IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Sabtu, 15 Disember 2012

Tiga padang bola sepak sintetik akan dibina di Johor


KOTA ISKANDAR: Tiga padang bola sepak sintetik (rumput tiruan) bernilai RM4.4 juta akan dibina di Muar, Kluang dan Kota Tinggi pada tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Md Jais Sarday, berkata kos padang yang bernilai RM1.5 juta setiap satu itu merupakan peruntukan yang diterima daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. "Kita berharap pembinaan padang bola sepak berkenaan akan dapat meningkatkan mutu sukan bola sepak selaras dengan perkembangan terkini sukan itu.

"Pada masa ini, kita sedang merancang untuk menaik taraf dan membangunkan Stadium Larkin secara bersepadu yang dilengkapi dengan gelanggang sukan, kawasan kediaman, pusat perniagaan, taman rekreasi, hotel dan taman tema bercirikan sukan mini.

"Selain itu, Perbadanan Stadium Johor juga merancang untuk menaik taraf Kompleks Sukan Kluang dan Stadium Hoki Johor Bahru di Taman Daya dengan penambahan kelengkapan yang moden bagi persediaan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2018 dan Kejohanan Hoki Dunia 2018," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) kali Ke-12 di sini semalam.

Jais berkata Kerajaan Negeri juga bersetuju menubuhkan anak syarikat bagi menjana pendapatan untuk menampung kos penyelenggaraan prasarana sukan, selain mengenakan kadar sewa bagi prasarana berkenaan pada harga yang paling minimum.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri juga akan melancarkan hala tuju sukan negeri untuk tempoh 15 tahun akan datang melalui perancangan melahirkan atlet sukan cemerlang dan menjadikan Johor destinasi sukan antarabangsa.

"Bagi merealisasikan hasrat itu, kita mensyaratkan sebahagian kawasan perumahan menyediakan prasarana sukan asas mengikut keperluan semasa. Ia bukan sahaja bagi memenuhi keperluan atlet malah membantu melahirkan masyarakat berbudaya sukan serta mengamalkan gaya hidup sihat,"katanya.

JDTns - Medcom

Kompleks Sukan RM95 juta Dibina Di Nusajaya


MODEL kompleks sukan dan stadium yang sedang dibina.


Kompleks sukan sedia padang bola sepak ikut piawaian IAAF

NUSAJAYA: Lebih 50,000 penduduk sekitar Gelang Patah, tidak menyangka sebahagian tapak bekas ladang kelapa sawit seluas 8.6 hektar berhampiran jalan masuk ke Kampung Sungai Melayu di sini, akan dibangunkan stadium dan kompleks sukan bernilai RM95 juta.

Tapak berkenaan yang luas keseluruhannya kira-kira 120 hektar yang kini dikenali sebagai Educity@Iskandar adalah nadi penting pembangunan Medini Iskandar Malaysia yang dibangunkan Iskandar Investment Bhd (IIB), selain Taman Tema Legoland, Kota Iskandar dan Universiti Perubatan Newcastle Malaysia (NUMed).

Majlis pecah tanah kompleks berkenaan dilakukan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran Khamis lalu, dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2011.

Kompleks sukan yang mempunyai 14,000 tempat duduk itu merangkumi kemudahan padang bola sepak yang juga boleh digunakan untuk perlawanan ragbi, balapan 400 meter mengikut standard piawaian Persekutuan Persatuan Atlit Antarabangsa (IAAF) serta kolam renang bersaiz olimpik mengikut standard Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA).

Kemudahan sukan itu turut dilengkapi gelanggang pelbagai guna dalam bangunan, masing-masing tiga gelanggang skuasy dan tenis, futsal dan bola tampar.

MUHYIDDIN meletakkan obor bagi menyempurnakan kompleks sukan dan stadium.

Kompleks berkenaan yang dihubungkan dengan sebuah plaza berbumbung akan turut menjadi tempat untuk pelbagai penganjuran sukan serta kegiatan masyarakat dalam Iskandar Malaysia.

