Tidur Tunku Ismail Sultan Ibrahim tetap lena dengan kekalahan pasukan bintang Johor Darul Takzim pada perlawanan akhir Jemputan Empat Penjuru Piala Tunku Mahkota Jumaat lalu.
Pada perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos itu, Johor Darul Takzim tewas 1-2 kepada skuad abang, Johor.
Tunku Ismail berkata, ini kerana menang atau kalah merupakan adat pertandingan, namun apa yang lebih penting baginya adalah kedua-dua pasukan di bawah PBNJ menunjukkan komitmen, semangat juang dan disiplin yang tinggi.
"Saya tidak tahu mengapa ada yang menggembar-gemburkan mengenai kekalahan itu. Secara peribadi, saya sangat gembira dengan perkembangan Johor, syabas dan ia jelas kita mempunyai dua pasukan yang mantap dalam Liga-M," Tunku Ismail berkata selepas pelancaran rasmi Johor Darul Takzim dan Johor Sabtu lalu.
"Ia adalah Kejohanan Empat Penjuru dan kekalahan itu tidak menjejaskan persiapan pasukan Johor Darul Takzim untuk menghadapi Liga. Tidak melemahkan semangat, harapan dan aspirasi kami untuk memenangi gelaran dalam Liga-M,”
”Sebagai presiden (Johor FA) sudah pasti saya mahu kedua-dua pasukan Johor memenangi kejuaraan.”
"Tidak ada sebab saya memberikan keutamaan khas kepada Johor Darul Takzim. Saya gembira peminat bola sepak di negeri ini datang kembali untuk menonton pasukan mereka bermain.
Tunku Ismail berkata, adalah tidak adil untuk menghakimi aksi pasukan bintang Johor Darul Takzim selepas satu perlawanan yang lebih kepada sesi pemanas badan, satu kekalahan bukan bermakna ia adalah penamat bagi segala-galanya.
"Ini cuma Kejohanan Empat Penjuru dan Pra-Musim tetapi peminat datang beramai-ramai ke Stadium. Saya gembira untuk menyatakan bahawa kita berada di landasan yang betul untuk mengubah wajah bola sepak Johor.
"Ini hanya permulaan. Peminat akan dapat menonton bola sepak yang menghiburkan. Kami telah menetapkan sasaran untuk memenangi kesemua tiga piala yang dipertaruhkan. Malah jika kita menang hanya satu daripada tiga piala, ia masih akan menjadi satu pencapaian yang besar,” tambah Tunku Ismail.
"Jika kita tidak boleh menang semua piala, kita akan melihat ke hadapan untuk musim berikut. Saya mahu Johor menjadi kuasa baru dalam bola sepak di Malaysia."
Sementara itu, baginda turut melahirkan keyakinan pasukan Johor Darul Takzim dapat beraksi pada waktu malam di Stadium Tan Sri Hassan Yunos sebaik saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan bermula.
Ia berikutan jaminan yang diberikan Tunku Ismail bahawa pihaknya sedang berusaha untuk memasang dan menaik taraf lampu limpah di stadium berkenaan mengikut spesifikasi ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Insya-Allah kita akan selesaikan masalah ini sebelum 8 Januari. Saya yakin perlawanan di Stadium Larkin pasti akan diadakan pada waktu malam," katanya ketika diminta mengulas berhubung isu lampu limpah yang tidak mengikut spesifikasi.
Akhbar sebelum ini melaporkan, hanya tujuh stadium yang menjadi lokasi tuan rumah aksi Liga M menepati piawaian memiliki sekurang-kurangnya lampu limpah dengan tahap kecerahan 1,000 lux.
Stadium Tan Sri Hassan Yunos merupakan salah satu stadium yang tidak menepati piawaian ditetapkan FAM sekali gus menyebabkan perlawanan di lokasi tersebut perlu dijalankan pada waktu siang iaitu pukul 4.45 petang.
# Tunku Ismail Sultan Ibrahim (tengah) bersama Pasukan Johor Darul Takzim (kiri) dan Johor - sports247.my