IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Ahad, 22 Jun 2014

Tuanku sertai sukan rakyat KMJ 2014

KULAIJAYA - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, berkenan
melihat dan turut serta dalam acara sukan rakyat di Dewan Felda Bukit
Permai, di sini, semalam.

Felda berkenaan adalah destinasi ketiga dikunjungi Sultan Johor pada
hari pertama Kembara Mahkota Johor 2014 selepas acara perasmian di
Dataran Bandaraya Johor Bahru dan kunjungan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Johor Bahru.

Turut berangkat, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bersama Tunku
Mahkota Johor, Tunku Ismail; Tunku Puteri Johor, Tunku Aminah; Tunku
Temenggong Johor, Tunku Idris Shah; Tunku Panglima Johor, Tunku
Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan
Pegawai Daerah Kulaijaya, Abdul Halim Hasbullah.

Pada majlis itu, Sultan Ibrahim berkenan melawat ke khemah pameran
anyaman, pameran membuat parang dan gasing dan merasmikan
pelepasan konvoi basikal.

Baginda turut berkenan menyaksikan sukan rakyat antaranya tarik tali,
pertandingan potong kayu dan memanjat tiang licin.
Dalam ucapannya, Abdul Halim berkata, kehadiran Sultan Johor bersama kerabat diraja amat dinantikan rakyat.

“Rakyat di Kulaijaya merasa amat bersyukur dan gembira kerana Tuanku berkenan menyaksikan dan turut serta dalam sukan rakyat.

“Ini melambangkan betapa erat dan kasihnya institusi diraja negeri ini
kepada rakyat,” katanya.

Sebelum berangkat, Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan bantuan
kepada anak yatim, golongan miskin, warga emas dan golongan orang
kurang upaya.

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com