Dengan reka bentuk seperti cengkerang kepah, kemudahan itu akan menjadi mercu tanda di Medini Malaysia kerana ia jelas dapat dilihat melalui Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

Apabila siap kelak, ia bukan saja menjadi prasarana sukan dan rekreasi bagi pelajar di Educity@Iskandar sebagai hab pendidikan di Asia, malah menjadi kemudahan masyarakat setempat.

Muhyiddin dalam ucapan pada majlis pecah tanah berkenaan berharap kompleks sukan itu menjadi titik tolak kepada penanda aras baru di dalam penyediaan kemudahan pembelajaran holistik yang setanding di peringkat global secara khususnya dan langkah awal ke arah menjayakan projek Iskandar Malaysia secara amnya.

Katanya, stadium dan kompleks sukan Educity@Iskandar Malaysia itu membuktikan Iskandar Malaysia bukan saja menawarkan pelajar dengan pengalaman pendidikan bertaraf antarabangsa, malah turut menyediakan kemudahan sukan kelas pertama.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Melayu, Pandak Ahmad ketika ditemui Berita Harian, berkata beliau yakin pembangunan kompleks sukan berkenaan ternyata akan dapat memberikan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa kepada masyarakat setempat.

"Ia sekali gus dapat mencungkil bakat baru dalam membantu melahirkan atlit tempatan bertaraf antarabangsa selain turut membolehkan penduduk sekitar menikmati kemudahan sukan dunia," katanya.

JDTns - Akib

Majlis sambutan pemain Malaysia ke pasukan Johor


PENGUMUMAN

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor, Tunku Mahkota Johor, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menjemput peminat setia Johor untuk menghadiri Majlis sambutan pemain Malaysia ke pasukan Johor dan Sidang Media Khas Tunku Mahkota Johor.

Tarikh : 17 Disember 2012 (Isnin)
Waktu : 3.00 petang
Tempat : Hotel Thistle, Johor Bahru

Semua Peminat Setia Johor dijemput hadir.
Untuk maklumat lanjut hubungi pihak pengurusan
 Masuk adalah percuma!!

JOHOR FAN CLUB
Encik Ghazali (017-7234574) / Azmin (019-7642422)


JDTns- Kesultanan Johor

Johor Darul Takzim vs Pelita Bandung Jaya FC


Freekick dari Del Nero tepat ke kaki Muslim. Gol terhasil di awal perlawanan

WWW 1 Berwajah Baru Warna Biru


WWW 1 warna biru

14 dec 2012 - Gambar terbaru kereta Satria Neo WWW 1 Tuanku Sultan Johor. Tuanku memandu sendiri ketika mencemar duli menonton perlawanan persahabatan diantara Johor Darul Takzim dan Pelita Bandung di Stadium Larkin malam tadi. Berkeputusan masa penuh 
FT  Johor Darul Takzim (2) - (0) Pelita Bandung Raya FC
.
JDTns - Kesultanan Johor

Jumaat, 14 Disember 2012

214 premis diwarta sebagai bangunan warisan

NUSAJAYA 12 Dis.





Sebanyak 214 bangunan dan tapak bersejarah dikenal pasti di seluruh negeri ini untuk diwartakan sebagai bangunan warisan.Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri, Asiah Md. Arif berkata, antara bangunan yang tersenarai merangkumi istana, bangunan kerajaan, bangunan persendirian seperti rumah kedai, rumah tradisional, rumah ibadat, tapak makam dan rumah tradisi.Beliau berkata, satu jawatankuasa telah ditubuhkan Yayasan Warisan Johor (YWJ) bagi melengkapkan semua maklumat terperinci berkaitan bangunan bersejarah berkenaan.


