IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Memaparkan catatan dengan label Stadium Johor. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Stadium Johor. Papar semua catatan

Selasa, 4 Februari 2014

Nasib JDT jadi mangsa konspirasi!

Nasib JDT jadi mangsa konspirasi

    JDTPasukan JDT gagal meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir kempen Piala Malaysia, musim ini.

ZAMAN kegemilangan sukan bola sepak tanah air pernah menyaksikan Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik Munich 1972 dan Sukan Olimpik Moscow 1980.

Begitu hebat Malaysia pada waktu itu hinggakan pasukan bola sepak berstatus seperti dunia Jepun dan Korea Selatan turut menggeruni pasukan ini di era tersebut.

Namun kemegahan itu tidak lama kerana selepas tiga abad berlalu, secara perlahan-lahan Jepun dan Korea Selatan meninggalkan Malaysia jauh ke belakang daripada segi kualiti, mutu dan gaya permainan.

Situasi itu kerana dua negara terbabit telah mengorak langkah menerapkan corak permainan moden dan profesional dalam liga masing-masing. Liga Jepun dan Korea Selatan berubah daripada budaya permainan yang semata-mata bergantung kepada aspek fizikal pemain kepada permainan penuh taktikal serta strategi.

Budaya Liga Malaysia pula kekal di takuk lama dengan mengamalkan budaya permainan kasar, bola melambung-lambung, menghantar terus bola bahagian atas untuk direbut beramai-ramai oleh pemain dengan harapan nasib menyebelahi.

Cukup menggelikan hati apabila pendokong bola sepak Malaysia yang mendakwa diri mereka pakar sukan bola sepak menyifatkan corak permainan `kuno' itu sebagai kelas dan hebat. Natijahnya, pasukan-pasukan bola sepak di Malaysia seronok sendiri dalam liganya sendiri hingga tahun 2012 tanpa dunia mempedulikan.

Kemunculan JDT

Selepas bertahun-tahun BUDAYA permainan hambar diamalkan dalam liga Malaysia, tiba-tiba liga ini kembali mendapat perhatian antarabangsa gara-gara kemunculan JDT hasil penjenamaan semula dilakukan Tengku Mahkota Johor ke atas pasukan itu sejak tahun lalu.

Pasukan bola sepak selatan tanah air dengan jolokan Harimau Selatan itu dilihat serius mahu membawa pembaharuan dalam liga Malaysia bagi mempertingkatkan martabat kekampungan liga Malaysia kepada martabat profesional dan moden.

Pelaburan jutaan ringit dibuat sejak tahun lalu untuk memastikan hasrat itu tercapai dengan mengubah infrastruktur Stadium Larkin supaya menjadi stadium pertama di Malaysia mencapai standard Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

JDT turut menjadi pasukan pertama di Malaysia berjaya menarik pemain profesional bertaraf antarabangsa iaitu Pablo Aimar (kiri) dan Luciano Figueroa Pablo Aimar selain mengumpulkan pemain-pemain ternama tanah air dibawah satu bumbung pada musim ini.

Pengurusan JDT yang diketuai Tengku Mahkota Johor pastinya berhasrat kemahiran dan corak permainan profesional Aimar dan Figueroa kelak mempengaruhi corak permainan pemain tempatan apabila mereka bermain bersama-sama dalam sebuah pasukan.

Bagaimanapun, akibat gara-gara tidak mendapat sokongan badan berkepentingan dalam industri sukan bola sepak tanah air iaitu FAM dan pihak media, pasukan JDT berhadapan laluan sukar merealisasikan hasrat murni tersebut.

Cukup ketara FAM bersikap dingin ke atas pasukan JDT dan sering membuat keputusan tidak menyebelahi pasukan itu dengan insiden paling ketara pada perlawanan di Pahang tahun lalu yang menyaksikan penyokong JDT dicederakan dengan batu tetapi Persatuan Bola Sepak Negeri Johor 2012 (PBNJ) pula dipersalahkan dan didenda.

Lebih teruk pada musim ini, FAM dengan jelas enggan memastikan mutu pengadilan yang baik dan adil dalam setiap perlawanan membabitkan JDT - seolah-olah memberi `license' atau `green light' kepada setiap pasukan lawan untuk mengasari dan mencederakan pemain JDT.

Keputusan berat sebelah dan tidak profesional pengadil menyukarkan pemain JDT mempamerkan permainan gaya profesional dan moden sepanjang 90 minit perlawanan sedangkan corak permainan profesional mendambakan mutu pengadilan yang profesional.

Malah, pemain profesional dunia seperti Aimar turut mempersoalkan perkara itu hingga mendapat liputan meluas media luar negara - berdasarkan peraturan Fifa pengadil dikehendaki melindungi pemain bertaraf bintang kerana mereka golongan berisiko dianiaya atau dicederakan di atas padang. Itu tidak berlaku dalam liga Malaysia.

