IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Khamis, 20 Disember 2012

Pusat pemindahan dibuka semula


KLUANG - Seramai 235 mangsa banjir sekitar kawasan Simpang Renggam, dekat sini, terpaksa dipindahkan di empat pusat pemindahan banjir susulan kejadian hujan berlarutan, sejak petang Isnin lalu.

Empat pusat pemindahan banjir yang dibuka adalah Balai Raya Kampung Paya Palembang, Dewan Kampung Kolam Air, Sekolah Seri Kenchana, Renggam dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Linau.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kluang, Lina Mohd Razalan berkata, kesemua mangsa banjir di empat kampung terlibat dipindahkan sekitar jam 2.30 pagi, sejak kelmarin (Selasa).

Menurutnya, walaupun semalam cuaca kelihatan bertambah baik, namun pihaknya tidak akan membenarkan mangsa-mangsa banjir pulang ke rumah terlebih dahulu kerana khuatir hujan akan berlaku semula pada sebelah petang.
“Setakat ini hanya 56 keluarga yang tinggal di empat pusat pemindahan banjir iaitu lapan keluarga di Sekolah Seri Kenchana, 19 keluarga di SK Sungai Linau, 13 keluarga di Balai Raya Kampung Paya Palembang dan 16 keluarga di Dewan Kampung Kolam Air.

“Jika hujan berterusan pada hari ini, jumlah mangsa dijangka meningkat dan lebih banyak lagi pusat pemindahan dijangka akan dibuka untuk menempatkan mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Pemindahan Banjir di Dewan Kampung Kolam Air, di sini, semalam.

Lina berkata, walaupun mangsa tidak dibenarkan pulang ke rumah, namun mereka dibenarkan untuk membersihkan kediaman masing-masing yang dilanda banjir.

Katanya, sejak pusat pemindahan dibuka, pihaknya menyediakan kemudahan dan keperluan yang diperlukan mangsa banjir seperti tikar, tilam, makanan, dan sebagainya.

“Hingga kini, JKM sediakan semua kelengkapan yang diperlukan, malah kami akan utamakan kelengkapan bayi dan warga emas,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng berkata, pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan semua mangsa yang terlibat agar tidak berhadapan sebarang masalah ketika berada di pusat-pusat pemindahan banjir.

“Pihak Parlimen Simpang Renggam turut akan membantu mangsa banjir dalam usaha untuk mendapatkan pemotongan bil air di rumah mangsa bagi kegunaan mereka setelah air mula surut nanti.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada anggota pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) kerana telah bertindak pantas menyediakan pusat-pusat pemindahan sebaik air mulai naik,” katanya.

Beliau turut menasihatkan semua penduduk yang sering berdepan kejadian banjir agar sentiasa bersedia untuk dipindahkan ke pusat penempatan banjir sekiranya hujan berterusan.

JDTns-sinar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com