"Proses pengumpulan data ini merupakan langkah awal bagi mewujudkan sebuah pangkalan data yang dikenali sebagai 'Warisan Johor GIS' untuk mendaftarkan bangunan berkaitan supaya kekal terpelihara.
"Usaha itu mula dilakukan sejak awal tahun ini dengan kerjasama pelbagai jabatan serta agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya semasa menggulung perbahasan Bajet Johor 2013 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar hari ini.

Bagi proses pewartaan, senarai monumen dan tapak bersejarah itu diteliti serta diperincikan merangkumi pelbagai aspek termasuk senibina, pemilikan monumen, lot tanah, keadaan fizikal serta latar belakang bangunan.

Mengikut rekod, katanya, hanya empat bangunan di negeri ini diwartakan sebagai bangunan warisan iaitu Istana Besar, Masjid Sultan Abu Bakar di Johor Bahru dan Kota Johor Lama (Kota Tinggi), selain Sekolah Tinggi Muar (Muar).

"Kerjasama daripada pemilik dan PBT juga diperlukan bagi memudahkan proses pewartaan dan mengelakkan kemusnahan bangunan berkenaan," katanya.

JDTns- utusan

Tiga juara hari keputeraan

MUAR 13 Dis. - Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Pejabat Daerah Johor Bahru, Majlis Amanah Rakyat (Mara) Johor masing-masing muncul johan dalam tiga pertandingan utama sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja di bandar ini hujung bulan lalu.

MPJBT muncul johan Pertandingan Kereta Berhias, manakala Pejabat Daerah Johor Bahru dan Mara Johor masing-masing mengungguli Pertandingan Bot Berhias Besar serta Pertandingan Bot Berhias Kecil sempena sambutan berkenaan.

PR1MA bina 8000 rumah mampu milik di Johor Bahru

Tarikh: December 13, 2012

JOHOR BAHRU - Sejumlah 8,000 unit rumah mampu milik akan dibangunkan menerusi Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Johor Baharu bagi menampung permintaan yang tinggi daripada kumpulan berpendapatan sederhana.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abdul Mutalib Alias berkata pihaknya sedang menilai kesesuaian tanah persekutuan dan negeri di sini, yang dikenal pasti untuk tujuan itu.

"Tanah yang dikenal pasti itu terletak di Larkin, Tampoi, Kulaijaya, Plentong dan Pasir Gudang," katanya, dan menambah jika tanah itu tidak sesuai, PR1MA akan mengenal pasti tanah lain, termasuk milik pemaju swasta.

Beliau berkata PR1MA akan berunding dengan pemaju swasta untuk melihat sama ada mereka boleh menyediakan rumah mampu milik dalam projek masing-masing.

Abdul Mutalib berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pendaftaran PR1MA bagi Pembangunan Nusantara Prima di Nusajaya hari ini.

Permintaan untuk rumah mampu milik di Johor tinggi, dan jika digabungkan dengan Kuala Lumpur dan Selangor, ia membabitkan 60 peratus daripada permintaan yang diterima dari seluruh negara.

Mengenai pendaftaran Nusantara Prima, beliau berkata orang ramai boleh melakukannya secara dalam talian di www.pr1ma.my dan proses pengundian akan dilakukan kemudian.

Sejumlah 201 rumah mampu milik dibangunkan oleh Denia Development Sdn Bhd, yang merupakan sebahagian daripada 1,300 unit perumahan di Nusantara Prima, projek usaha sama dengan UEM Land Holdings Bhd, yang juga pemilik tanah.

Pada harga permulaan RM199,000 bagi unit tengah, kediaman Nusantara Prima dibuka untuk permohonan mulai hari ini.
Projek itu menawarkan dua jenis rumah teres dua tingkat empat bilik berukuran 5.5m x 19.81m, dengan keluasan binaan 128.58m dan disasarkan siap pada  2016.

Pemohon mestilah rakyat Malaysia berusia 21 tahun dan ke atas, dengan keutamaan kepada rakyat Johor yang mempunyai pendapatan kasar isi rumah, individu atau bergabung, antara RM2,500 dan RM7,500 sebulan.
Selain itu mereka mesti bekerja atau tinggal dalam kawasan sempadan Majlis Bandaraya Johor Baharu, Majlis Perbandaran Johor Baharu Tengah, Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan Majlis Perbandaran Pontian.

Mereka juga tidak memiliki lebih daripada satu hartanah di Malaysia, selain unit kos rendah atau kos sederhana rendah.- Bernama

JDTns

Rabu, 12 Disember 2012

Hospital Kluang kini dikenali Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom

Hospital Kluang kini dikenali Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom

12 Disember 2012
KLUANG - Penduduk daerah Kluang hari ini secara rasmi menerima hospital baharu dikenali sebagai Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, sempena nama bonda Sultan Johor Sultan Ibrahim.
  
Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata hospital bernilai RM390 juta itu mula beroperasi 30 Dis tahun lepas, bagi menggantikan hospital lama berusia 80 tahun yang tidak mampu lagi menampung keperluan penduduk.
  
"Hospital baharu ini dibina di atas tapak seluas 16 hektar dan terletak kira-kira lapan kilometer dari hospital lama dan merupakan satu projek reka dan bina dengan dilengkapi 268 katil serta 220 unit kuarters untuk kediaman pelbagai kategori anggotanya," katanya.
  
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis perasmian hospital itu di sini. Teks ucapan beliau dibacakan Timbalannya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
  
Majlis perasmian hospital itu disempurnakan Enche' Besar Hajjah Khalsom Abdullah. Turut berangkat ke majlis tersebut Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim.

Liow berkata hospital baharu itu mempunyai 798 anggota kesihatan terdiri daripada bahagian klinikal, sokongan klinikal dan sokongan bukan klinikal.
  
Hospital itu terdiri daripada dua blok bangunan utama yang menyediakan perkhidmatan sekunder dilengkapi dengan perkhidmatan teknikal, sokongan klinikal dan bukan klinikal.
  
Antara perkhidmatan yang ada di hospital baharu itu ialah unit rawatan pesakit luar yang meliputi klinik pakar, rehabilitasi dan hemodialisis; bahagian rawatan pesakit dalam termasuk unit ortopedik, unit pembedahan mulut dan pediatrik.
  
"Saya percaya yakin dan percaya dengan wujudnya hospital baharu ini status kesihatan penduduk Kluang akan terus meningkat, ditambah lagi dengan adanya kemudahan yang lebih canggih serta anggota kesihatan yang terlatih dan berdedikasi," katanya.
  
Beliau berkata Kementerian Kesihatan juga amat gembira kerana mendapat pekenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar untuk membuat pengisytiharan nama hospital itu kepada nama baharu iaitu Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom

- Bernama

Perdana Menteri Malaysia dari tahun 1957 hingga 2009


                      Gambar kad pengenalan Perdana Menteri Malaysia dari tahun 1957 hingga 2009. 
                                                   Kacak2 belaka semuanya masa muda.


     JDTns - only in malaysia

Selasa, 11 Disember 2012

JOHOR FC, JOHOR DARUL TAKZIM


Kenyataan Media : Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ)

JOHOR FC AKAN DIKENALI SEBAGAI JOHOR DARUL TAKZIM

Titah baginda, Mengikut undang-undang yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persatuan Bolasepak Negeri Johor diminta mengunakan nama kelab yang didaftarkan mengikut Persuruhjaya Sukan.

Sehubungan itu
, Pasukan Johor FC dibawah Perbadanan Johor (Johor Corporation) telah di ambil alih sepenuhnya oleh Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) akan mengunakan nama baru iaitu Johor Darul Takzim. Pasukan ini akan beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan. Manakala pasukan Johor yang beraksi dalam liga Perdana akan kekal mengunakan nama JOHOR.

Titah Baginda lagi, bagi pihak Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Baginda memohon maaf pada pihak media dan penyokong bolasepak Johor jikalau ada belaku salah faham atau kekeliruan berkaitan perkara ini.

