JOHOR BAHRU 13 Feb. - Kira-kira 300 ahli Papan Selaju Johor (PSJ) teruja selepas penantian tiga tahun untuk mendapatkan sebuah gelanggang sukan lasak berakhir apabila Skatepark Sentosa yang dibina hasil sumbangan ahli menelan kos RM40,000 dibuka secara rasmi malam semalam.
Perasmian gelanggang tersebut yang terletak di kawasan seluas satu hektar di Taman Sentosa oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad turut diserikan dengan kehadiran selebriti tanah air, Afdlin Shauki.
Shahrir dalam ucapannya berkata, langkah proaktif yang dilakukan ahli PSJ itu jelas menunjukkan mereka mempunyai kebolehan dan keupayaan tinggi untuk melaksanakan sesuatu projek dengan baik.
"Yang penting kita selaku pemimpin dan masyarakat wajar memperkasakan golongan ini dengan memberikan sepenuh kepercayaan dan sokongan terhadap apa juga yang mereka lakukan.
"Hakikat itu terbukti apabila mereka berjaya membina gelanggang tersebut tanpa konsultan, arkitek dan tidak menggunakan khidmat kontraktor, sebaliknya dibina secara bergotong-royong dengan bertukar-tukar idea sesama mereka," katanya.
Beliau menyifatkan gelanggang sukan lasak tersebut setanding dengan gelanggang seumpamanya yang dibina secara profesional.
Shahrir berkata, kewujudan gelanggang sukan lasak itu juga dapat menghindari golongan tersebut daripada terjebak dalam masalah sosial dan sukan berkenaan mampu terus berkembang selari dengan perkembangan semasa.
Sementara itu, wakil ahli sukan berkenaan, Mohd. Amsyar Ghazali, 26, memberitahu, idea untuk membina gelanggang itu tercetus kerana mereka kerap 'diganggu' oleh pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) apabila bermain di tempat awam.
Dia yang merupakan pelukis pelan di syarikat swasta berkata, pihaknya mengambil masa dua minggu untuk mengumpul idea dan akhirnya hasrat untuk membina gelanggang di tapak kekal menjadi kenyataan apabila MBJB dengan sokongan Shahrir memberikan sokongan padu.
"Sebagai tanda bersyukur kami akan gunakan kemudahan tersebut sebaik mungkin di samping berusaha menambah keahlian serta menyelenggara gelanggang itu dari semasa ke semasa," katanya.