IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Memaparkan catatan dengan label FAM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label FAM. Papar semua catatan

Sabtu, 8 Februari 2014

'Kita tidak boleh paksa orang lain suka JDT

JOHOR BAHRU - Presiden Kelab Penyokong Johor, Azlan Afandi Saufee Afandi menyeru penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) agar bersatu di belakang gergasi Liga Malaysia (Liga-M) itu kerana pasukan Harimau Selatan kini semakin banyak dilemparkan dengan perkara negatif.

"Kita tak boleh nak paksa orang lain untuk suka pada kita...jadi apa yang kita boleh lakukan adalah terus memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada pasukan kegemaran kita," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.

Sementara itu, Azlan Afandi menyambut keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang memberi kemenangan percuma 3-0 kepada JDT ke atas T-Team dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA dengan penuh rasa syukur dan gembira.Pada masa sama, beliau yakin FAM sudah meneliti perkara tersebut daripada pelbagai sudut sekali gus mereka (FAM) mempunyai asas yang munasabah untuk membuat keputusan sedemikian.

"Saya harap semua penyokong melupakan semua sengketa yang pernah wujud dan terus memberi sokongan kepada perlawanan yang akan datang," katanya.Jawatankuasa FAM dalam mesyuaratnya semalam membuat ketetapan tersebut berdasarkan Perkara 4.12.15b peraturan pertandingan Liga Malaysia 2013-2016 kerana kesalahan T-Team yang tidak menghabiskan baki perlawanan pada separuh masa kedua.

FAM bersedia panggil TMJ

PENGERUSI Jawatankuasa Pertandingan, Datuk Seri Afandi Hamzah (kanan) dan Hamidin Mohd. Amin menjawab soalan wartawan dalam sidang akhbar mengenai insiden pergaduhan melibatkan JDT dan T-Team, di Wisma FAM, Petaling Jaya semalam.

PETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap akan memanggil Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekiranya perlu untuk membantu siasatan atau dikenakan pertuduhan berhubung insiden di dalam terowong membabitkan pemain import T-Team, Evaldo Goncalves sewaktu perlawanan Piala FA di Johor Bahru pada Sabtu lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya tidak akan memilih bulu kepada mana-mana pihak demi mencari keadilan, dan ini termasuk terhadap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak dapat mengulas lanjut berhubung insiden di dalam terowong menuju bilik persalinan di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos itu kerana Jawatankuasa Tatatertib serta Sekretariat FAM sedang melakukan siasatan.

"FAM melalui Sekretariat dan Jawatankuasa Tatatertib akan membuat susulan dalam tempoh yang terdekat terhadap isu di dalam terowong mengikut proses setelah meneliti semua laporan yang kami dapat, jika terdapat bukti menunjukkan adanya pergaduhan dan pertelingkahan, kes ini akan dibawa untuk perbicaraan.

"Perlu saya nyatakan di sini, tiada sebarang kompromi dalam hal ini dan sekiranya FAM perlu membawa Tunku Mahkota Johor menghadiri mesyuarat tatatertib, kami akan buat.

"Saya sedia maklum laporan polis dalam hal ini telah dibuat, cuma FAM akan bertindak mengikut bidang kuasa kami dan hal lain diserahkan kepada pihak keselamatan," katanya dalam sidang akhbar di Wisma FAM semalam.

Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM semalam hanya membincangkan mengenai status keputusan perlawanan antara kedua-dua pasukan dan akan menetapkan tarikh persidangan selewat-lewatnya pada minggu hadapan jika terdapat kes dalam laporan insiden terbabit.

Pihak pengurusan T-Team mendakwa Evaldo telah ditumbuk oleh pegawai pengurusan tertinggi PBNJ ketika menuju ke bilik persalinan sementara jurulatih kecergasan, Stefano Impagliazzo ditendang di bahagian kemaluan.

Susulan kejadian itu, T-Team menerusi Ketua Pegawai Operasi, Syahrizan Mohd. Zain membuat laporan polis di Kuala Terengganu atas faktor keselamatan pemain pada 3 Februari lalu.

Perkembangan kes berkenaan bertambah menarik apabila jurulatih JDT, Cesar Ferrando Jimenez pula membuat laporan polis di Balai Polis Sentral, Johor Baharu Selatan pada hari yang sama selepas mendakwa kolar bajunya ditarik oleh Impagliazzo dan ditolak oleh salah seorang pemain T-Team.

Jumaat, 7 Februari 2014

Hindari politik dalam sukan.

Tarikh: February 7, 2014

PPerlawanan JDT menentang T-Team seharusnya menjadi iktibar.INSIDEN kekecohan yang berlaku ketika aksi pusingan kedua Piala FA 2014 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan T-Team di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin, 1 Februari lalu, wajar dijadikan iktibar.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, semua pihak perlu menghindari permainan politik dalam kancah sukan termasuk bola sepak.

Menurutnya, kejadian yang berlaku tempoh hari menunjukkan wujudnya kejadian mempolitikkan sukan bola sepak sehingga ada yang cuba menuding jari seterusnya mempersalahkan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) tanpa bukti kukuh.“Sukan bola sepak sepatutnya dijadikan landasan menyatupadukan rakyat, bukannya dicampuradukkan dengan pelbagai isu yang boleh ‘melemaskan’ peminat.“Sebagai badan induk sukan yang profesional, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seharusnya lebih terbuka dan profesional dalam menangani perkara ini," katanya, semalam.