#Ringkasan

PASUKAN JOHOR DARUL TAKZIM

- Liga Super 2013
- Pengurus/ Ketua Jurulatih - Fandi Ahmad
- Jurulatih - Ismail Ibrahim
- Pemain Pilihan - Daniel Guiza, Del Nero, Safee Sali, Safiq Rahim,

PASUKAN JOHOR

- Liga Perdana 2013
- Pengurus - Hj. On Jabbar
- Ketua Jurulatih - Azmi Mohamed
- Pemain Pilihan - Orlando, Andre Silva, Farid Ramli, Khairul Ismail
 
 
JDTns - Kelab Penyokong
 


Usaha murni warga Komuniti FB Segamat

SEHARUM PENGHARGAAN UCAPAN TERIMA KASIH & SEKALUNG TAHNIAH

Meneruskan langkah usaha murni warga Komuniti FB Segamat, semoga usaha mendatang akan menarik lebih ramai penyertaan bukan sekadar "CAKAP LEBEH...HABUK TARAK...." dgn fb pun boleh wat benda elok terpulang pada individu tersebut. Kita mewakili Johor Darul Takzim. Tunjukan Nilai murni kita

supaya semua masyarakat dapat contohi.

JDTsas

Hajat remaja saksi Malaysia lawan Thai tidak kesampaian

PONTIAN - Hajat seorang remaja menyaksikan perlawanan bola sepak separuh akhir Malaysia menentang Thailand bersama rakannya malam kelmarin tidak kesampaian apabila terlibat dalam nahas di kilometer 55.9 Jalan Pontian-Johor Baharu, berhampiran Taman Pontian Jaya, dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, motosikal yang dibonceng Mohd Sauki Amri Hassan, 17 bersama rakannya, Mohd Raushad Azhar, 17, dilanggar sebuah kereta dari belakang ketika hendak membelok ke kanan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta lain.
Mohd Sauki Amri meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Mohd Raushad yang cedera parah kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Bapa arwah Mohd Sauki Amri, Hassan Khalid, 51 berkata, anaknya itu baru saja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 25 November lalu.
Menurutnya, pada pagi hari kejadian, Mohd Sauki yang merupakan anak keenam dari lapan beradik itu keluar bermain sepak takraw.
“Tiada perubahan yang ketara pada arwah, saya tak sangka kelmarin adalah hari terakhir dia bersama saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Sungai Bunyi, di sini, semalam.
Hassan yang tidak dapat menahan kesedihan memberitahu anaknya itu ada berhajat untuk melanjutkan pelajaran di kolej kemahiran selepas mendapat keputusan SPM kelak.
“Saya terkejut apabila seorang rakan arwah datang ke rumah memberitahu mengenai Amri terlibat dalam kemalangan.
“Ketika diberitahu, saya seolah-olah tidak percaya kerana arwah baru saja keluar 30 minit dan masih lagi terbayang kata-katanya yang meminta izin daripada saya untuk keluar dari rumah,” katanya.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Parit Wakaf, Jalan Medan Sari, selepas solat Zohor, semalam.
Sementara itu, menurut rakan karib arwah, Fakrul Faiz Abd Rahman, 17, dia tidak menyangka kemalangan yang dilihat di depan mata melibatkan dua rakannya.
“Saya lihat ada kemalangan berlaku ketika dalam perjalanan menuju ke restoran, ketika itu saya tidak terlintas di fikiran Amri dan Raushad akan terlibat dalam kemalangan itu.
“Namun setelah menghampirinya, saya terkejut melihat nombor pendaftaran motosikal yang ditunggang Raushad,” katanya.
Fakrul Faiz berkata, dia, Amri, Raushad dan seorang lagi rakan Mohd Nor Azwan, biasanya akan keluar menonton perlawanan bola sepak bersama di sebuah restoran di Taman Pontian Jaya.
“Pada petang itu, saya ada menghubungi Amri untuk ajaknya keluar bersama-sama bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir Malaysia bertemu Thailand,” katanya.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin yang mengesahkan kejadian itu berkata, pemandu salah sebuah kenderaan yang melanggar mangsa dilaporkan melarikan diri, dan polis kini sedang berusaha menjejakinya.
JDTns- sinar