Semalam sekali lagi menyaksikan pasukan JDT dianiaya apabila pasukan lawan dengan sengaja enggan meneruskan perlawanan di Stadium Larkin selepas menyedari penguasaan penuh JDT dalam perlawanan terbabit sewaktu JDT mendahului mereka 2-1.

Dakwa pasukan lawan, berlaku pertelingkahan antara jurulatih dan mereka enggan meneruskan permainan disebabkan hal itu - cukup remeh alasan tersebut kerana pertelingkahan mulut antara jurulatih mahupun pemain sewaktu perlawanan lumrah dalam permainan bola sepak di seluruh dunia.

Berdasarkan peraturan Fifa, JDT perlu mendapat KEMENANGAN PERCUMA memandangkan pasukan lawan menarik diri semasa permainan berlangsung.

Malangnya, Komissioner Perlawanan, Zainal Mukri dengan bersahaja memaklumkan bahawa perlawanan itu cuma ditangguhkan. Jelas FAM mahu membantu mengelakkan pasukan lawan tumpas kepada JDT malam semalam.

Desas-desus mula tersebar tentang teori konspirasi untuk memastikan JDT kecundang teruk pada persaingan tahun ini bagi mengaibkan usaha TMJ berikutan bimbang dengan pemilihan pucuk kepimpinan FAM pada tahun ini.

Sudah tiba masa Menteri Belia dan Sukan memantau dan menangani perkembangan negatif ini kerana usaha JDT mewujudkan budaya permainan bertaraf antarabangsa dan moden di Malaysia pasti terhalang sekiranya isu iri hati dan hasad dengki ini tidak diatasi segera.

Penulis difahamkan kebanyakan wartawan sukan di Malaysia pula amat fanatik terhadap pasukan negeri masing-masing dan terlalu bimbang kemunculan JDT menggugat peluang pasukan kesayangan mereka menguasai Liga Malaysia.

Sikap tidak profesional wartawan sukan Malaysia terbukti melalui beberapa insiden berlebihan seperti kenyataan-kenyataan berbaur provokasi yang sering dilemparkan oleh pengulas sukan bagi memburuk-burukkan kredibiliti TMJ dan pasukan itu.

Begitu juga dengan kenyataan-kenyataan peribadi ramai wartawan sukan melalui akaun Facebook mereka yang terus menerus memperlekehkan dan mempertikaikan TMJ dan sebarang perkara yang membabitkan pasukan itu.

Laporan akhbar pula memutar belit kenyataan pengurusan JDT dan menyiarkan artikel bagi niat memberi imej buruk kepada pasukan itu.

Kini semua pihak menunggu keputusan FAM berhubung tindakan pasukan lawan JDT menarik diri semasa perlawanan sedang berlangsung di Stadium Larkin semalam.

Namun, penulis yakin keputusan itu nanti sekali lagi tidak menyebelahi JDT - Nasib JDT kerana jadi mangsa konspirasi dan iri hati.

Ahmad Albab
NOTA: Artikel ini pandangan peribadi penulis daripada Melaka. - Kredit: Abangwan OK

Insiden Larkin: T-Team buat 4 laporan polis

12:33PM Feb 4 2014

Polis Terengganu menerima empat laporan daripada pasukan bola sepak T-Team berhubung insiden kekecohan perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor, Sabtu lepas.

Ketua Polis Negeri Datuk Jamshah Mustapa berkata pihak pengurusan, dua pemain import serta jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu antara pukul 9 malam dan 12.30 tengah malam tadi.

"Kami akan menyiasat dan akan memanggil serta merakamkan percakapan saksi-saksi yang berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Terengganu Isnin.

Pada pertemuan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT), T-Team enggan meneruskan perlawanan pada babak kedua selepas mendakwa pemain importnya Evaldo Rodrigues dan Fabio Flor serta Impagliazzo dikasari oleh pengurusan tertinggi JDT ketika menuju ke bilik persalinan selepas tamat separuh masa.

T-Team, yang ketinggalan 2-1 pada separuh masa, mendakwa mereka tidak dapat meneruskan perlawanan atas faktor keselamatan.

- Bernama

Sabtu, 15 Disember 2012

Tiga padang bola sepak sintetik akan dibina di Johor


KOTA ISKANDAR: Tiga padang bola sepak sintetik (rumput tiruan) bernilai RM4.4 juta akan dibina di Muar, Kluang dan Kota Tinggi pada tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Md Jais Sarday, berkata kos padang yang bernilai RM1.5 juta setiap satu itu merupakan peruntukan yang diterima daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. "Kita berharap pembinaan padang bola sepak berkenaan akan dapat meningkatkan mutu sukan bola sepak selaras dengan perkembangan terkini sukan itu.

