IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Sabtu, 16 Februari 2013

Festival layang-layang kali ini lebih unik

JOHOR BAHRU 15 Feb. -   Terdapat beberapa kelainan dalam Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang kali ini, sekali gus menjadikan edisi ke-18 ini lebih unik kepada peminat layang-layang, pelayang dan orang ramai yang bakal hadir di Bukit Layang-layang, Pasir Gudang dekat sini.

Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Md. Za‘nal Misran berkata, antara kelainan dalam festival selama lima hari itu ialah memperkenalkan Pertandingan Layang-layang Peringkat Sekolah ASEAN dan Seminar Wau/Layang-layang Peringkat Sekolah Kebangsaan.

“Antara kelainan lain ialah penyertaan peserta antarabangsa daripada Satun Kite Festival di Thailand yang dianjurkan selang seminggu selepas Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang.

“Beberapa negara baharu iaitu Zambia, Colombia dan Bhutan juga sudah mengesahkan penyertaan manakala Rusia, Turki dan Ukraine dijangka turut serta," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang merupakan anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Jabatan Pelancongan negeri dan Persatuan Pelayang Malaysia.

Festival ini bermula dari 20 hingga 24 Februari ini di Bukit Layang-layang, Pasir Gudang.

Acara ini dijangka mendapat sambutan daripada 1,000 pelayang dari 25 negara dengan 100,000 pengunjung dari dalam dan luar negara terutama Indonesia dan Singapura.

Menurut Md. Za‘nal, pendekatan menarik yang lain ialah memperkenalkan Pertandingan Layang-layang Ciptaan Peringkat Sekolah dan Terbuka dengan peserta dikehendaki memakai pakaian tradisional.

“Selain itu, Pertandingan Wau Merak Besar yang bersaiz lebih sembilan kaki dijangka mendapat perhatian ramai, begitu juga Pertandingan Layang-layang Malam. Festival kali ini turut menyaksikan pelajar Politeknik Ibrahim Sultan bersama dengan ahli jawatankuasa turut serta," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com