Rumah terbakar ketika saksi perlawanan bola sepak

LEDANG - Keseronokan  seorang lelaki menyaksikan perlawanan bola sepak separuh akhir Piala AFF Suzuki  antara Malaysia dengan Thailand bertukar sedih apabila rumahnya di Kampung Serom 3, Jalan Panggung, Sungai Mati, dekat sini, musnah dalam kebakaran, malam kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu disedari Mohamad Yusof Md Said, 62, apabila dia terdengar bunyi seperti cawan pecah dari dapur rumah.
Menurutnya, dia yang  sedang menonton televisyen di ruang tamu segera ke dapur untuk mengenal pasti bunyi yang didengarinya selepas berasa  tidak sedap hati.
“Apabila tiba di tengah  rumah, tiba-tiba lampu terpadam dan saya nampak api sedang marak dari arah bilik belakang berdekatan dapur.
“Saya terkejut dan dengan pantas berlari ke bilik hadapan untuk mengejutkan isteri dan ibu yang sedang tidur,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Mohamad Yusof berkata, ketika kejadian, dia bersama ibu, isteri, anak saudara dan kakaknya di rumah,  manakala anak-anaknya berada di Kedah.
Katanya, selepas ahli keluarganya berjaya diselamatkan dengan dibawa keluar dari rumah, dia kembali masuk semula kediamannya untuk menyelamatkan barangan berharga.
Tetapi usaha dilakukan menemui kegagalan berikutan situasi kejadian yang merbahaya dan bimbang ditimpa bumbung.
Pesara kerajaan itu kerugian kira-kira RM100,000 berikutan rumah yang didiaminya sejak 10 tahun lalu, hangus  terbakar.
“Walaupun sedih dengan insiden ini, namun saya bersyukur kerana semua ahli  keluarga terselamat.
“Buat sementara waktu, kami sekeluarga menumpang tinggal di rumah adik yang terletak di kampung ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Yusof Muniron berkata, pihaknya menerima panggilan  kecemasan jam 9.46  malam dan mengerahkan tujuh  anggota bersama satu jentera ke tempat kejadian.
Menurutnya, pihaknya turut menerima bantuan  lapan anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat daerah Muar.
“Apabila  tiba di tempat  kejadian, rumah berkenaan sudah terbakar 70 peratus dan kami mengambil masa selama 15 minit untuk memadamkan keseluruhan kebakaran,” katanya.
Jelasnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih  dalam siasatan.
JDTns- sinar

TMJ mohon maaf kekeliruan nama Johor Darul Takzim

TMJ mohon maaf kekeliruan nama Johor Darul Takzim.

SENAI - Pasukan Johor FC di bawah Perbadanan Johor (Johor Corporation) yang telah diambil alih sepenuhnya oleh Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) akan menggunakan nama baru iaitu Johor Darul Takzim.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Presiden PBNJ bertitah, mengikut undang-undang yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persatuan Bolasepak Negeri Johor diminta menggunakan nama kelab yang didaftarkan mengikut Pesuruhjaya Sukan.
“Pasukan ini akan beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan. Manakala pasukan Johor yang beraksi dalam liga Perdana akan kekal menggunakan nama Johor.

“Baginda memohon maaf pada pihak media dan penyokong bola sepak Johor jikalau ada berlaku salah faham atau kekeliruan berkaitan perkara ini,” titahnya yang disampaikan menerusi Pegawai Media PBNJ, Ghazali Samad.

Pasukan Johor Darul Takzim akan beraksi dalam Liga Super 2012 dibawah pengurusan dan ketua jurulatih, Fandi Ahmad dibantu jurulatih Ismail Ibrahim yang disertai barisan pemain bintang seperti Daniel Guiza, Del Nero, Safee Sali, Safiq Rahim, Manakala pasukan Johor beraksi dalam Liga Perdana, diurus oleh On Jabbar dibantu ketua jurulatih, Azmi Mohamed bersama barisan pemain pilihan Orlando, Andre Silva, Farid Ramli, Khairul Ismail.

JDTns-sinar

Isnin, 10 Disember 2012

Piala FA: Fandi optimis Darul Takzim FC mampu mara jauh

    KETUA jurulatih Darul Takzim FC, Fandi Ahmad optimis bahawa pasukannya mampu melangkah ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala FA yang bermula 25 Januari ini.
Dalam undian Piala FA 2013 di Shah Alam hari ini, Darul Takzim akan menentang Perak pada perlawan pusingan pertama.
Ketika ditemui pemberita selepas undian itu, Fandi berkata pertemuan dengan Perak merupakan satu perlawanan yang dijangka sengit namum mereka memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.
Bagaimanapun, bintang lagenda bola sepak Singapura berusia 50 tahun itu tidak meletakkan sasaran awal meskipun pasukan itu dibarisi beberapa pemain kebangsaan termasuk penyerang Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha.
"Saya bagaimanapun berkeyakinan mampu mengembalikan pasukan ini sebagai sebuah pasukan yang disegani dalam masa dua tahun lagi," kata Fandi.
Pasukan Johor itu mula mendapatkan perhatian peminat bola sepak negara apabila mereka mula mendapatkan pemain-pemain bintang termasuk bekas kapten Selangor, Safiq Rahim serta pasangan kembar Mohamad Aidil dan Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak.
Pasukan itu turut membawa masuk bintang Sepanyol Daniel Guiza serta bekas pemain kelab Lazio dari Itali, Simone Del Nero untuk memantapkan lagi pasukan tersebut bagi menghadapi Liga Super musim depan.
Fandi berkata, kesemua pemain baharu yang mengikat kontrak bersama pasukan berkenaan akan menjalani latihan pusat sebaik sahaja skuad kebangsaan menamatkan aksi mereka pada Piala AFF Suzuki yang sedang berlangsung ketika ini.
Sementara itu, Perak merancang dua perlawanan  persahabatan menentang kelab Liga Singapura, Balestier Khalsa FC dari Singapura pada 18 dan Johor pada 22 Disember ini sebagai persiapan terakhir menghadapi Liga Super 2013 yang bermula 8 Januari depan.
Ketua jurulatihnya, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, kelab Singapura itu telah mengesahkan perlawanan itu manakala Johor belum memberikan kata putus.
Beliau berkata, sekiranya pertemuan dengan Johor tidak dapat diadakan maka mereka akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan sebuah pasukan Liga Perdana bagi menguji barisan pemain.
Mengulas mengenai pertemuan dengan pasukan berstatus 'bintang', Darul Takzim itu, Mohd Azraai Khor berkata beliau yakin anak didiknya mampu memberikan persembahan terbaik pada perlawanan berkenaan.
"Saya akui begitu bermotivasi untuk bertemu pasukan Darul Takzim FC yang bakal dibarisi ramai pemain kebangsaan namun saya yakin anak buah saya mampu memberi kejutan pada perlawanan itu nanti," katanya.
Skuad Seladang sebelum ini telah berjaya mendapatkan beberapa pemain tempatan untuk memperkuatkan pasukan seperti bekas penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd Farizal Marlias, bekas penyerang Terengganu Abdul Hadi Yahya, bekas pemain tengah Felda United Yong Kuong Yong dan bekas pertahanan Kedah, V. Thirumurugam.
Mereka turut mendapatkan khidmat dua pemain import iaitu bekas penyerang kelab BEC Tero Sasana, Karim Rouani dari Perancis dan bekas pertahanan kelab Bangkok Glass FC, Rafael Souza Silva Novais dari Brazil. - Bernama

