IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Sabtu, 8 Februari 2014

'Kita tidak boleh paksa orang lain suka JDT

JOHOR BAHRU - Presiden Kelab Penyokong Johor, Azlan Afandi Saufee Afandi menyeru penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) agar bersatu di belakang gergasi Liga Malaysia (Liga-M) itu kerana pasukan Harimau Selatan kini semakin banyak dilemparkan dengan perkara negatif.

"Kita tak boleh nak paksa orang lain untuk suka pada kita...jadi apa yang kita boleh lakukan adalah terus memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada pasukan kegemaran kita," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.

Sementara itu, Azlan Afandi menyambut keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang memberi kemenangan percuma 3-0 kepada JDT ke atas T-Team dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA dengan penuh rasa syukur dan gembira.Pada masa sama, beliau yakin FAM sudah meneliti perkara tersebut daripada pelbagai sudut sekali gus mereka (FAM) mempunyai asas yang munasabah untuk membuat keputusan sedemikian.

"Saya harap semua penyokong melupakan semua sengketa yang pernah wujud dan terus memberi sokongan kepada perlawanan yang akan datang," katanya.Jawatankuasa FAM dalam mesyuaratnya semalam membuat ketetapan tersebut berdasarkan Perkara 4.12.15b peraturan pertandingan Liga Malaysia 2013-2016 kerana kesalahan T-Team yang tidak menghabiskan baki perlawanan pada separuh masa kedua.

FAM bersedia panggil TMJ

PENGERUSI Jawatankuasa Pertandingan, Datuk Seri Afandi Hamzah (kanan) dan Hamidin Mohd. Amin menjawab soalan wartawan dalam sidang akhbar mengenai insiden pergaduhan melibatkan JDT dan T-Team, di Wisma FAM, Petaling Jaya semalam.

PETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap akan memanggil Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekiranya perlu untuk membantu siasatan atau dikenakan pertuduhan berhubung insiden di dalam terowong membabitkan pemain import T-Team, Evaldo Goncalves sewaktu perlawanan Piala FA di Johor Bahru pada Sabtu lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya tidak akan memilih bulu kepada mana-mana pihak demi mencari keadilan, dan ini termasuk terhadap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak dapat mengulas lanjut berhubung insiden di dalam terowong menuju bilik persalinan di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos itu kerana Jawatankuasa Tatatertib serta Sekretariat FAM sedang melakukan siasatan.

"FAM melalui Sekretariat dan Jawatankuasa Tatatertib akan membuat susulan dalam tempoh yang terdekat terhadap isu di dalam terowong mengikut proses setelah meneliti semua laporan yang kami dapat, jika terdapat bukti menunjukkan adanya pergaduhan dan pertelingkahan, kes ini akan dibawa untuk perbicaraan.

"Perlu saya nyatakan di sini, tiada sebarang kompromi dalam hal ini dan sekiranya FAM perlu membawa Tunku Mahkota Johor menghadiri mesyuarat tatatertib, kami akan buat.

"Saya sedia maklum laporan polis dalam hal ini telah dibuat, cuma FAM akan bertindak mengikut bidang kuasa kami dan hal lain diserahkan kepada pihak keselamatan," katanya dalam sidang akhbar di Wisma FAM semalam.

Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM semalam hanya membincangkan mengenai status keputusan perlawanan antara kedua-dua pasukan dan akan menetapkan tarikh persidangan selewat-lewatnya pada minggu hadapan jika terdapat kes dalam laporan insiden terbabit.

Pihak pengurusan T-Team mendakwa Evaldo telah ditumbuk oleh pegawai pengurusan tertinggi PBNJ ketika menuju ke bilik persalinan sementara jurulatih kecergasan, Stefano Impagliazzo ditendang di bahagian kemaluan.

Susulan kejadian itu, T-Team menerusi Ketua Pegawai Operasi, Syahrizan Mohd. Zain membuat laporan polis di Kuala Terengganu atas faktor keselamatan pemain pada 3 Februari lalu.

Perkembangan kes berkenaan bertambah menarik apabila jurulatih JDT, Cesar Ferrando Jimenez pula membuat laporan polis di Balai Polis Sentral, Johor Baharu Selatan pada hari yang sama selepas mendakwa kolar bajunya ditarik oleh Impagliazzo dan ditolak oleh salah seorang pemain T-Team.

Jumaat, 7 Februari 2014

Hindari politik dalam sukan.

Tarikh: February 7, 2014

PPerlawanan JDT menentang T-Team seharusnya menjadi iktibar.INSIDEN kekecohan yang berlaku ketika aksi pusingan kedua Piala FA 2014 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan T-Team di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin, 1 Februari lalu, wajar dijadikan iktibar.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, semua pihak perlu menghindari permainan politik dalam kancah sukan termasuk bola sepak.

Menurutnya, kejadian yang berlaku tempoh hari menunjukkan wujudnya kejadian mempolitikkan sukan bola sepak sehingga ada yang cuba menuding jari seterusnya mempersalahkan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) tanpa bukti kukuh.“Sukan bola sepak sepatutnya dijadikan landasan menyatupadukan rakyat, bukannya dicampuradukkan dengan pelbagai isu yang boleh ‘melemaskan’ peminat.“Sebagai badan induk sukan yang profesional, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seharusnya lebih terbuka dan profesional dalam menangani perkara ini," katanya, semalam.

Mengulas mengenai keputusan FAM yang berpihak kepada JDT dengan kemenangan 3-0 ke atas T-Team, beliau memberitahu keputusan itu adalah tepat."Keputusan yang tepat setelah melihat beberapa faktor dan siasatan termasuklah mengambil keterangan dua pihak," katanya.

Luahan terbuka dan berani Syafik Yahya kepada Sultan Johor

syafiqyahya

Kami baru sahaja mendapat kiriman dari rakan kami bernama Syafik Yahya, di dalam surat tersebut beliau telah meluahkan rasa hatinya terhadap pemerintahan Sultan Johor, anak muda ini meluahkan pendapatnya dan diharap semoga luahan dan pendapat ini dapat menjadi panduan dan perkongsian untuk kita bersama..

Teguran Suci Rakyat Marhaen kepada Sultan Johor

Bismillahirrahmannirrahim,

Adapun patik rakyat biasa, tiada harta berjuta ria, cukup dengan sekadar yang ada. Tidak selayaknya menasihati tuanku yang disanjung merata-rata.

Tiadalah berita yang mendukacitakan selain membaca keratan akhbar tentang enam 6 bidang tanah seluas 46.94 hektar pegangan bebas oleh vendor (tuanku) telah dijual kepada pelabur asing pada harga RM 4.5 billion.

Urusniaga tersebut menyaksikan transaksi rekod jualan lebih sekali ganda daripada urusniaga jualan tanah di Danga Bay juga kepada pelabur asing pada Disember tahun lepas iaitu pada RM 860 kaki persegi.

Penarikan pelaburan asing dari China itu bagi membangunkan segmen pasaran hartanah disamping segmen pendidikan, pelancongan dan lain-lain. Hal ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk maju seperti Singapura, begitu menurut laporan akhbar.

Bentuk pelaburan asing secara langsung begini memang mendatangkan pembangunan infrastruktur yang pantas dan rancak. Namun, sejauh manakah rakyat seperti kami mendapat limpahan daripada projek-projek pembangunan ini? Ini antara perkara yang perlu diperhalusi.
Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar

Pertama , melihatkan kepada harga tanah sekaki persegi RM860 itu, sudah pastinya unjuran harga premis-premis bangunan akan melonjak kepada sekurang-kurangnya RM1400-1500 kaki persegi.

Andai sebuah kediaman berkeluasan 22″ x 70″ iaitu anggaran biasa kediaman rumah teres setingkat seluas 1540 kaki didarab dengan harga premis RM1400 kaki persegi (sekurang-kurangnya) menjadikan nilai hartanah tersebut sekitar RM2.15 juta.

Bagaimana pula dengan kediaman semi D, banglo, pusat komersial serta premis perniagaan lain yang sudah tentunya jauh lebih mahal. Sudah pastinya harga-harga tersebut jauh dari kemampuan rata-rata rakyat biasa seperti kami.

Akhirnya, akibat ketidakmampuan pemilikan hartanah tersebut pastinya ekuiti tersebut akan jatuh ke tangan pelabur asing akibat didorong oleh kuasa beli yang tinggi, faktor permintaan yang baik serta lokasi yang strategik.

Jika perkara sebegini berterusan, maka tidak hairanlah jika lambat laun generasi warisan kita hanya akan mampu menyanyikan lagu “anak kecil main api” yang antara liriknya ..”nenek moyang kaya raya, tergadai seluruh harta benda” sebagai salah satu subjek kurikulum menaikkan semangat survival di sekolah pada masa akan datang. Pada ketika itu, segalanya sudah terlambat.

Kedua 2, kepesatan pembangunan mestilah sejajar dengan purata pendapatan rakyat dan pembangunan modal insan. Andai ia tidak sejajar, dibimbangi rakyat marhaen akan ibarat merempat di bumi sendiri. Tinggal di sekitar bangunan pencakar langit dan premis-premis mewah. Namun hakikatnya seperti di drama-drama melayu yang sembang projek berjuta, anak orang kaya tapi hakikatnya tidaklah seperti yang disangka.

Pembangunan modal insan meliputi aspek pendidikan yang baik, ilmu kemahiran termasuklah pengetahuan asas perniagaan dan perdagangan haruslah dibangunkan seiring dengan pembangunan infra. Patik percaya di bawah pentadbiran ke bawah Duli Tuanku, Johor akan membangun sebagai sebuah kerajaan yang maju malah setanding dengan Singapura satu hari nanti insyaa Allah.

Ketiga 3, patik sebagai rakyat lebih gembira Khazanah Nasional mahupun Johor Corp sebagai peneraju dalam kesemua pelaburan hartanah di Iskandar Malaysia. Itu lebih mengembirakan berbanding melihat pelabur asing menguasai dan mendominasi Iskandar Malaysia satu persatu. Biarlah pembangunan itu sedikit perlahan berbekalkan modal sedia ada juga suntikan dana dari kerajaan negeri dan pusat tapi bukan dengan menjual bidang-bidang tanah secara langsung kepada pelabur asing.

Sebagai rakyat yang menjunjung kasih tuanku, patik gembira andai Johor boleh kembali gah sebagai tempat perdagangan maju dan masyhur seperti yang diceritakan dalam buku sejarah di sekolah suatu ketika dahulu.

Semoga Allah kurniakan kesihatan kepada tuanku untuk terus mentadbir Johor dengan adil, saksama dan penuh hikmah untuk manfaat sekian rakyat jelata. Maafkan patik andai ada kata-kata yang ‘beraja di mata, bersultan di hati’ yang mungkin mengguris.

Patik mungkin tidak dapat menyampaikan surat dari hati ini kepada tuanku tapi sekadar mampu berkongsi di ruangan maya agar ada insan-insan yang boleh panjangkan kepada tuanku. Patik yang menjunjung kasih.

Keratan akhbar: 6 bidang tanah seluas 46.94 hektar pegangan bebas oleh vendor Sultan Johor telah dijual kepada pelabur asing pada harga RM 4.5 billion.

Rakyat Marhaen,

Syafik Yahya

P/S: Tahniah kami ucapkan, kerana kelantangan anda untuk bersuara walaupun hanya di alam maya, tetapi pada hemat kami ramai dikalangan rakyat Malaysia khususnya orang Johor merasai perkara yang sama, cuma takut untuk meluahkan pendapat, diharap dengan perkongsian anda ini, dapat membuka mata pihak-pihak tertentu untuk mengambil berat tentang hal ini, biarlah kita berjuang pada hari ini agar generasi akan datang tidak menyalahkan kita, tidak menuding jari atas kesilapan yang telah kita lakukan hari ini.. Pamerkan hak kita sebagai rakyat untuk bersuara.

Sumber : http://suarainsan.net/luahan-terbuka-dan-berani-syafik-yahya-kepada-sultan-johor/

Rabu, 5 Februari 2014

Siapa serang siapa?

Cesar Ferrando Jiminez (kanan), bersama peguam Baljit Sigh Sidhu (tengah) dan Fahmy Yahya menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Johor Bahru Selatan, semalam.

JOHOR BAHRU - Selepas pasukan T-Team mendakwa pemain mereka ditumbuk dan membuat laporan polis di Kuala Terengganu kelmarin, semalam Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) pula tampil membuat laporan polis berhubung insiden pergaduhan yang berlaku semasa perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini, Sabtu lalu.

Laporan tersebut dibuat oleh Ketua Jurulatih, Cesar Ferrando Jiminez yang juga Pengurus Pasukan JDT di Balai Polis Sentral, di sini pukul 2 petang dengan diiringi oleh Naib Presiden PBNJ, Onn Jabar; Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd. Fahmy Yahya dan peguam, Datuk Baljit Singh Sidhu.Menurut Baljit, laporan berkenaan dibuat bagi menjelaskan perkara sebenar yang berlaku termasuk insiden di terowong ekoran terlalu banyak tohmahan selain perkara sebenar diputarbelitkan oleh pihak T-Team sedangkan yang menjadi mangsa dalam kejadian itu adalah Jiminez."Terlalu banyak tohmahan tentang insiden itu, fakta juga tidak diberi dengan jelas dan disebabkan itu, dia (Jiminez) tampil buat laporan bahawa dia yang diserang oleh jurulatih kecergasan T-Team dan pemain yang memakai jersi nombor 16 pasukan tersebut."Dalam insiden itu, kolar baju dia telah ditarik oleh jurulatih kecergasan T-Team...itu sebenarnya yang berlaku.

Dia (Jiminez) diserang termasuk dengan kata-kata kesat dan selain itu tiada apa yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan berkenaan.Kelmarin, polis Terengganu menerima empat laporan daripada pasukan bola sepak T-Team berhubung kekecohan itu yang dibuat pihak pengurusan, dua pemain import serta jurulatih kecergasan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.Ketua Pegawai Operasi T-Team, Syahrizan Mohd. Zain yang membuat laporan tersebut mendakwa pemain T-Team, Elvaldo Rodriguez telah ditumbuk di muka oleh pegawai tertinggi PBNJ, manakala jurulatih kecergasan pasukan, Stefano Impagliazzo disepak di bahagian kemaluan.Baljit berkata, PBNJ akan menyiasat secara terperinci perkara tersebut termasuk mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat fitnah atau tohmahan tidak berasas dan pada masa sama akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).Katanya,

laporan itu disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut, namun enggan mengulas lanjut.

Pelarasan tarif insurans diluluskan BNM

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Bank Negara Malaysia (BNM) telah meluluskan pelarasan kadar baharu tarif insurans kenderaan untuk tahun ini, dengan anggaran peningkatan sekitar RM2 hingga RM23.

Tarif baharu itu akan berkuat kuasa pada 15 Februari ini, ke atas setiap kenderaan baharu yang dibeli atau insurans yang diperbaharui semula.

Kelulusan itu antara lain membabitkan pelarasan tarif asas bagi perlindungan komprehensif dan perlindungan pihak ketiga untuk kenderaan persendirian dan motosikal.

Pelarasan itu merupakan kali ketiga sejak 2012, selepas BNM membenarkan peningkatan premium setiap tahun antara 2012 hingga 2015.

Difahamkan, BNM telah pun menghantar notis pelarasan itu kepada Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) minggu lalu.

Di dalam notis tersebut, PIAM perlu memastikan ahli-ahlinya yang terdiri daripada lebih 30 pemain industri insurans mengikut kadar premium terbaharu itu bagi memastikan pengguna tidak keliru dengan pelarasan tersebut.

Pada 2011, BNM telah meluluskan pelarasan kadar premium insurans itu sebagai sebahagian daripada Rangka Kerja Perlindungan Motor Baharu.

Menurut bank pusat itu, pelarasan tersebut merupakan kali pertama sejak 30 tahun lalu dan membabitkan jumlah yang kecil serta dilakukan secara berperingkat dalam tempoh empat tahun bermula 2012.

Institut Automotif Malaysia (MAI) sebelum ini meramalkan jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) kenderaan baharu tahun ini bakal mencapai 670,000 unit.

Perkembangan ini dilihat memberi manfaat kepada syarikat insurans am yang kini boleh meraih kutipan premium yang lebih tinggi.

Selasa, 4 Februari 2014

Gaduh: PBNJ buat laporan polis

JOHOR BAHRU 4 Feb. - Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) hari ini membuat laporan polis tentang insiden pergaduhan semasa perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini, Sabtu lalu.

Laporan tersebut dibuat oleh Ketua Jurulatih, Cesar Ferrandi Jiminez yang juga Pengurus Pasukan JDT di Balai Polis Sentral di sini.

Jurulatih JDT pula dakwa jadi mangsa

Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), César Ferrando Jiménez hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan kejadian di dalam terowong masuk ke bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, Sabtu lepas.

Menurut peguamnya Datuk Baljit Singh Siddhu, dalam laporan itu Ferrando menyatakan bahawa beliau merupakan mangsa dalam kejadian itu.

"Jiménez berkata beliau adalah mangsa dalam kejadian itu tetapi T-Team telah memutar belit fakta," katanya kepada pemberita di Balai Polis Sentral Johor Baharu Selatan di sini hari ini.

Menurut Baljit, Ferrando menyatakan bahawa instruktur kecergasan T-Team telah bertindak menarik kolar bajunya, manakala pemain T-Team berjersi nombor 16 menolaknya.

"Kita akan lihat perkara ini secara terperinci dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana fitnah atau tohmahan mengenai perkara tersebut," katanya.

Setiausaha Kehormat JDT, Mohd. Fahmy Yahya turur hadir di balai polis tetapi pihak media yang turut berada di situ tidak diberikan salinan laporan polis tersebut.

Perlawanan antara JDT dan T-Team di Stadium Larkin itu ditangguhkan selepas separuh masa pertama apabila T-Team yang ketinggalan 1-2 tidak mahu meneruskan permainan atas alasan keselamatan.

Semalam pemain T-Team, pihak pengurusaan dan jurulatih kecergasannya membuat empat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu berhubung insiden itu.

Pemain dan jurulatih kecergasan T-Team yang didakwa terlibat ialah pemain import dari Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih Stefano Impagliazzo. - BERNAMA

PBNJ sedia beri kerjasama

JOHOR BAHRU - Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sedia memberi kerjasama kepada pihak polis berhubung siasatan insiden pergaduhan sehingga menyebabkan perlawanan Piala FA antara Johor Darul Ta'azim (JDT) dan T-Team di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Sabtu lalu ditangguhkan.

PBNJ dalam kenyataan ringkas satu perenggan memberitahu, pihaknya dimaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat oleh pihak T-Team mengenai insiden tersebut.

Aksi separuh masa kedua perlawanan itu terpaksa ditangguhkan apabila semua pemain T-Team enggan meneruskan perlawanan kerana mendakwa seorang pemainnya dikasari pihak pengurusan tertinggi pasukan JDT semasa di terowong menuju ke bilik persalinan sejurus tamat masa pertama.

Kejadian itu bermula ekoran pertelingkahan antara Jurulatih Kecergasan T-Team, Stefano Impagiazzo dengan Ketua Jurulatih JDT, Cesar Fernando Jimenez yang kemudian mendapat campur tangan pemain serta pihak pengurusan pasukan.

Sementara itu, dalam kenyataan lain PBNJ memaklumkan pihaknya akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di dalam terowong dan bilik persalinan bagi tujuan pemantauan.

"Diharapkan juga persatuan-persatuan bola sepak yang lain yang tiada CCTV di terowong stadium masing-masing dapat mengambil langkah yang sama untuk kemajuan bola sepak negara khususnya," menurut kenyataan itu.

Dalam satu lagi kenyataan, PBNJ turut menasihatkan penyokong JDT agar bertenang.

"...tidak ada apa yang perlu dirisaukan, bersangka baik dengan benda yang kita tak pasti, sematkan di dalam diri anda bola sepak untuk perpaduan bukan untuk medan perbalahan," ujar kenyataan di dalam laman sosial itu.

Nasib JDT jadi mangsa konspirasi!

Nasib JDT jadi mangsa konspirasi

    JDTPasukan JDT gagal meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir kempen Piala Malaysia, musim ini.

ZAMAN kegemilangan sukan bola sepak tanah air pernah menyaksikan Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik Munich 1972 dan Sukan Olimpik Moscow 1980.

Begitu hebat Malaysia pada waktu itu hinggakan pasukan bola sepak berstatus seperti dunia Jepun dan Korea Selatan turut menggeruni pasukan ini di era tersebut.

Namun kemegahan itu tidak lama kerana selepas tiga abad berlalu, secara perlahan-lahan Jepun dan Korea Selatan meninggalkan Malaysia jauh ke belakang daripada segi kualiti, mutu dan gaya permainan.

Situasi itu kerana dua negara terbabit telah mengorak langkah menerapkan corak permainan moden dan profesional dalam liga masing-masing. Liga Jepun dan Korea Selatan berubah daripada budaya permainan yang semata-mata bergantung kepada aspek fizikal pemain kepada permainan penuh taktikal serta strategi.

Budaya Liga Malaysia pula kekal di takuk lama dengan mengamalkan budaya permainan kasar, bola melambung-lambung, menghantar terus bola bahagian atas untuk direbut beramai-ramai oleh pemain dengan harapan nasib menyebelahi.

Cukup menggelikan hati apabila pendokong bola sepak Malaysia yang mendakwa diri mereka pakar sukan bola sepak menyifatkan corak permainan `kuno' itu sebagai kelas dan hebat. Natijahnya, pasukan-pasukan bola sepak di Malaysia seronok sendiri dalam liganya sendiri hingga tahun 2012 tanpa dunia mempedulikan.

Kemunculan JDT

Selepas bertahun-tahun BUDAYA permainan hambar diamalkan dalam liga Malaysia, tiba-tiba liga ini kembali mendapat perhatian antarabangsa gara-gara kemunculan JDT hasil penjenamaan semula dilakukan Tengku Mahkota Johor ke atas pasukan itu sejak tahun lalu.

Pasukan bola sepak selatan tanah air dengan jolokan Harimau Selatan itu dilihat serius mahu membawa pembaharuan dalam liga Malaysia bagi mempertingkatkan martabat kekampungan liga Malaysia kepada martabat profesional dan moden.

Pelaburan jutaan ringit dibuat sejak tahun lalu untuk memastikan hasrat itu tercapai dengan mengubah infrastruktur Stadium Larkin supaya menjadi stadium pertama di Malaysia mencapai standard Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

JDT turut menjadi pasukan pertama di Malaysia berjaya menarik pemain profesional bertaraf antarabangsa iaitu Pablo Aimar (kiri) dan Luciano Figueroa Pablo Aimar selain mengumpulkan pemain-pemain ternama tanah air dibawah satu bumbung pada musim ini.

Pengurusan JDT yang diketuai Tengku Mahkota Johor pastinya berhasrat kemahiran dan corak permainan profesional Aimar dan Figueroa kelak mempengaruhi corak permainan pemain tempatan apabila mereka bermain bersama-sama dalam sebuah pasukan.

Bagaimanapun, akibat gara-gara tidak mendapat sokongan badan berkepentingan dalam industri sukan bola sepak tanah air iaitu FAM dan pihak media, pasukan JDT berhadapan laluan sukar merealisasikan hasrat murni tersebut.

Cukup ketara FAM bersikap dingin ke atas pasukan JDT dan sering membuat keputusan tidak menyebelahi pasukan itu dengan insiden paling ketara pada perlawanan di Pahang tahun lalu yang menyaksikan penyokong JDT dicederakan dengan batu tetapi Persatuan Bola Sepak Negeri Johor 2012 (PBNJ) pula dipersalahkan dan didenda.

Lebih teruk pada musim ini, FAM dengan jelas enggan memastikan mutu pengadilan yang baik dan adil dalam setiap perlawanan membabitkan JDT - seolah-olah memberi `license' atau `green light' kepada setiap pasukan lawan untuk mengasari dan mencederakan pemain JDT.

Keputusan berat sebelah dan tidak profesional pengadil menyukarkan pemain JDT mempamerkan permainan gaya profesional dan moden sepanjang 90 minit perlawanan sedangkan corak permainan profesional mendambakan mutu pengadilan yang profesional.

Malah, pemain profesional dunia seperti Aimar turut mempersoalkan perkara itu hingga mendapat liputan meluas media luar negara - berdasarkan peraturan Fifa pengadil dikehendaki melindungi pemain bertaraf bintang kerana mereka golongan berisiko dianiaya atau dicederakan di atas padang. Itu tidak berlaku dalam liga Malaysia.

Semalam sekali lagi menyaksikan pasukan JDT dianiaya apabila pasukan lawan dengan sengaja enggan meneruskan perlawanan di Stadium Larkin selepas menyedari penguasaan penuh JDT dalam perlawanan terbabit sewaktu JDT mendahului mereka 2-1.

Dakwa pasukan lawan, berlaku pertelingkahan antara jurulatih dan mereka enggan meneruskan permainan disebabkan hal itu - cukup remeh alasan tersebut kerana pertelingkahan mulut antara jurulatih mahupun pemain sewaktu perlawanan lumrah dalam permainan bola sepak di seluruh dunia.

Berdasarkan peraturan Fifa, JDT perlu mendapat KEMENANGAN PERCUMA memandangkan pasukan lawan menarik diri semasa permainan berlangsung.

Malangnya, Komissioner Perlawanan, Zainal Mukri dengan bersahaja memaklumkan bahawa perlawanan itu cuma ditangguhkan. Jelas FAM mahu membantu mengelakkan pasukan lawan tumpas kepada JDT malam semalam.

Desas-desus mula tersebar tentang teori konspirasi untuk memastikan JDT kecundang teruk pada persaingan tahun ini bagi mengaibkan usaha TMJ berikutan bimbang dengan pemilihan pucuk kepimpinan FAM pada tahun ini.

Sudah tiba masa Menteri Belia dan Sukan memantau dan menangani perkembangan negatif ini kerana usaha JDT mewujudkan budaya permainan bertaraf antarabangsa dan moden di Malaysia pasti terhalang sekiranya isu iri hati dan hasad dengki ini tidak diatasi segera.

Penulis difahamkan kebanyakan wartawan sukan di Malaysia pula amat fanatik terhadap pasukan negeri masing-masing dan terlalu bimbang kemunculan JDT menggugat peluang pasukan kesayangan mereka menguasai Liga Malaysia.

Sikap tidak profesional wartawan sukan Malaysia terbukti melalui beberapa insiden berlebihan seperti kenyataan-kenyataan berbaur provokasi yang sering dilemparkan oleh pengulas sukan bagi memburuk-burukkan kredibiliti TMJ dan pasukan itu.

Begitu juga dengan kenyataan-kenyataan peribadi ramai wartawan sukan melalui akaun Facebook mereka yang terus menerus memperlekehkan dan mempertikaikan TMJ dan sebarang perkara yang membabitkan pasukan itu.

Laporan akhbar pula memutar belit kenyataan pengurusan JDT dan menyiarkan artikel bagi niat memberi imej buruk kepada pasukan itu.

Kini semua pihak menunggu keputusan FAM berhubung tindakan pasukan lawan JDT menarik diri semasa perlawanan sedang berlangsung di Stadium Larkin semalam.

Namun, penulis yakin keputusan itu nanti sekali lagi tidak menyebelahi JDT - Nasib JDT kerana jadi mangsa konspirasi dan iri hati.

Ahmad Albab
NOTA: Artikel ini pandangan peribadi penulis daripada Melaka. - Kredit: Abangwan OK

TMJ beri keterangan insiden Larkin

Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim Ismail memberi keterangan berhubung insiden kekecohan di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin Sabtu lalu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Laman Facebook JDTFC hari ini mengeluarkan gambar Ismail yang juga Tengku Mahkota Johor (TMJ) keluar dari kenderaan di hadapan pejabat PBNJ.

Dimuatkan juga keterangan bertulis: "TMJ hadir di Pejabat PBNJ untuk beri keterangan kepada pihak FAM."

Ia dipercayai berkaitan insiden pergaduhan pada perlawanan Piala FA antara kedua pasukan antara Johor Darul Takzim (JDT) dan T-Team pada Sabtu.

Dalam pertemuan itu, T-Team enggan meneruskan perlawanan pada babak kedua selepas mendakwa pemain importnya Evaldo Rodrigues Goncalves Cardoso dan Fabio Flor serta jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo dikasari pengurusan tertinggi JDT.

Insiden itu didakwa berlaku ketika mereka menuju ke bilik persalinan selepas tamat separuh masa pertama.

Insiden Larkin: T-Team buat 4 laporan polis

12:33PM Feb 4 2014

Polis Terengganu menerima empat laporan daripada pasukan bola sepak T-Team berhubung insiden kekecohan perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor, Sabtu lepas.

Ketua Polis Negeri Datuk Jamshah Mustapa berkata pihak pengurusan, dua pemain import serta jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu antara pukul 9 malam dan 12.30 tengah malam tadi.

"Kami akan menyiasat dan akan memanggil serta merakamkan percakapan saksi-saksi yang berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Terengganu Isnin.

Pada pertemuan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT), T-Team enggan meneruskan perlawanan pada babak kedua selepas mendakwa pemain importnya Evaldo Rodrigues dan Fabio Flor serta Impagliazzo dikasari oleh pengurusan tertinggi JDT ketika menuju ke bilik persalinan selepas tamat separuh masa.

T-Team, yang ketinggalan 2-1 pada separuh masa, mendakwa mereka tidak dapat meneruskan perlawanan atas faktor keselamatan.

- Bernama

Isnin, 3 Februari 2014

‘Aksi kampung’: PBSNT

Kuala Terengganu: “Seperti bola sepak kampung,” itu luahan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid yang kesal dan tidak berpuas hati berhubung insiden yang menimpa penyerang import T-Team, Evaldo Rodrigues yang didakwa ditumbuk pengurusan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) manakala jurulatih kecergasan, Stefano Impagiazzo dikasari pegawai keselamatan pada perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam kelmarin.

Wan Ahmad Nizam berkata, beliau meminta siasatan terperinci dijalankan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengetahui siapa yang bersalah dalam insiden itu selain menjaga maruah bola sepak tanah air.

“Saya akui insiden menimpa pemain T-Team yang ditumbuk hingga hidung berdarah dan dikasari amat mendukacitakan serta memalukan kerana sepatutnya perkara sebegini tidak berlaku dalam era bola sepak profesional, tapi apa yang berlaku sebaliknya.

“Saya akan minta Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Ab Rasid Jusoh membuat laporan polis supaya insiden itu tidak akan berulang sambil menyerahkan kebijaksanaan badan induk bola sepak negara membuat keputusan berhubung isu itu,” katanya.
Foto

PEMAIN Johor DT terpaksa menunggu di tepi padang apabila pasukan T-Team enggan meneruskan perlawanan, kelmarin.

Sementara itu, pengurusan T-Team sudah menghantar laporan penuh kepada FAM berhubung insiden perlawanan itu yang membabitkan pemainnya dengan Johor DT.

FAM ambil tindakan tegas

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi jaminan akan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pemain dan pegawai yang terbabit dalam insiden kekecohan aksi Piala FA antara Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan T-Team kelmarin.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, walaupun kes itu dianggap berprofil tinggi namun mereka tetap akan menjalankan prosedur siasatan yang sama membabitkan kedua-dua pasukan sebaik menerima laporan perlawanan hari ini.

