IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Khamis, 30 Januari 2014

Atasi segera masalah banjir

ISMAIL Mohamed (tengah) bersama para penerima bantuan pada Program Pengagihan Wang Ihsan bagi Mangsa Banjir Negeri Johor Peringkat Daerah Muar Tahun 2013 di Dewan Orang Ramai, Gugusan Felda Maokil, Pagoh, Johor, semalam.

PAGOH 29 Jan. - Sistem perparitan yang bermasalah di kawasan Bukit Serampang sehingga mengakibatkan banjir terutama di Felda Moakil dekat sini Disember lalu akan diperbaiki. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed berkata, kerja menaik taraf tersebut akan dilakukan secepat mungkin menerusi kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pengurusan Felda.

"Kita mahu pastikan parit dan saluran air dari daerah ini yang masuk ke Sungai Muar mengalir lancar dan tidak tersekat atau disebabkan salurannya kecil serta cetek.

"Antara tindakan segera akan diambil adalah membersihkan laluan air daripada sampah-sarap serta tumbuhan yang menghalang aliran air hingga mengakibatkannya tersumbat dan melimpah," katanya selepas program Pengagihan Wang Ihsan Mangsa Peringkat Daerah Muar 2013 di Dewan Orang Ramai, Gugusan Felda Maokil semalam.

Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri memaklumkan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi bantuan sebanyak RM28,000 kepada 56 keluarga yang menjadi mangsa banjir dengan setiap keluarga menerima RM500. Beliau berharap sumbangan berkenaan mampu meringankan beban keluarga terbabit untuk membeli barangan keperluan termasuk peralatan elektrik dan perabot yang musnah akibat banjir.

Sementara itu, seorang penerima, Mohd. Salleh Ibrahim, 57, berkata, banjir yang berlaku itu mengakibatkan banyak binatang ternakannya mati selain sebahagian perabot rumahnya rosak. "Kedudukan rumah saya rendah dan hampir setiap tahun ditenggelami air. Namun, Alhamdulillah bantuan yang diterima ini sedikit-sebanyak meringankan beban keluarga saya untuk membeli barang keperluan harian," katanya.

Mohd. Azman Manap, 29, yang merupakan generasi kedua di Felda pula berkata, masalah banjir di kawasan itu perlu diatasi segera. Menurut bapa kepada seorang anak ini, banjir setinggi paras lutut mengakibatkan tikar getah, perabot serta perkakas rumahnya rosak.

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com