JDTns

203 atlet ditawar biasiswa sukan

Dr. Saharudin Ismail
Dr. Saharudin Ismail
 

MERSING – Atlet yang cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa akan ditawarkan biasiswa sukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Setiausaha Bahagian Sukan kementerian itu, Dr. Saharudin Ismail berkata,  sehingga kini seramai 203 atlet IPT telah ditawarkan pembiayaan biasiswa sukan bagi tahun ini.
“Penawaran biasiswa ini merupakan jumlah terbesar sejak ia diperkenalkan pada 2006. Setiap atlet akan mendapat manfaat sekaligus membantu menaikkan semangat kesukanan di kalangan mereka.

“Usaha ini dilihat dapat meningkatkan mutu atlet sekaligus mengharumkan negara dalam acara yang dipertandingkan,” katanya.

Beliau ditemui dalam majlis perasmian penutup Kursus Sparring Sistem  Protective Scoring System (PSS) taekwondo KPT 2012, di Politeknik Mersing.

Saharudin berkata, usaha kementerian ini juga merupakan salah satu insentif bagi menggalakkan pembangunan sukan di kalangan penuntut IPT sektor tempatan mahupun swasta di negara ini.
“Ia juga merupakan usaha dalam membentuk golongan atlet yang berdaya saing di kalangan mereka,” katanya.

JDTns - sinar

Ahad, 9 Disember 2012

HARGA SAYUR MELAMBUNG


ENDAU – Harga barangan harian terutamanya sayur-sayuran yang dijual di Pasar Awam Endau meningkat sekali ganda, dipercayai ekoran kedatangan musim tengkujuh.
Tinjauan Sinar Harian ke lokasi berkenaan mendapati, faktor cuaca tidak menentu menyebabkan tanaman tidak menjadi hingga menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran.

Peniaga sayur, Muhamad Khalid, 42, berkata, selain faktor cuaca, permintaan yang tinggi dari pelanggan ketika bekalan kurang menyebabkan peniaga terpaksa menaikkan harga barang tersebut.
“Bekalan seperti cili merah, tomato, sayuran hijau semakin berkurangan, harga yang dikenakan kepada kami berbeza dari kebiasaannya. Kami terpaksa menaikkan harga," katanya kepada Sinar Harian.
Bagi Hasnah Tapri, 50, dia mengakui harga sayur-sayuran meningkat  sejak Hari Raya Aidiladha yang lalu dan menjangkakan harga barang akan kembali normal selepas Tahun Baru Cina.

“Sejak raya haji lepas, harga sayur meningkat, rata-rata pelanggan mengeluh harga dikenakan tinggi. Walau bagaimanapun, atas faktor cuaca yang tidak menentu setiap tahun, pelanggan kini sudah sedia maklum,” katanya.

Sementara itu, pelanggan, Aminah Tahar, 54, berkata, harga sayuran yang biasa dibelinya semakin naik malah tidak menunjukkan sebarang perubahan harga buat masa terdekat ini.
“Saya berharap musim tengkujuh ini bakal berakhir secepat mungkin seperti sedia kala dan harga akan kembali kepada asal seperti dulu supaya tidak membebankan pengguna,” katanya.

JDTns- sinar

Tanah penghujung benua Asia di Tanjung Piai


        Promosikan tanah penghujung benua Asia.

    Tanah penghujung benua Asia di Tanjung Piai akan terus menjadi ikon pelancongan kepada pengunjung dari dalam dan luar negara di daerah ini. 


     Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Wee Jeck Seng, berkata, usaha tersebut akan menjadi nilai tambah kepada promosi pelancongan Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) kerana kawasan yang terletak di dalam   Tanjung Piai (TNJTP) itu adalah lokasi penting selain Kukup Laut yang dikenali ramai

JDTns


DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com