Lans Koperal guna Revolver .38 tembak isteri, bapa mentua
LEDANG: Seorang Lans Koperal polis yang menembak mati isteri dan bapa mentuanya sebelum menembak diri sendiri dalam satu kejadian tragis semalam, menggunakan sepucuk pistol jenis Revolver .38 untuk menembak mangsa.
Ketua Polis Daerah Ledang, Superitendan Harun Idris, berkata revolver itu adalah senjata yang dibekalkan kepada anggotanya untuk bertugas. Beliau berkata siasatan awal mendapati kematian suspek Lans Koperal Fadzly Omar, 29, dan bapa mentuanya Abd Kadir Md Arif, 66, berpunca daripada tembakan di kepala. "Suspek meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapa mentuanya yang dikejarkan ke Hospital Tangkak oleh orang awam meninggal dunia kira-kira 8.15 malam sebaik saja tiba di hospital," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang, di sini, hari ini.
Harun berkata, suspek adalah seorang anggota polis yang berdedikasi dalam melaksanakan tugasnya dan tidak pernah mempunyai rekod disiplin sepanjang tujuh tahun berkhidmat dalam pasukan itu. Bagaimanapun, katanya, polis menyiasat dari pelbagai aspek dan akan memanggil beberapa saksi untuk membantu siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
Sementara itu, tinjauan mendapati rumah mangsa di Jalan Sialang di sini dipenuhi jiran tetangga dan sanak saudara sejak pagi untuk menziarahi keluarga Allahyarham Abd Kadir yang merupakan imam di kampung berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam semalam, anggota polis itu dikatakan terlebih dahulu menembak isterinya, Norakmal Abdul Kadir, 28, di kuarters Pondok Polis Felda Chempelak di Labis, Segamat sebelum pergi ke rumah bapa mentuanya di Kampung Padang Lerek 1 yang terletak hampir 90 kilometer dari situ.
Dia dikatakan mencari ibu mentuanya tetapi gagal dan terserempak dengan Abdul Kadir yang ketika itu sedang bersiap-siap hendak ke masjid lalu menembaknya. Suspek kemudian bertindak menembak diri sendiri dan rebah serta meninggal dunia di rumah itu.
- BERNAMA