IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Sabtu, 22 Februari 2014

Kerja sedut pasir di Sungai Muar dihenti

Tarikh: February 22, 2014

SEGAMAT - Pejabat Daerah Segamat mengarahkan kerja-kerja menyedut pasir berhampiran Sungai Muar di Pekan Buloh Kasap di sini, di mana tiga remaja lemas dan lima lagi masih hilang, dihentikan serta merta.
  
Pegawai Daerah Abdul Rahim Nin berkata syarikat berkenaan juga diarahkan membawa keluar peralatan mereka dari kawasan itu dengan segera.
  
Menurutnya kerja-kerja menyedut pasir itu telah menambah kedalaman sungai terbabit dan mendatangkan bahaya kepada penduduk sekitar.
  
"Pihak Jabatan Parit dan Saliran Daerah Segamat juga meminta syarikat itu membaiki tebing sungai yang runtuh itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian itu hari ini.
  
Abdul Rahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah berkata pada masa ini, sebanyak 18 lesen dikeluarkan bagi kerja-kerja menyedut pasir di sepanjang Sungai Muar di daerah Segamat dengan 10 daripadanya aktif, tiga menunggu kelulusan lanjutan dan lima tidak aktif.

Petang semalam, pasukan penyelamat menemui mayat Mohd Hafizul Danial Norhashim, 16, Mohd Zikri Zaidi, 14 dan Nazirul Aminuddin Zamri, 15.
  
Pasukan itu masih meneruskan usaha mencari Mohd Shafiq Mohd Syukur, 16, Mohd Hafizuddin Kamal, 16, Mohd Zaki Zaidi, 16, Mohd Izuan Hakimi, 16 dan Mohd Nazreen Zainal, 14.
  
Kesemua mangsa tinggal di Taman Mewah, yang terletak berhampiran dengan lokasi kejadian, dan merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Buloh Kasap.
  
Abdul Rahim berkata terdapat 40 penyelam terlibat dalam operasi mencari itu termasuk dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor dan Johor. - Bernama

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com