JOHOR BAHRU - Johor Darul Takzim, pasukan yang dibarisi ramai pemain bintang menepati ramalan mara ke pusingan kedua Piala FA apabila berjaya menang tipis ke atas Perak 1-0, malam tadi.
Bermain di hadapan 30,000 penyokong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin ternyata membakar semangat anak buah Fandi Ahmad sekali gus memastikan kemenangan milik skuad Harimau Selatan.
Gol berharga yang membawa Johor Darul Takzim mara ke pusingan seterusnya hadir pada minit ke-59 menerusi tandukan Aidil Zafuan Abdul Razak hasil sepakan sudut kapten pasukan, Safiq Rahim.
Pada separuh masa pertama, Johor Darul Takzim nyata mempunyai beberapa peluang menjaringkan gol, namun, Khairul Amri Salehuddin nyata cemerlang menjaga kemas gawang Perak.
Gandingan Norshahrul dan Guiza juga dilihat masih belum berjaya menemui sentuhan penyudah sehingga babak pertama dengan masa tambahan empat minit berakhir tanpa sebarang jaringan gol.
Pasukan pelawat juga bermula garang apabila kerap mengasak kubu pertahanan skuad Harimau Selatan menerusi penyerangnya, Abdul Hadi Yahya dan peluang terbaiknya hadir pada minit keempat.
Bagaimanapun, dia mensia-siakan peluang tersebut apabila sepakannya tidak tepat ke arah gawang.
Skuad Harimau Selatan kemudiannya bangkit dengan bermula garang pada babak kedua apabila Ahmad Ezrie Shafizie merembat deras ke gawang lawan, bagaimanapun Khairul Amri berjaya menangkap kemas.
Johor Darul Takzim tidak putus asa dengan berterusan membuat asakan dan akhirnya gol pertama mereka berjaya dihasilkan menerusi tandukan Aidil Zafuan pada minit ke-59.
Sebelum itu, pada minit ke-48, skuad Harimau Selatan mempunyai peluang menjaringkan gol menerusi gerakan solo Norshahrul yang berjaya memperdaya pertahanan dan penjaga gol lawan.
Namun, pemain yang turut dikenali sebagai Mat Yo itu mensia-siakan peluang tersebut.
JDTns- utusan sukan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan