A Rahim melihat kerja pemindahan kubur di Tanah Perkuburan Islam Batu Badak, semalam.
Pegawai Daerah Segamat, A Rahim Nin berkata, dua tanah perkuburan di Batu Badak, di sini dan satu di Gemereh terlibat dalam proses pemindahan.
“Kubur-kubur lama ini akan ditempatkan di tanah perkuburan baru di Kampung Alai.
“Sebelum ini, kami mendapat persetujuan dan kebenaran daripada Mufti Johor," katanya.
A Rahim berkata, agensi kerajaan di daerah ini bersetuju termasuk Pejabat Daerah Segamat, Pejabat Kesihatan Daerah Segamat, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Katanya, waris terlibat pemindahan juga dihubungi dan diberitahu Majlis Agama Islam Johor (Maij), namun ada antara mereka tidak dapat dihubungi.
“Kepada waris-waris yang tidak dapat dihubungi hendaklah datang ke Pejabat Agama Islam Segamat kerana semua rekod dan rujukan terdapat di sana. Kerja-kerja pemindahan bermula semalam dan dijangka siap dalam masa sebulan.
“Maij juga melantik kontraktor berpengalaman untuk melakukan urusan pemindahan,” katanya.
Sementara itu, kontraktor, Jamaluddin Sapuan berkata, kerja-kerja dijangka mengambil masa sehingga sebulan dan bergantung kepada keadaan cuaca.
“Kalau musim hujan, kerja-kerja penggalian tidak dapat dilakukan dengan lancar kerana bimbang tanah yang digali runtuh dan menyukarkan kerja mencari tulang-tulang.
“Pekerja saya yang terlibat dalam kerja ini seramai 15 orang dan saya jangkakan setiap hari 30 kubur yang akan dipindahkan.
“Keluasan tanah kubur yang baru di Kampung Alai adalah seluas 1.2 ekar dan cukup untuk menampung kesemua 350 kubur ini malah boleh digunakan oleh penduduk tempatan jika ada kematian,” katanya.
Sementara itu, bekas Ketua Kampung Gemereh Empat, Mohsin Ahmad, 75, berkata, kubur-kubur di Batu Badak itu sudah berusia lebih 100 tahun dan kebanyakannya kubur lama.
“Kubur-kubur di sini telah ada sejak saya kecil dan merupakan kawasan perkuburan lama sebelum tidak digunakan lagi setelah kawasan perkuburan ini penuh,” katanya.
JDT