IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Ahad, 8 September 2013

Serlah kemesraan raja dan rakyat johor darul takzim

Sultan Ibrahim Iskandar bersama kerabat diraja bergambar kenangan bersama para sekreteriat dan peserta yang menjayakan Kembara Mahkota Johor 2013 di Gelang Patah, baru-baru ini. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN 
 


JOHOR BAHRU 5 Sept. - Setiap tahun Kembara Mahkota Johor (KMJ) sentiasa dinantikan oleh semua lapisan rakyat di negeri ini.

Malah, populariti acara tahunan yang diilhamkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang memasuki edisi ke-16 baru-baru ini mencerminkan betapa program 'Raja bertemu rakyat' itu sentiasa menjadi bualan rakyat negeri ini.

Peluang menyertai konvoi sejauh 1,100 kilometer yang menjelajah ke semua 10 daerah di negeri itu memberi pengalaman berharga kerana dapat melihat dengan lebih dekat keindahan dan kehidupan masyarakat pelbagai kaum termasuk etnik Bugis, Jawa dan Orang Asli.

Namun, yang paling utama dapat menyoroti sikap mesra rakyat yang ditunjukkan Sultan Ibrahim setiap kali bertemu pelbagai lapisan masyarakat yang berada di setiap laluan dan lokasi persinggahan konvoi berkenaan.
Malah, Sultan Ibrahim tidak kekok untuk bersalaman, bergurau senda dan duduk berdampingan selain memasak dalam setiap program yang diaturkan.

Kehadiran Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, putera-putera dan puteri baginda dalam beberapa acara yang diadakan turut menyerikan lagi majlis sempena KMJ 2013.

Program bertemakan Kembara Ke Arah Perpaduan yang disertai sebanyak 393 penunggang motosikal berkuasa tinggi dan berkereta itu turut disertai kerabat diraja dan para jemputan yang nyata mencapai misi selepas semua lapisan masyarakat sama ada Melayu, Cina, India, Orang Asli serta etnik Sarawak dan Sabah yang berada di negeri ini bersama-sama memeriahkan program tersebut.

Pelepasan konvoi selama empat hari itu bermula dari pekarangan Menara Aqabah, Pasir Gudang dekat sini dan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin manakala acara penutupan diadakan di Gelang Patah.

Di setiap lokasi persinggahan, Sultan Ibrahim turut menyaksikan pelbagai acara yang diadakan termasuk pertandingan permainan tradisional serta mengagihkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
Lebih bermakna dalam KMJ 2013 ialah sebanyak 60 cabutan bertuah diberikan kepada pemenang bertuah daripada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India.

Bagi kaum Melayu, mereka dihadiahkan pakej menunaikan umrah ke Tanah Suci Mekah manakala kaum Cina dan India, masing-masing diberi pakej melancong ke China dan India.

Sementara itu, Mohamed Khaled menyifatkan program berkenaan merupakan salah satu usaha terbaik mewujudkan hubungan dua hala antara pihak istana dan rakyat.

"Program ini secara langsung mampu memperkukuhkan institusi Raja Berperlembagaan yang wajib dilindungi dan dipelihara dan program ini juga merupakan satu bukti nyata taat setia rakyat kepada sultan.

"Johor amat bertuah kerana mempunyai sultan yang begitu prihatin terhadap keadaan rakyat jelata tidak kira di mana juga mereka berada," katanya.

Mohamed Khaled berkata, selain mewujudkan hubungan dua hala antara istana dan rakyat, KMJ juga merupakan acara pelancongan utama negeri ini dan mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negara.
Malah, program itu juga, katanya, diberi pengiktirafan Kerajaan Persekutuan sebagai salah satu acara pelancongan utama bagi Tahun Melawat Malaysia 2014.

Oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH
utusan.johor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com