KOTA TINGGI 25 Jan. - Pekerja Ladang Alaf dekat
sini gempar dengan kelahiran seekor anak kerbau balau merah yang
berkepala dua semalam.
Pengurus ladang tersebut, Fauzahar Sail, 40, ini merupakan kali
pertama dia melihat kejadian aneh seperti itu apabila ibu kerbau
melahirkan seekor anak berkepala dua.
"Barangkali ini salah satu keberkatan dan kebesaran ditunjukkan Allah
SWT di ladang ini, maklumlah pada masa ini ramai orang datang membeli
dan menyembelih haiwan ternakan seperti lembu dan kambing sempena
sambutan Maulidur Rasul.
"Bagaimanapun saya terkilan tidak dapat perlihatkan kepada orang
ramai kerana anak kerbau itu tidak dapat diselamatkan semasa
dilahirkan," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.
Pembantunya, Mohd. Rafiq Kadir, 27, percaya anak kerbau itu telah mati sebelum dilahirkan berikutan air ketuban telah kering.
Dia bersama enam rakan sekerja cuba membantu ibu kerbau itu dari
pukul 10.30 pagi Khamis lalu, namun sehingga petang mereka gagal
mengeluarkan anak kerbau berkenaan.
"Kami kemudian mengambil keputusan menyuntik ibu kerbau dengan
sejenis cecair perangsang agar dapat melahirkan anaknya secara semula
jadi.
"Dalam pukul 10 pagi tadi (semalam) bila saya tinjau ibu kerbau itu
berjaya melahirkan anaknya, tetapi terkejut mendapati anak kerbau itu
mempunyai dua kepala dan sudah tidak bernyawa," katanya.
"Sudah tiga tahun saya bekerja di sini, tetapi baru kali ini menyaksikan peristiwa aneh seperti ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan