IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Memaparkan catatan dengan label Kluang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kluang. Papar semua catatan

Sabtu, 8 Jun 2019

Kereta terbakar, jalan sesak 10 kilometer

KLUANG: Seorang gadis terselamat apabila kereta jenis Toyota Camry yang dipandunya terbakar selepas dipercayai hilang kawalan lalu melanggar kenderaan lain dalam kejadian di Kilometer 64 Lebuhraya Utara Selatan, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail, berkata kejadian pada jam 8.15 pagi itu menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh 10 kilometer akibat daripada kerja pemadaman dan pengalihan kenderaan di lokasi.

Katanya, pihaknya menerima maklumat mengenai satu kemalangan yang membabitkan dua kereta iaitu jenis Toyota Camry dan Proton Saga, selain kedua-dua kenderaan itu datang dari arah Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur.

KEADAAN kereta jenis Toyota Camry selepas api berjaya dipadamkan. - NSTP/Ihsan PDRM

“Pada ketika itu, pemandu kereta Toyota Camry berusia 20 tahun yang beralamat di Taman Skudai Baru, Johor Bahru, berada di belakang kereta Proton Saga.

“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu perempuan itu hilang kawalan lalu melanggar belakang kereta Proton Saga yang dipandu wanita tempatan berusia 31 tahun.

“Ia menyebabkan kereta Proton Saga terus terbabas melanggar besi penghadang jalan di kiri jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Abduh berkata, akibat pelanggaran itu, kereta Toyota Camry terbakar manakala kereta Proton Saga rosak teruk di bahagian hadapan kenderaannya.


Katanya, bagaimanapun, kesemua mangsa hanya cedera ringan saja dan dirawat di Hospital Kluang, selain kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Pegawai Bomba Zaiful Zainon, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.55 pagi berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, sejurus selepas itu, pihaknya menggerakkan sebuah jentera dan enam anggota bomba ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan sebuah kereta Toyota Camry yang terbakar kira-kira 80 peratus akibat dari kemalangan dengan sebuah kereta Proton Saga,” katanya.


Khamis, 20 Disember 2012

Pusat pemindahan dibuka semula


KLUANG - Seramai 235 mangsa banjir sekitar kawasan Simpang Renggam, dekat sini, terpaksa dipindahkan di empat pusat pemindahan banjir susulan kejadian hujan berlarutan, sejak petang Isnin lalu.

Empat pusat pemindahan banjir yang dibuka adalah Balai Raya Kampung Paya Palembang, Dewan Kampung Kolam Air, Sekolah Seri Kenchana, Renggam dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Linau.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kluang, Lina Mohd Razalan berkata, kesemua mangsa banjir di empat kampung terlibat dipindahkan sekitar jam 2.30 pagi, sejak kelmarin (Selasa).

Menurutnya, walaupun semalam cuaca kelihatan bertambah baik, namun pihaknya tidak akan membenarkan mangsa-mangsa banjir pulang ke rumah terlebih dahulu kerana khuatir hujan akan berlaku semula pada sebelah petang.
“Setakat ini hanya 56 keluarga yang tinggal di empat pusat pemindahan banjir iaitu lapan keluarga di Sekolah Seri Kenchana, 19 keluarga di SK Sungai Linau, 13 keluarga di Balai Raya Kampung Paya Palembang dan 16 keluarga di Dewan Kampung Kolam Air.

“Jika hujan berterusan pada hari ini, jumlah mangsa dijangka meningkat dan lebih banyak lagi pusat pemindahan dijangka akan dibuka untuk menempatkan mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Pemindahan Banjir di Dewan Kampung Kolam Air, di sini, semalam.

Lina berkata, walaupun mangsa tidak dibenarkan pulang ke rumah, namun mereka dibenarkan untuk membersihkan kediaman masing-masing yang dilanda banjir.

Katanya, sejak pusat pemindahan dibuka, pihaknya menyediakan kemudahan dan keperluan yang diperlukan mangsa banjir seperti tikar, tilam, makanan, dan sebagainya.

“Hingga kini, JKM sediakan semua kelengkapan yang diperlukan, malah kami akan utamakan kelengkapan bayi dan warga emas,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng berkata, pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan semua mangsa yang terlibat agar tidak berhadapan sebarang masalah ketika berada di pusat-pusat pemindahan banjir.

“Pihak Parlimen Simpang Renggam turut akan membantu mangsa banjir dalam usaha untuk mendapatkan pemotongan bil air di rumah mangsa bagi kegunaan mereka setelah air mula surut nanti.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada anggota pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) kerana telah bertindak pantas menyediakan pusat-pusat pemindahan sebaik air mulai naik,” katanya.

Beliau turut menasihatkan semua penduduk yang sering berdepan kejadian banjir agar sentiasa bersedia untuk dipindahkan ke pusat penempatan banjir sekiranya hujan berterusan.

JDTns-sinar

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com