PONTIAN - Hari terakhir rombongan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2014 dimulakan dengan keberangkatan tiba Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ke Kampung Nelayan, Benut di sini hari ini.
Dalam kunjungan tersebut, Sultan Johor berkenan menyempurnakan pemberian sumbangan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada 30 penduduk kampung, lima daripadanya menerima enjin bot.
Yang turut hadir Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong.
Penerima sumbangan, Hairul Iman Ramlan, 42, berkata, pemberian tersebut amat bermakna kerana membolehkannya pergi ke kawasan yang lebih jauh bagi mencari hasil tangkapan.
Katanya, enjin 30 kuasa kuda yang diberikan itu mampu membantu menambahkan jumlah kutipan dalam masa sehari berbanding enjin lama dengan 15 kuasa kuda yang digunakan.
Sementara itu, seorang penerima, Jamal Abu Bakar, 57, berkata, pemberian tersebut tepat pada masanya kerana enjin lama miliknya sudah uzur dan tidak berfungsi dengan baik.
Bagi Dawik Mohd. Ali, 50, dia terharu atas keprihatinan institusi diraja yang ingin membantu meringankan beban penduduk di negeri ini, sekali gus mampu meningkatkan ekonomi golongan nelayan.
Rombongan KMJ 2014 diteruskan ke destinasi seterusnya, Stadium Mini Pontian yang disambut kira-kira 5,000 warga daerah ini.
Di lokasi tersebut, baginda diiringi Pegawai Daerah Pontian, Kamarudin Abdullah dibawa melawat ke tapak pameran, menyaksikan pertandingan akhir Strongest Man, menandatangani billboard Saya Benci Merokok dan menyampaikan bantuan kepada warga miskin dan kurang upaya sekitar daerah ini.
Sementara itu, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar bersama-sama Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman pula menyaksikan klinik bola sepak serta mencuba sukan X-Tream Wall Climbing dan Flying Fox dalam kunjungan berkenaan.
Setelah meluangkan masa dua jam di stadium itu, baginda dan rombongan kerabat diraja berangkat ke Dataran Mahkota, Kota Iskandar, Nusajaya bagi acara penutupan rasmi KMJ 2014 setelah mengunjungi 10 daerah sekitar Johor dalam tempoh masa empat hari.