PRESIDEN Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa membidas kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memintanya menghentikan drama dan politik melibatkan Norshahrul Idlan Talaha.
Annuar berkata, dalam isu penyerang itu, yang turut dikenali sebagai Mat Yo, yang patut berhenti drama dan bersikap profesional adalah Tunku Ismail sendiri kerana isu tebus kontrak adalah antara pemain itu dengan bekas majikannya.
“Sebenar saya belum pernah membuat sebarang komen secara langsung terhadap Presiden PBNJ kerana saya memandang tinggi dan hormat statusnya sebagai seorang anak Raja bergelar Tengku Mahkota.
“Namun hari ini saya terpanggil memberi reaksi dan juga ingin menegur Presiden PBNJ agar jangan keterlaluan dalam berkata atau berbuat sesuatu kerana dalam sukan dan persatuan hanya ada satu peraturan untuk semua tanpa adanya beza berasaskan ras, warna kulit, pangkat atau keturunan,” kata Annuar yang dipetik menerusi laman Facebokknya, semalam.
Dalam laporan semalam, Tunku Ismail mahu Annuar menghentikan drama dan politik melibatkan Mat Yo.
Baginda juga mahu Annuar lebih bersikap matang dan profesional dalam mengendalikn pasukan bola sepak.
Tunku Ismail memberi jaminan Mat Yo akan membayar harga tebus kontrak seperti diminta Kafa.
"Jangan panjang-panjangkan cerita. Dia (Mat Yo) akan bayar (harga tebus kontrak) pada hari ini. Anda (Annuar) perlu matang. Dalam sukan bola sepak, mesti ada pemain yang datang dan pergi. Anda perlu terima dan bersikap profesional.
"Sebagai contoh, jika satu hari nanti Safee Sali mahu keluar dari pasukan, saya akan terima. Beliau (Annuar) sepatutnya berterima kasih kepada Mat Yo atas sumbangan diberikan dan bukannya bercakap benda kurang menyenangkan terhadap pemain ini,” katanya.
Dalam pada itu, Tunku Ismail turut berkata, Mat Yo akan menjelaskan bayaran harga tebus kontrak sebanyak RM250,000 seperti ditetapkan oleh FAM.
Mengulas mengenai jumlah bayaran harga tebus kontrak sebanyak RM250,000 yang ditetapkan oleh FAM seperti yang dinyatakan Tunku Ismail, Annuar menyifatkan kenyataan Presiden PBNJ itu satu pembohongan.
Beliau menegaskan, isu tebus kontrak tidak kena-mengena dengan pihak ketiga iaitu PBNJ, malah kenyataan Tunku Ismail adalah bukti campur tangan dan 'inducement' di luar peraturan dan etika oleh Johor yang menjadi punca isu semasa.
“PBNJ hanya terkait isu perpindahan yang kita tiada halangan mengenainya bila isu tebus kontrak oleh Mat Yo selesai.
“Jadi, isu kontrak tak ada kena-mengena dengan PBNJ. Mereka tak perlu memberi jawapan kononnya hari ini nak bayar RM250,000 dan kononnya FAM sudah putuskan jumlah tersebut, ia adalah satu pembohongan.
“Sedangkan FAM belum membuat keputusan, lagipun FAM sudah menetapkan bahawa kedua pihak Kafa dan Mat Yo memfailkan afidavit untuk dinilai oleh Jawatankuasa Status Rayuan,” ujarnya.
Tambah Annuar: “Setakat yang kita tahu jawatankuasa belum lagi berbuat demikian, kita belum dimaklum apa-apa dan kita tunggu saja."
“Jadi, tidak perlu Presiden PBNJ cuba menggunakan nama FAM. Had RM250,000 yang dirujuk adalah had bayaran perpindahan kiranya antara kelab gagal sepakat, namun ia tidak merujuk kepada jumlah pampasan terkait dari ingkar kontrak antara kedua-dua pihak yang ada prosedur menentukannya," katanya.
Sehubungan itu, Annuar mahu Presiden PBNJ yang jauh lebih muda daripadanya agar turut belajar jadi matang dan jangan berdrama serta mengelirukan fakta.
“Tunku Ismail perlu belajar merendah diri, sabar mengikut peraturan dan biarlah benar-benar profesional sebelum mahu menegur persatuan atau orang lain,” jelas beliau.
JDTns - Sukan Sinar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan