IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Rabu, 1 Januari 2014

Jelajah pertunjukan layang-layang lampu di seluruh Johor

SEGAMAT 31 Dis. - Jelajah pertunjukan layang-layang berlampu yang dimainkan pada waktu malam akan singgah di seluruh negeri bagi memperkenalkan permainan tersebut serta mempromosi Pesta Layang-layang Antarabangsa Pasir Gudang yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengerusi Persatuan Pelayang Negeri Johor, A. Rahim Nin berkata, selain siri jelajah pertunjukan layang-layang berlampu, pelbagai aktiviti dirancang bagi mengisi kalendar tahun 2014 bertujuan memperkenalkan permainan layang-layang kepada semua lapisan masyarakat di negeri ini.

"Sebagai pembuka tirai tahun 2014, kami akan mengadakan satu bengkel membuat layang-layang selama empat hari bermula 9 Januari ini yang terbuka kepada peminat permainan layang-layang di negeri ini di Pusat Latihan Dan Rekreasi Felcra Tebing Tinggi.

"Selain itu, saya sedang berusaha mendapatkan kerjasama dan bantuan daripada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menganjurkan aktiviti termasuk pertunjukan layang-layang berlampu," katanya semasa menyaksikan pertunjukan layang-layang berlampu yang julung kali diadakan di daerah Segamat di Dataran Segamat malam tadi.

Seramai 20 pelayang menerbangkan pelbagai bentuk layang-layang yang dihiasi lampu berwarna-warni menghiasi Dataran Segamat yang menarik perhatian kira-kira 500 pengunjung.

Persatuan Pelayang Negeri Johor yang ditubuhkan pada 1996 mempunyai seramai 500 ahli terdiri daripada pelbagai kaum dan 80 orang daripada jumlah tersebut bergiat aktif dengan menyertai pelbagai pertunjukan dan pertandingan di dalam dan luar negara.

Beliau yang juga Pegawai Daerah Segamat berkata, permainan layang-layang merupakan aktiviti sihat yang mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan, kaum dan anggota masyarakat.

"Saya harap siri jelajah pertunjukan layang-layang berlampu ini bukan sahaja mampu menarik minat orang ramai terhadap permainan layang-layang, tetapi sebagai satu aktiviti yang dapat dijadikan kegiatan riadah bersama keluarga untuk hadir menyaksikan pertunjukan tersebut,"katanya.

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com