• JB bakal jadi metropolitan baru

  • Keadaan bandar raya Johor Bahru yang padat dengan pembangunan.


    • JOHOR BHARU - Bandaraya Johor Bahru yang juga ibu negeri Johor adalah bandar raya kedua terbesar di negara ini, dengan jumlah penduduk melebihi 1.4 juta menjadikannya antara kota raya tumpuan.

      Ekonomi bandar raya ini dijana daripada sektor pelancongan, perindustrian dan perdagangan memandangkan kedudukannya di pintu masuk selatan Malaysia.

      Perkembangan perindustrian di Johor Bahru yang begitu pesat menjadikan ia sebagai salah satu pusat perindustrian yang terbesar di negara dengan pembukaan kilang-kilang industri memberi ruang rezeki kepada penduduk tempatan.

      Pusat beli-belah yang wujud di bandaraya ini juga didominasi pelancong Singapura yang melawat sambil mengambil kesempatan membeli belah susulan kadar tukaran mata wang Singapura yang semakin kukuh berbanding ringgit.

      Di bawah pelan induk Pihak Berkuasa Iskandar Malaysia (Irda), Johor Bahru dijangka akan berkembang menjadi metropolitan besar dengan bilangan penduduk melebihi tiga juta orang menjelang 2025.

      Dalam tempoh 15 tahun, pemimpin bersilih ganti dan menyaksikan bandar raya ini dibahagikan kepada tiga parlimen iaitu Johor Bahru yang kini diterajui Tan Sri Shahrir Abdul Samad; Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Nusajaya, Lim Kit Siang.

      Pembangunan infrastruktur seperti pembinaan lebuh raya, terminal pengangkutan awam baru dan sebagainya antara yang dilaksanakan ketika itu.

      Bagi Adun Tanjung Puteri, Datuk Adam Sumiru, pelbagai bentuk pembangunan telah dilaksanakan sebagai menyediakan kemudahan serta melengkapkan prasarana kepada seluruh penduduk Johor Bahru sekali gus memberi keselesaan kepada mereka.

      “Antara kemudahan yang dibina termasuklah Lebuh raya Lingkaran Penguraian Timur (EDL) , jalan raya bertingkat, sekolah, hospital, lebuh raya pesisir pantai dan sebagainya yang menjurus kepada pembangunan menyeluruh agar semua pihak menerima impaknya,” katanya.

      Beliau berkata, tidak dapat dinafikan terdapat pelbagai kesan positif daripada pembangunan yang dilaksanakan namun rakyat turut menerima tempiasnya dengan peningkatan taraf hidup dari semasa ke semasa.

      “Antara yang ketara ialah harga atau sewa rumah yang tinggi. Meskipun pendapatan isi rumah adalah RM6,000 belum tentu mereka dapat membeli rumah dengan harga RM300,000 ke atas. Justeru, kerajaan perlu membina lebih banyak rumah mampu miliki dengan nilai RM150,000 ke bawah supaya rakyat dapat memiliki aset sendiri,” katanya.

      Beliau berharap dengan pimpinan Menteri Besar baru, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Johor Bahru terus menikmati pembangunan dengan memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi yang berumur 30 tahun ke bawah.

      “Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan penghijrahan penduduk ke negeri lain untuk mencari rezeki. Kalau di Dun saya, kawasan perindustrian agak kurang.

      “Kebanyakan penduduk menjana ekonomi dengan membuat perniagaan atau menyediakan perkhidmatan kepada para peniaga. Memang ada pusat latihan, tetapi peluang perniagaan agak kurang.

      “Dalam perancangan juga, kawasan perindustrian Larkin juga dalam masa lima hingga 10 tahun akan bertukar menjadi kawasan kediaman yang dikhuatiri akan meningkatkan harga rumah di kawasan tersebut.

      “Perkembangan ini dikhuatiri akan menjejaskan populasi penduduk kerana berkemungkinan orang Melayu akan keluar dari bandar untuk mencari rezeki di tempat lain. Jadi diharap Menteri Besar harus memberi perhatian kepada generasi muda,” katanya.