“Saya akan menerima laporan daripada Komisioner Perlawanan, Pengadil, Koordinator Perlawanan dan kedua-dua pasukan esok (hari ini). Saya sudah berbincang dengan Datuk Afandi (Hamzah) untuk mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Khamis ini bagi membincangkan isu ini.

“Jika ada bukti pegawai dan pemain melanggar peraturan tatatertib pertandingan, kita akan bawa mereka menghadap Jawatankuasa Tatatertib bagi tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Perlawanan di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin kelmarin terpaksa ditangguh selepas pasukan pelawat T-Team bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah enggan meneruskan perlawanan apabila mendakwa ada pemain dan pegawai mereka dipukul dalam insiden kekecohan di terowong ketika menuju ke bilik persalinan pada rehat babak pertama.

Ahad, 2 Februari 2014

Terengganu mahu FAM siasat insiden Piala FA

Tarikh: February 2, 2014

TERENGGANU menyerahkan kepada pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menyiasat insiden perlawanan pusingan kedua antara T-Team dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Johor Baharu semalam.
  
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata FAM perlu menjalankan siasatan terperinci berhubung punca pasukan T-Team enggan meneruskan perlawanan pada babak kedua.
  
"Sememangnya saya amat kesal dengan kejadian yang menimpa pasukan berstatus kelab ini sehinggakan pemain serta jurulatih kecergasan kami pun kena dipukul di tempat lawan," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Terengganu hari ini.
  
Wan Ahmad Nizam meminta FAM menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden itu dengan segera.
  
Dalam laporan akhbar hari ini, perlawanan T-Team menentang JDT di Stadium Larkin malam tadi tidak diteruskan pada separuh masa kedua apabila T-Team dikatakan menarik diri.

Tindakan itu dipercayai akibat pemain import kelahiran Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo dikasari oleh pengurusan tertinggi JDT ketika menuju ke bilik persalinan selepas tamat separuh masa pertama.
  
Pada masa itu, JDT mendahului 2-1 pada separuh masa.
  
Dalam pada itu, Wan Ahmad Nizam berkata beliau telah mengarahkan pemain serta pengurusan T-Team untuk membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.
  
Beliau berkata, pihaknya juga memohon bahagian pengurusan tertinggi T-Team mengemukakan laporan penuh berhubung kejadian itu serta mengarahkan mangsa membuat pemeriksaan kesihatan.

Sementara itu ketua jurulatih T-Team, Mohd Azraai Khor Abdullah menggesa FAM supaya memindahkan perlawanan ulangan itu ke gelanggang berkecuali bagi mengelakkan insiden yang sama berulang.
   
Beliau yang kesal dengan insiden bagaimanapun enggan mengulas lanjut bagi mengelakkan ia menjadi lebih keruh dan menyerahkan sepenuhnya kepada FAM untuk menyiasat mengenai insiden di Larkin itu.
   
"Saya juga perlu melihat dahulu kecederaan para pemain dan pegawai pasukan (T-Team) sebelum dapat membuat ulasan lanjut, namun adalah lebih elok sekiranya FAM sendiri yang menyiasat mengenai insiden itu," katanya.
   
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya dijangka menerima laporan perlawanan itu selewat-lewatnya esok daripada komisioner perlawanan, Zainal Mukri sebelum dapat mengambil tindakan selanjutnya.   
   
Hamidin berkata, beliau dan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah akan mengadakan mesyuarat khas, Khamis ini, bagi membincangkan insiden berkenaan.
 
"Kita akan turut memanggil komisioner dan pengadil perlawanan (Lismotia Mohem Mohd Tisan‎) dalam mesyuarat berkenaan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas.
   
"Jadi, saya harap para media dapat bersabar sebelum keputusan muktamad diumumkan oleh FAM pada Khamis ini," kata Hamidin yang turut kesal dengan insiden tersebut.- Bernama

Terjumpa Kamera Intip Dalam Jamban Hospital

February 1, 2014

Kuantan: Tindakan tidak bertanggungjawab pihak yang meletakkan tiga kamera tersembunyi berbentuk penyangkut baju dan kotak hitam berukuran kira-kira 10 sentimeter di tandas kakitangan wanita Hospital Bentong, baru-baru ini, berkemungkinan didalangi orang dalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, tandas berkenaan yang berada di bahagian unit rawatan kecemasan hanya boleh digunakan oleh kakitangan hospital saja malah orang awam tidak dibenarkan sama sekali memasukinya bagi mengelak kesesakan atau mengganggu privasi doktor atau jururawat yang bertugas.

Katanya, perbuatan meletakkan kamera di bawah sinki dan berbentuk penyangkut baju disedari apabila seorang kakitangan wanita hospital ternampak cahaya merah seolah-olah sedang merakam gambar.

“Kita tidak menolak ada pembabitan daripada orang dalam berikutan tandas itu hanya boleh digunakan oleh kakitangan wanita saja manakala orang awam tidak dibenarkan.

“Kami menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan terperinci dan sekiranya didapati ada kakitangan hospital berkenaan terbabit, pihak kami akan mengambil tindakan tegas,” katanya, ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebelum ini, seorang kakitangan hospital berkenaan menjumpai tiga kamera tersembunyi berbentuk penyangkut baju dan kotak hitam berukuran kira-kira 10 Sentimeter di tandas kakitangan wanita sekali gus mengundang pelbagai persoalan masyarakat seterusnya menjadi perbualan hangat di laman sosial.

