BATU PAHAT – Seorang pemuda memberi alasan datang ke hotel kerana hanya mahu berehat setelah penat bersiar-siar di sekitar bandar di daerah ini selepas ditangkap khalwat bersama pasangannya.
Pasangan terbabit dicekup oleh Unit Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Daerah Batu Pahat, di sebuah hotel di sini selepas pihak berkuasa melakukan operasi mencegah maksiat.
Timbalan Ketua Penguatkuasanya, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, dalam serbuan kira-kira jam 2.30 pagi itu, mereka terpaksa menunggu lama selepas pasangan terbabit enggan membuka pintu.
Menurutnya, selepas pintu bilik dibuka, pemeriksaan awal mendapati hanya seorang lelaki berada di dalam bilik itu, manakala wanita terbabit dipercayai bersembunyi di dalam tandas.
“Lelaki terbabit yang bekerja di Negeri Sembilan itu hanya mampu tersenyum pada mulanya apabila ditanya mengenai status hubungan mereka. Dia kemudiannya memberikan pelbagai alasan termasuklah hanya berehat sahaja.
“Pasangan berusia lingkungan 20an ini enggan membuka pintu pada mulanya, namun selepas beberapa kali pintu berkenaan diketuk dan beberapa pegawai penguatkuasa mendesak untuk memecah pintu, barulah pasangan terbabit membukanya.
“Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki dan seorang wanita yang berada di dalam tandas bilik itu tidak mempunyai hubungan sah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Saiful berkata, pasangan terbabit ditahan untuk dokumentasi dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 27(1)(a)(b) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Johor 1997.
“Pasangan terbabit akan dihadapkan ke mahkamah selepas siasatan selesai dilakukan berhubung kesalahan yang dilakukan itu. Tangkapan ini sebagai pengajaran kepada orang ramai.
“Operasi yang dilakukan ini adalah untuk terus membendung perbuatan sumbang yang semakin membimbangkan di kalangan anak-anak muda yang semakin banyak sejak akhir-akhir ini.
“Selain itu, operasi seperti ini juga akan dilakukan dengan lebih kerap lagi dengan tertumpu pada aduan orang ramai, hotel-hotel bajet dan juga kawasan yang berpotensi untuk kelakuan seperti ini,” katanya.
JDTns
Tiada ulasan:
Catat Ulasan