JOHOR BAHRU - Pemain kebangsaan yang beraksi untuk Johor Darul Takzim bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan memulakan latihan bersama skuad Harimau Selatan buat pertama kali di Stadium Tan Sri Hassan Yunus di sini, semalam.
Pada sesi latihan itu, Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Razak dan Azmi Muslim bersemangat menjalani latihan, bagaimanapun mereka dilihat masih mencari rentak dan keserasian bersama rakan pasukan yang lain.
Hanya Daniel Guiza tidak menyertai latihan semalam kerana diberi pelepasan untuk meraikan sambutan Krismas.
Pengurus pasukan yang juga ketua jurulatih, Fandi Ahmad berkata, semangat yang ditunjukkan kelima-lima pemain kebangsaan itu untuk menjalani latihan bersama rakan pasukan lain disifatkan sebagai 'lumayan' dan petanda terbaik bagi pasukan Johor Darul Takzim.
Pada masa sama, beliau percaya semua mereka memerlukan masa sekurang-kurangnya menyertai lima atau enam perlawanan akan datang bagi mendapatkan rentak permainan dan yakin setiap pemain Johor Darul Takzim mampu menerapkan apa yang telah diarahkan.
"Sebagai pemain profesional saya yakin mereka dapat adaptasi corak permainan kita kerana mereka pernah bermain dengan banyak pasukan lain dan yang berubah mungkin dari segi serangan dan pertahanan, yang penting adalah disiplin mereka.
"Saya berpuas hati dengan komitmen diberikan, mereka kelihatan bersemangat berlatih bersama yang lain, keadaan mereka juga bagus sekali gus ini memberi gambaran 'lumayan' untuk pasukan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi latihan.
Dalam pada itu, bagi penggempur baru skuad Harimau Selatan, Safee dan Norshahrul atau Mat Yo, masih terlalu awal untuk menilai kemampuan mereka beraksi sebagai satu pasukan kerana semua pemain baru berkumpul.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka yakin persefahaman dalam kalangan pemain dapat disatukan tidak lama lagi apabila mereka mula bermain sebagai satu pasukan.
Sementara itu, bagi menguji kehebatan barisan pemain Johor Darul Takzim sebelum mengharungi saingan Liga M musim depan, Fandi berkata, pasukan akan beraksi pada saingan empat penjuru kalah mati bermula esok hingga Jumaat.
Beliau berkata, selain Johor Darul Takzim, pasukan lain yang akan menyertai saingan yang julung kali diadakan dalam fasa akhir mempersiapkan skuad Harimau Selatan adalah Johor, Pahang dan kelab dari Liga Singapura, Woodlands Wellington FC.
"Pertandingan empat penjuru itu adalah satu platform terbaik untuk kita uji dan lihat pemain-pemain beraksi dan saya harap dapat menggunakan peluang tersebut untuk memantapkan lagi pasukan sebagai persiapan akhir sebelum saingan Liga-M bermula," katanya.
"Saya tidak merancang untuk menurunkan semua mereka sebagai kesebelasan utama, namun akan cuba memasukkan mereka sebagai pemain gantian bagi memberi ruang untuk mendapat keserasian dengan corak permainan yang kita terapkan," ujarnya.
Justeru, Fandi berharap pasukannya mampu memberikan aksi terbaik mereka di mana Johor Darul Takzim akan menentang Woodlands Wellington FC manakala Johor akan bertemu Pahang dan pemenang perlawanan itu bakal bertemu pada perlawanan akhir.
JDTns - utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan