagai persiapan akhir sebelum saingan Liga-M bermula," katanya.
"Saya tidak merancang untuk menurunkan semua mereka sebagai kesebelasan utama, namun akan cuba memasukkan mereka sebagai pemain gantian bagi memberi ruang untuk mendapat keserasian dengan corak permainan yang kita terapkan," ujarnya.
Justeru, Fandi berharap pasukannya mampu memberikan aksi terbaik mereka di mana Johor Darul Takzim akan menentang Woodlands Wellington FC manakala Johor akan bertemu Pahang dan pemenang perlawanan itu bakal bertemu pada perlawanan akhir.
JDTns - utusan
DITAJA OLEH
IKLAN BERBAYAR
Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com