Antara pihak yang menyebarkan perkara itu adalah badan pemantau jenayah, MyWatch, menerusi twitternya turut berkongsi gambar yang dimuat naik seorang individu dipercayai kakitangan hospital itu menerusi akaun Facebooknya

Aksi JDT dan T-TEAM Panas

Komissioner perlawanan, Zainal Mukri mengadakan sidang akhbar berhubung penangguhan perlawanan antara JDT dan T-Team di yang hanya berlangsung selama 45 minit, malam tadi.

JOHOR BAHRU - Aksi pusingan kedua Piala FA antara Pasukan Johor Darul Ta‘zim (JDT) menentang T-Team di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin terpaksa ditangguhkan gara-gara keseluruhan pasukan T-Team membuat keputusan tidak mahu turun ke padang bagi memulakan separuh masa kedua perlawanan.

Tindakan pasukan pelawat bertindak demikian ekoran berlaku pertelingkahan di antara jurulatih kecergasan T-Team dengan pengendali pasukan JDT, Cesar Fernando Jimenez yang mendapat campur tangan pemain serta pihak pengurusan pasukan selepas tamat separuh masa pertama ketika mahu memasuki bilik persalinan.

Ketika permainan tamat di babak pertama, JDT mendahului T-Team dengan jaringan 2-1 melalui Luciano Figueora pada minit ke-16 dan 21 manakala gol tunggal T-Team dijaringkan Mohd. Marzuki Yusof.
Pemain JDT, Pablo Aimar (kiri) dan Luciano Figueroa duduk di tengah padang selepas pasukan T-Team enggan meneruskan permainan separuh masa kedua dalam aksi Piala FA di Larkin, Johor Bahru malam tadi.

Menurut Komissioner Perlawanan, Zainal Mukri, pihaknya belum mendapat laporan rasmi secara bersurat daripada pasukan T-Team apakah punca kejadian berkenaan dan terpaksa membuat keputusan menangguhkan perlawanan selepas menunggu lebih daripada setengah jam

“Kami akan menghantar laporan rasmi perlawanan kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT FAM) dan mereka akan memutuskan sama ada perlawanan akan diteruskan dengan jumlah jaringan setakat ini," katanya ketika ditemui selepas perlawanan dibatalkan, semalam.

Seawal minit pertama, JDT bertali arus menyerang pasukan pelawat dan akhirnya berjaya membolosi gawang pihak lawan pada minit ke-16 melalui jaringan pemain dari Argentina, Figueroa yang menguis masuk sepakan percuma rakan senegara, Pablo Aimar.

Berselang lima minit, Figueroa yang merupakan bekas pemain kelab Greece, Panathinaikos menggandakan kelebihan buat Harimau Selatan setelah menanduk masuk hantaran menarik Aimar pada minit ke-21.

T-Team dihadiahkan sepakan percuma setelah Evaldo Rodrigues dikasari ketua pasukan JDT, Baihakki Khaizan pada minit ke-27 dan mereka berjaya merapatkan kedudukan melalui rembatan jarak jauh ketua pasukan T-Team, Mohd. Marzuki Yusof.

LEMAS DI TANJUNG BALAU DESARU

Mayat mangsa lemas dibawa ke Hospital Kota Tinggi, Johor untuk dibedah siasat kelmarin.

KOTA TINGGI 1 Feb. - Percutian sebuah keluarga di pantai Tanjung Balau, Desaru dekat sini, sempena cuti perayaan, menjadi detik hitam buat mereka apabila dua daripadanya lemas ketika mandi-manda di pusat peranginan itu, semalam.

Mangsa yang terbunuh ialah J. Krisna Kumar, 31, dari Jalan Permas Jaya, Masai dan adik iparnya, R. Ghanapathy, 32, dari Taman Ungku Tun Aminah, Skudai.

Dalam kejadian pukul 6.15 petang itu, seorang anak saudara mereka, B. Suren, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selesa Jaya 2, Skudai bagaimanapun sempat diselamatkan orang ramai.

Suren ditemui terdampar di kawasan berbatu sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan. Seorang lagi yang turut mandi bersama mereka bagaimanapun terselamat.

Kesemua mereka datang ke pantai itu bersama 15 ahli keluarga yang lain tetapi hanya empat orang sahaja yang mandi sebelum dihanyutkan ombak besar.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Rahmat Othman memberitahu, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 6.25 petang dan melancarkan operasi mencari dan menyelamat dengan turut dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Kedua-dua mangsa yang hilang akibat dipukul ombak besar ditemui terdampar di pantai tidak jauh dari lokasi mereka mandi pada pukul 7.30 malam. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk disemadikan.

“Kawasan berkenaan menjadi lokasi bahaya kepada mereka yang mandi-manda dan pihak berkuasa sebelum ini telah memasang bendera amaran, namun ramai yang tidak mengendahkan arahan tersebut," katanya ketika dihubungi.

Justeru, Rahmat menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar mengambil langkah keselamatan terhadap anak-anak apabila melakukan aktiviti di kawasan perkelahan yang berisiko terutamanya pada musim angin dan ombak besar.

Kelmarin, seorang remaja Orang Asli, Sham Salem, 14, yang bekerja di ladang tembikai berhampiran pusat peranginan itu mati lemas ketika datang ke situ bersama enam rakannya untuk mencari pucuk pokok nipah untuk dibuat pembalut rokok.

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com