Mengulas mengenai keputusan FAM yang berpihak kepada JDT dengan kemenangan 3-0 ke atas T-Team, beliau memberitahu keputusan itu adalah tepat."Keputusan yang tepat setelah melihat beberapa faktor dan siasatan termasuklah mengambil keterangan dua pihak," katanya.

Rabu, 5 Februari 2014

Siapa serang siapa?

Cesar Ferrando Jiminez (kanan), bersama peguam Baljit Sigh Sidhu (tengah) dan Fahmy Yahya menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Johor Bahru Selatan, semalam.

JOHOR BAHRU - Selepas pasukan T-Team mendakwa pemain mereka ditumbuk dan membuat laporan polis di Kuala Terengganu kelmarin, semalam Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) pula tampil membuat laporan polis berhubung insiden pergaduhan yang berlaku semasa perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini, Sabtu lalu.

Laporan tersebut dibuat oleh Ketua Jurulatih, Cesar Ferrando Jiminez yang juga Pengurus Pasukan JDT di Balai Polis Sentral, di sini pukul 2 petang dengan diiringi oleh Naib Presiden PBNJ, Onn Jabar; Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd. Fahmy Yahya dan peguam, Datuk Baljit Singh Sidhu.Menurut Baljit, laporan berkenaan dibuat bagi menjelaskan perkara sebenar yang berlaku termasuk insiden di terowong ekoran terlalu banyak tohmahan selain perkara sebenar diputarbelitkan oleh pihak T-Team sedangkan yang menjadi mangsa dalam kejadian itu adalah Jiminez."Terlalu banyak tohmahan tentang insiden itu, fakta juga tidak diberi dengan jelas dan disebabkan itu, dia (Jiminez) tampil buat laporan bahawa dia yang diserang oleh jurulatih kecergasan T-Team dan pemain yang memakai jersi nombor 16 pasukan tersebut."Dalam insiden itu, kolar baju dia telah ditarik oleh jurulatih kecergasan T-Team...itu sebenarnya yang berlaku.

Dia (Jiminez) diserang termasuk dengan kata-kata kesat dan selain itu tiada apa yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan berkenaan.Kelmarin, polis Terengganu menerima empat laporan daripada pasukan bola sepak T-Team berhubung kekecohan itu yang dibuat pihak pengurusan, dua pemain import serta jurulatih kecergasan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.Ketua Pegawai Operasi T-Team, Syahrizan Mohd. Zain yang membuat laporan tersebut mendakwa pemain T-Team, Elvaldo Rodriguez telah ditumbuk di muka oleh pegawai tertinggi PBNJ, manakala jurulatih kecergasan pasukan, Stefano Impagliazzo disepak di bahagian kemaluan.Baljit berkata, PBNJ akan menyiasat secara terperinci perkara tersebut termasuk mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat fitnah atau tohmahan tidak berasas dan pada masa sama akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).Katanya,

laporan itu disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut, namun enggan mengulas lanjut.

Isnin, 3 Februari 2014

‘Aksi kampung’: PBSNT

Kuala Terengganu: “Seperti bola sepak kampung,” itu luahan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid yang kesal dan tidak berpuas hati berhubung insiden yang menimpa penyerang import T-Team, Evaldo Rodrigues yang didakwa ditumbuk pengurusan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) manakala jurulatih kecergasan, Stefano Impagiazzo dikasari pegawai keselamatan pada perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam kelmarin.

Wan Ahmad Nizam berkata, beliau meminta siasatan terperinci dijalankan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengetahui siapa yang bersalah dalam insiden itu selain menjaga maruah bola sepak tanah air.

“Saya akui insiden menimpa pemain T-Team yang ditumbuk hingga hidung berdarah dan dikasari amat mendukacitakan serta memalukan kerana sepatutnya perkara sebegini tidak berlaku dalam era bola sepak profesional, tapi apa yang berlaku sebaliknya.

“Saya akan minta Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Ab Rasid Jusoh membuat laporan polis supaya insiden itu tidak akan berulang sambil menyerahkan kebijaksanaan badan induk bola sepak negara membuat keputusan berhubung isu itu,” katanya.
Foto

PEMAIN Johor DT terpaksa menunggu di tepi padang apabila pasukan T-Team enggan meneruskan perlawanan, kelmarin.

Sementara itu, pengurusan T-Team sudah menghantar laporan penuh kepada FAM berhubung insiden perlawanan itu yang membabitkan pemainnya dengan Johor DT.

FAM ambil tindakan tegas

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi jaminan akan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pemain dan pegawai yang terbabit dalam insiden kekecohan aksi Piala FA antara Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan T-Team kelmarin.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, walaupun kes itu dianggap berprofil tinggi namun mereka tetap akan menjalankan prosedur siasatan yang sama membabitkan kedua-dua pasukan sebaik menerima laporan perlawanan hari ini.

“Saya akan menerima laporan daripada Komisioner Perlawanan, Pengadil, Koordinator Perlawanan dan kedua-dua pasukan esok (hari ini). Saya sudah berbincang dengan Datuk Afandi (Hamzah) untuk mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Khamis ini bagi membincangkan isu ini.

“Jika ada bukti pegawai dan pemain melanggar peraturan tatatertib pertandingan, kita akan bawa mereka menghadap Jawatankuasa Tatatertib bagi tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Perlawanan di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin kelmarin terpaksa ditangguh selepas pasukan pelawat T-Team bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah enggan meneruskan perlawanan apabila mendakwa ada pemain dan pegawai mereka dipukul dalam insiden kekecohan di terowong ketika menuju ke bilik persalinan pada rehat babak pertama.

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com