IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Khamis, 5 September 2013

RM 10 JUTA BINA KAWASAN REKREASI

LEDANG 3 Sept. - Kawasan rekreasi dan kolam mandi baharu akan dibina di Taman Hutan Lagenda di sini, dengan kos lebih RM10 juta bagi menambah kemudahan menarik lebih ramai pengunjung ke destinasi pelancongan tersebut. Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Suhairi Hashim berkata, kelulusan melakukan kerja-kerja berkenaan di kawasan kaki Gunung Ledang itu telah diperoleh dan diharap dapat dimulakan awal tahun depan.

"Kerja-kerja ini akan dilakukan dengan berhati-hati bagi memastikan alam semula jadi di kawasan sekitarnya tidak terjejas atau mengalami kerosakan. Projek ini sudah dirancang sejak 2009 tetapi terpaksa ditangguhkan sebelum ini. "Kita hadkan pembangunan di Taman Hutan Lagenda. Sebarang bentuk pembangunan di Gunung Ledang akan dilakukan pada tahap minimum," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Seminar Ekspedisi Saintifik 2013 di taman berkenaan, dekat sini hari ini.

Seminar tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat. Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof. Dr. Ir. Abdul Rahman Omar.

Turut dilancarkan dalam majlis itu ialah tiga buah buku hasil kajian dan penyelidikan saintifik UiTM Shah Alam dan PTNJ di Taman Hutan Lagenda bertajuk 'Gunung Ledang: An Expose of Biodiversity', 'Gunung Ledang: Geology, Biodiversity and Socio-enonomic Environment' dan 'A Photographic Tribute To The Wild Orchids of Johor National Parks'. Dalam majlis itu, turut ditandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UiTM Shah Alam yang diwakili Reaktor UiTM Johor, Dr. Omar Samat dan pihak kerajaan negeri diwakili Ayub bertujuan meneruskan kerjasama yang dipelopori sebelum ini. Suhairi berkata, dengan adanya kawasan rekreasi dan kolam mandi buatan itu akan mempelbagai kemudahan selepas pihaknya menaik taraf jalan utama dari pekan Sagil ke pintu masuk Taman Hutan Lagenda yang siap Februari tahun lalu. Beliau berkata, perbelanjaan untuk membina jalan tersebut kira-kira RM3 juta termasuk kos pengambilan tanah penduduk dan laluan itu kini terbukti meningkatkan lagi imej kawasan itu.

Sementara itu, Ayub menyatakan sokongan penuh kerajaan negeri terhadap kerjasama dan sebarang usaha membangunkan bidang kajian dan penyelidikan di negeri ini. "Hal ini selaras dengan matlamat penubuhan PTNJ dalam meneraju bidang pembangunan di Johor khasnya dan melalui usaha ini dapat memartabatkan nama negara di mata dunia setanding dengan negara-negara lain. "Saya berharap PTNJ akan terus meningkatkan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk terus meneroka kekayaan khazanah dan kepelbagaian biologi yang kita miliki di negeri ini supaya dapat dimanfaatkan bersama," katanya.

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com