"Pada masa ini, kita sedang merancang untuk menaik taraf dan membangunkan Stadium Larkin secara bersepadu yang dilengkapi dengan gelanggang sukan, kawasan kediaman, pusat perniagaan, taman rekreasi, hotel dan taman tema bercirikan sukan mini.

"Selain itu, Perbadanan Stadium Johor juga merancang untuk menaik taraf Kompleks Sukan Kluang dan Stadium Hoki Johor Bahru di Taman Daya dengan penambahan kelengkapan yang moden bagi persediaan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2018 dan Kejohanan Hoki Dunia 2018," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) kali Ke-12 di sini semalam.

Jais berkata Kerajaan Negeri juga bersetuju menubuhkan anak syarikat bagi menjana pendapatan untuk menampung kos penyelenggaraan prasarana sukan, selain mengenakan kadar sewa bagi prasarana berkenaan pada harga yang paling minimum.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri juga akan melancarkan hala tuju sukan negeri untuk tempoh 15 tahun akan datang melalui perancangan melahirkan atlet sukan cemerlang dan menjadikan Johor destinasi sukan antarabangsa.

"Bagi merealisasikan hasrat itu, kita mensyaratkan sebahagian kawasan perumahan menyediakan prasarana sukan asas mengikut keperluan semasa. Ia bukan sahaja bagi memenuhi keperluan atlet malah membantu melahirkan masyarakat berbudaya sukan serta mengamalkan gaya hidup sihat,"katanya.

JDTns - Medcom

Kompleks Sukan RM95 juta Dibina Di Nusajaya


MODEL kompleks sukan dan stadium yang sedang dibina.


Kompleks sukan sedia padang bola sepak ikut piawaian IAAF

NUSAJAYA: Lebih 50,000 penduduk sekitar Gelang Patah, tidak menyangka sebahagian tapak bekas ladang kelapa sawit seluas 8.6 hektar berhampiran jalan masuk ke Kampung Sungai Melayu di sini, akan dibangunkan stadium dan kompleks sukan bernilai RM95 juta.

Tapak berkenaan yang luas keseluruhannya kira-kira 120 hektar yang kini dikenali sebagai Educity@Iskandar adalah nadi penting pembangunan Medini Iskandar Malaysia yang dibangunkan Iskandar Investment Bhd (IIB), selain Taman Tema Legoland, Kota Iskandar dan Universiti Perubatan Newcastle Malaysia (NUMed).

Majlis pecah tanah kompleks berkenaan dilakukan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran Khamis lalu, dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2011.

Kompleks sukan yang mempunyai 14,000 tempat duduk itu merangkumi kemudahan padang bola sepak yang juga boleh digunakan untuk perlawanan ragbi, balapan 400 meter mengikut standard piawaian Persekutuan Persatuan Atlit Antarabangsa (IAAF) serta kolam renang bersaiz olimpik mengikut standard Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA).

Kemudahan sukan itu turut dilengkapi gelanggang pelbagai guna dalam bangunan, masing-masing tiga gelanggang skuasy dan tenis, futsal dan bola tampar.

MUHYIDDIN meletakkan obor bagi menyempurnakan kompleks sukan dan stadium.

Kompleks berkenaan yang dihubungkan dengan sebuah plaza berbumbung akan turut menjadi tempat untuk pelbagai penganjuran sukan serta kegiatan masyarakat dalam Iskandar Malaysia.

Dengan reka bentuk seperti cengkerang kepah, kemudahan itu akan menjadi mercu tanda di Medini Malaysia kerana ia jelas dapat dilihat melalui Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

Apabila siap kelak, ia bukan saja menjadi prasarana sukan dan rekreasi bagi pelajar di Educity@Iskandar sebagai hab pendidikan di Asia, malah menjadi kemudahan masyarakat setempat.

Muhyiddin dalam ucapan pada majlis pecah tanah berkenaan berharap kompleks sukan itu menjadi titik tolak kepada penanda aras baru di dalam penyediaan kemudahan pembelajaran holistik yang setanding di peringkat global secara khususnya dan langkah awal ke arah menjayakan projek Iskandar Malaysia secara amnya.

Katanya, stadium dan kompleks sukan Educity@Iskandar Malaysia itu membuktikan Iskandar Malaysia bukan saja menawarkan pelajar dengan pengalaman pendidikan bertaraf antarabangsa, malah turut menyediakan kemudahan sukan kelas pertama.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Melayu, Pandak Ahmad ketika ditemui Berita Harian, berkata beliau yakin pembangunan kompleks sukan berkenaan ternyata akan dapat memberikan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa kepada masyarakat setempat.

"Ia sekali gus dapat mencungkil bakat baru dalam membantu melahirkan atlit tempatan bertaraf antarabangsa selain turut membolehkan penduduk sekitar menikmati kemudahan sukan dunia," katanya.

JDTns - Akib

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com