IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Isnin, 7 Disember 2015

Iskandar Puteri nama baru Nusajaya

JOHOR BAHRU 7 Dis. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengisytiharkan Iskandar Puteri sebagai nama baharu pusat pentadbiran negeri, Nusajaya dan mengembalikan nama asal dua daerah berkuat kuasa Januari depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim berkata, Sultan Ibrahim juga berkenan supaya nama daerah Ledang dan Kulaijaya dikembalikan kepada asal iaitu Tangkak dan Kulai.

"Iskandar Puteri adalah gabungan nama lama Johor Bahru iaitu Tanjung Puteri dan Kota Iskandar manakala Tangkak adalah nama daerah Ledang sebelum ini, sama seperti Kulai untuk Kulaijaya.

"Kerajaan negeri sudah meluluskan pertukaran nama itu dan kini dalam proses pewartaan dan dijangka berkuat kuasa Januari nanti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

TMJ Zahirkan Rasa Sedih Kehilangan Tunku Jalil Di FB

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan adiknya yang juga Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim sebagai individu yang penyayang dan rendah diri.

Dalam kiriman terbaharu menerusi Facebook rasmi pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) – Johor Southern Tigers, Tunku Ismail berkata, adindanya itu sentiasa menjadi inspirasi dan kekuatannya.

“Kita semua amat sayang dan rindukan kamu. Kamu yang sentiasa membuatkan kita tersenyum. Kamu juga kekuatan dan inspirasiku.

“Kamu punyai satu sifat yang kita tiada; jiwa yang penyayang dan rendah diri. Saya sayangkan kamu sepenuh hati dan sangat rindukan kamu.

“Kamu takkan dilupakan. Namamu akan dibawa oleh warisku. Senyumanmu adalah kekuatanku,” kata Tunku Ismail.

Tunku Abdul Jalil disahkan mangkat pada jam 7.11 malam Sabtu di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Pengumuman kemangkatan itu semalam dibuat Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, pada sidang media khas yang diadakan di Bilik Gerakan Tun Abdul Razak, Bangunan Sultan Ibrahim, dekat Bukit Timbalan.

Tunku Abdul Jalil diputerakan pada 7 Julai 1990 di HSA. Allahyarham adalah putera keempat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Raja Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Tunku Abdul Jalil, Definisi Sebenar Putera Berjiwa Rakyat

PEMERGIAN putera raja berjiwa rakyat, Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim Ismail semamangnya memberikan kesan terutama sekali buat rakyat Johor yang sangat menyenangi keperibadian mesra dan merendah diri insan yang disayangi ramai ini.

Jika kita imbas kembali, Tunku Abdul Jalil merupakan antara individu berprofil tinggi yang sangat mudah bergaul mesra dengan sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang seseorang individu tersebut.

Baginda juga dengan tidak segan silu belajar mengisar Air Batu Campur (ABC) di gerai tepi jalan, bergurau senda dengan jururawat selain cukup gemar mengusik adik-beradik baginda yang lain terutamanya adinda bongsunya, Tunku Abu Bakar.

Keletah mesra Tunku Abdul Jalil pastinya akan dirindui terutama sekali buat kaum kerabat baginda.

Berikut merupakan 10 fakta penting mengenai Almarhum Tunku Abdul Jalil untuk renungan bersama:

1. Pernah bekerja sebagai penjaga zoo di Singapura selama setahun dan di London hampir dua tahun.

2. Berkelulusan dalam bidang Zoologi dan Pemuliharaan dari sebuah universiti di United Kingdom.

3. Mencatat sejarah sebagai kerabat diraja Johor pertama yang berkhidmat dalam pasukan polis selepas menamatkan kursus latihan kepolisan selama sembilan bulan sekali gus bergelar Inspektor.

4. Baginda sebenarnya tidak pernah bermain sukan polo disebabkan alahan pada bulu kuda.

5. Menubuhkan Yayasan Kanser Tunku Laksamana bertujuan untuk membantu pesakit kanser di negara ini.

6. Kerap kali mengunjungi pesakit di Hospital Sultan Ismail dan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, beramah mesra dan bertanya khabar.

7. Disahkan menghidap kanser hati tahap empat dan menjalani rawatan pemindahan hati di Guangzhou, wilayah Guangdong, China.

8. Baginda merupakan adinda kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar.

9. Antara kekanda serta adinda baginda termasuk Tunku Aminah Maimunah, Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman, Tunku Abdul Rahman Hassanal Jeffri dan Tunku Abu Bakar Mahmood Iskandar Ibrahim.

10. Baginda mangkat disebabkan penyakit kanser hati pada pukul 7.11 malam 5 Disember 2015 dan berusia 25 tahun di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan sentiasa dalam lindunganNya. Al-Fatihah.

Johor Berkabung 3 Hari, Kibar Bendera Separuh Tiang

SUSULAN kemangkatan Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim Ismail, kesemua bendera dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bagi menghormati pemergian putera raja berjiwa rakyat itu.

Menurut Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, tempoh perkabungan bagi orang awam adalah selama tiga hari manakala tujuh hari pula ditetapkan bagi kerabat diraja.

“Kesemua bendera di negeri Johor akan dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bermula esok. Tempoh perkabungan adalah selama tujuh hari untuk kerabat diraja dan tiga hari untuk orang awam,” kata beliau.

Almarhum disemadikan di sebelah kanan makam nendanya, Almarhum Sultan Islandar Almarhum Sultan Ismail yang mangkat pada 22 Januari 2010, atas pemintaan Tunku Abdul Jalil sebelum ini.

Tunku Abdul Jalil, anakanda keempat Sultan Ibrahim dan Permaisuri Raja Zarith Sofia mangkat pada jam 7.11 petang Sabtu di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Almarhum yang dilahirkan pada 1990 lalu dilaporkan telah lebih setahun menderita penyakit kanser hati dan pernah menerima rawatan di luar negara.

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com