MODEL kompleks sukan dan stadium yang sedang dibina.
Kompleks sukan sedia padang bola sepak ikut piawaian IAAF
NUSAJAYA: Lebih 50,000 penduduk sekitar Gelang Patah, tidak menyangka
sebahagian tapak bekas ladang kelapa sawit seluas 8.6 hektar berhampiran
jalan masuk ke Kampung Sungai Melayu di sini, akan dibangunkan stadium
dan kompleks sukan bernilai RM95 juta.
Tapak berkenaan yang luas keseluruhannya kira-kira 120 hektar yang kini
dikenali sebagai Educity@Iskandar adalah nadi penting pembangunan Medini
Iskandar Malaysia yang dibangunkan Iskandar Investment Bhd (IIB),
selain Taman Tema Legoland, Kota Iskandar dan Universiti Perubatan
Newcastle Malaysia (NUMed).
Majlis pecah tanah kompleks berkenaan dilakukan Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran Khamis
lalu, dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2011.
Kompleks sukan yang mempunyai 14,000 tempat duduk itu merangkumi
kemudahan padang bola sepak yang juga boleh digunakan untuk perlawanan
ragbi, balapan 400 meter mengikut standard piawaian Persekutuan
Persatuan Atlit Antarabangsa (IAAF) serta kolam renang bersaiz olimpik
mengikut standard Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA).
Kemudahan sukan itu turut dilengkapi gelanggang pelbagai guna dalam
bangunan, masing-masing tiga gelanggang skuasy dan tenis, futsal dan
bola tampar.
MUHYIDDIN meletakkan obor bagi menyempurnakan kompleks sukan dan stadium.
Kompleks berkenaan yang dihubungkan dengan sebuah plaza berbumbung akan
turut menjadi tempat untuk pelbagai penganjuran sukan serta kegiatan
masyarakat dalam Iskandar Malaysia.
Dengan reka bentuk seperti cengkerang kepah, kemudahan itu akan menjadi
mercu tanda di Medini Malaysia kerana ia jelas dapat dilihat melalui
Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).
Apabila siap kelak, ia bukan saja menjadi prasarana sukan dan rekreasi
bagi pelajar di Educity@Iskandar sebagai hab pendidikan di Asia, malah
menjadi kemudahan masyarakat setempat.
Muhyiddin dalam ucapan pada majlis pecah tanah berkenaan berharap
kompleks sukan itu menjadi titik tolak kepada penanda aras baru di dalam
penyediaan kemudahan pembelajaran holistik yang setanding di peringkat
global secara khususnya dan langkah awal ke arah menjayakan projek
Iskandar Malaysia secara amnya.
Katanya, stadium dan kompleks sukan Educity@Iskandar Malaysia itu
membuktikan Iskandar Malaysia bukan saja menawarkan pelajar dengan
pengalaman pendidikan bertaraf antarabangsa, malah turut menyediakan
kemudahan sukan kelas pertama.
Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Melayu, Pandak Ahmad ketika ditemui
Berita Harian, berkata beliau yakin pembangunan kompleks sukan berkenaan
ternyata akan dapat memberikan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa
kepada masyarakat setempat.
"Ia sekali gus dapat mencungkil bakat baru dalam membantu melahirkan
atlit tempatan bertaraf antarabangsa selain turut membolehkan penduduk
sekitar menikmati kemudahan sukan dunia," katanya.
JDTns - Akib