IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Rabu, 11 Februari 2015

JDT TERIMA KEKALAHAN DENGAN HATI TERBUKA

JOHOR BAHRU: Kekalahan Johor Darul Ta'zim (JDT) kepada Bangkok Glass FC 3-0 pada aksi kelayakan kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Leo, Bangkok, kelmarin bukan satu kegagalan. Ketika usia pasukan yang bergelar Harimau Selatan baharu mencecah tiga tahun selepas dirombak oleh kepimpinan tertinggi Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) untuk memantapkan pasukan itu, seharusnya setiap pemain JDT perlu berdiri megah dan tidak terlalu kecewa. Apa lagi kelab dari Thailand itu yang muncul juara Piala FA Thailand musim lalu sudah berpengalaman beraksi pada saingan kelab tertinggi ketika JDT di bawah bimbingan Bojan Hodak pertama kali bermain di pentas tertinggi itu. Malah, Hodak sendiri mengakui betapa jurang antara kelab di Malaysia dan Thailand masih jauh dan penampilan JDT pada kelayakan ACL boleh dianggap pendedahan terbaik untuk menimba pengalaman. "Kita masih belum mampu tandingi kehebatan pasukan lawan yang sudah berpengalaman beraksi di pentas kelab tertinggi Asia dan saya menerima kekalahan itu dengan hati terbuka.

"Malah saya tidak menyalahkan pemain dengan kegagalan melangkah ke pusingan seterusnya dan saya yakin mereka mendapat pengalaman berguna pada aksi itu yang jelas dikuasai Bangkok Glass FC," katanya ketika dihubungi, semalam. Tanpa mempertaruhkan Marcos Antonio untuk mengemudi benteng pertahanan selepas pemain import dari Brazil mengalami kecederaan termasuk ketiadaan Luciano Figueroa yang diketepikan akibat masih belum pulih daripada kecederaan pangkal paha, Hodak meletak sandaran kepada dua tenaga import, Jorge Pereyra Diaz dan Hariss Harun. Apa pun beraksi di padang rumput sintetik nyata menjejas rentak permainan JDT apabila penguasaan milik Bangkok Glass FC yang mempamerkan corak permainan pantas sehingga sukar buat barisan tengah JDT menyekat pergerakan pasukan lawan. Namun, apa yang boleh dirumuskan kesebelasan utama yang diturunkan oleh Hodak sudah memberi yang terbaik tetapi dinoktahkan dengan kekalahan dan setiap pemain Harimau Selatan harus kembali bangkit untuk meneruskan kembali rentak kemenangan pada saingan Liga.

Aksi seterusnya JDT akan bertandang ke Stadium Shah Alam untuk menentang Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang cuba mengambil kesempatan di atas faktor keletihan anak didik Hodak. Perancangan yang lebih tersusun bakal dilakukan Hodak tatkala akan bersaing pada Piala AFC bermula 24 Februari ini menentang kelab dari India, East Bengal selain akan menentang Balestier Khalsa (Singapura) dan Kitchee FC (Hong Kong). Dua saingan itu dianggap penting buat Hodak dan pastinya kekuatan fizikal dan mental menjadi taruhan terbaik selain memastikan barisan pemain Harimau Selatan tidak mengalami kecederaan serius sepanjang kempen Liga M dan Piala AFC.

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com