IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Memaparkan catatan dengan label Banjir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Banjir. Papar semua catatan

Khamis, 30 Januari 2014

Atasi segera masalah banjir

ISMAIL Mohamed (tengah) bersama para penerima bantuan pada Program Pengagihan Wang Ihsan bagi Mangsa Banjir Negeri Johor Peringkat Daerah Muar Tahun 2013 di Dewan Orang Ramai, Gugusan Felda Maokil, Pagoh, Johor, semalam.

PAGOH 29 Jan. - Sistem perparitan yang bermasalah di kawasan Bukit Serampang sehingga mengakibatkan banjir terutama di Felda Moakil dekat sini Disember lalu akan diperbaiki. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed berkata, kerja menaik taraf tersebut akan dilakukan secepat mungkin menerusi kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pengurusan Felda.

"Kita mahu pastikan parit dan saluran air dari daerah ini yang masuk ke Sungai Muar mengalir lancar dan tidak tersekat atau disebabkan salurannya kecil serta cetek.

"Antara tindakan segera akan diambil adalah membersihkan laluan air daripada sampah-sarap serta tumbuhan yang menghalang aliran air hingga mengakibatkannya tersumbat dan melimpah," katanya selepas program Pengagihan Wang Ihsan Mangsa Peringkat Daerah Muar 2013 di Dewan Orang Ramai, Gugusan Felda Maokil semalam.

Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri memaklumkan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi bantuan sebanyak RM28,000 kepada 56 keluarga yang menjadi mangsa banjir dengan setiap keluarga menerima RM500. Beliau berharap sumbangan berkenaan mampu meringankan beban keluarga terbabit untuk membeli barangan keperluan termasuk peralatan elektrik dan perabot yang musnah akibat banjir.

Sementara itu, seorang penerima, Mohd. Salleh Ibrahim, 57, berkata, banjir yang berlaku itu mengakibatkan banyak binatang ternakannya mati selain sebahagian perabot rumahnya rosak. "Kedudukan rumah saya rendah dan hampir setiap tahun ditenggelami air. Namun, Alhamdulillah bantuan yang diterima ini sedikit-sebanyak meringankan beban keluarga saya untuk membeli barang keperluan harian," katanya.

Mohd. Azman Manap, 29, yang merupakan generasi kedua di Felda pula berkata, masalah banjir di kawasan itu perlu diatasi segera. Menurut bapa kepada seorang anak ini, banjir setinggi paras lutut mengakibatkan tikar getah, perabot serta perkakas rumahnya rosak.

Sabtu, 19 Januari 2013

Banjir di Johor 1,180 dipindah

 JOHOR BAHRU - Seramai 1,180 penduduk dipindahkan ke lima pusat pemindahan berikutan banjir di Johor selepas hujan tidak berhenti sejak awal pagi ini.

Kawasan yang terlibat ialah Kampung Laut dan Kampung Sungai Tiram di Johor Baharu; Kampung Baru Sungai Mas di Penawar; Taman Aman, Taman Mawai di Johor Lama dan PPMS Kampung Batu, Teluk Ramunia di Kota Tinggi.

Mangsa banjir ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Batu 10 dan Balairaya Batu 18 Sungai Tiram di Johor Baharu serta    Dewan Kota Kecil, Dewan Kampung Baru Sungai Mas dan Dewan Kampung Baru PPMS Teluk Ramunia di Kota Tinggi.

Pegawai Daerah Kota Tinggi Ismail Karim berkata pihaknya sudah bersiap siaga berikutan makluman kemungkinan banjir di daerah itu oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

Beliau berkata kebanyakan mangsa di daerah itu mula dipindahkan ke pusat pemindahan banjir pada 10 pagi.

"Tinjauan pukul 3 petang tadi mendapati air mulai surut, namun mangsa tidak dibenarkan pulang kerana masih hujan," katanya kepada pemberita.

Ismail menasihati orang ramai, khususnya penduduk di kawasan rendah, supaya berhati-hati dan bersiap sedia untuk berpindah sekiranya paras air terus naik di kawasan mereka.

Seorang mangsa yang tinggal di Taman Mawai, R. Prima, 38, berkata beliau dan suaminya sempat memindahkan barang ke tingkat atas rumah dua tingkat mereka sebelum berpindah pada 10 pagi.

Prima berkata ketika banjir pada 2006/2007, air melepasi lantai tingkat satu rumahnya dan banyak barangan tidak sempat diselamatkan.

Ketua MCA Bahagian Gelang Patah Jason Teoh berkata pihaknya mengagihkan makanan dan air mineral kepada mangsa banjir di Kampung Laut pada sebelah pagi sementara menunggu bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Beliau berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri Nusajaya Datuk Aziz Sapian dan Pegawai Daerah Johor Bahru Amran A Rahman turut melawat mangsa.

Sementara itu, portal publicinfobanjir.water.gov.my milik Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia menasihati penduduk di sekitar Batu Pahat agar berjaga-jaga kerana paras air Sungai Lenik di Ladang Chaah sudah mencapai tahap 5.79 meter, melepasi paras amaran yang ditetapkan. - Bernama

JDTns -

Amaran hujan lebat peringkat jingga di Johor

KEADAAN Taman Aman dan Taman Mawai, Kota Tinggi yang dinaiki air sejak jam 6 pagi tadi. - Foto Ahmad Othman  KEADAAN Taman Aman dan Taman Mawai, Kota Tinggi yang dinaiki air sejak jam 6 pagi tadi.

JOHOR : Hujan sekejap-sekejap kadang kala lebat di beberapa kawasan di Johor dijangka berterusan sehingga esok.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata kawasan terlibat ialah Johor Bahru, Kulaijaya dan Kota Tinggi.

"Keadaan ini akan menyebabkan banjir di kawasan yang berkedudukan rendah," kata kenyataan itu.


Sementara itu, amaran peringkat kuning iaitu hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana di Terengganu (Kemaman), Pahang (Pekan, Rompin dan Kuantan) dan Johor (Mersing dan Kluang) dijangka berterusan hingga esok.

"Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah," kata kenyatan itu.

- BERNAMA

Ahad, 16 Disember 2012

Air laut banjiri Kukup 2 jam

 Air pasang besar yang berlaku di Kukup menyebabkan laluan utama ke terminal jeti dipenuhi air laut selama kira-kira dua jam, semalam.

PONTIAN – Fenomena air pasang besar yang melanda pekan Kukup, di sini semalam, menjejaskan pergerakan orang ramai terutamanya pelancong selama dua jam.

Tinjauan ke lokasi mendapati kebanyakan pengunjung luar terkejut melihat kejadian air pasang besar yang membawa air laut, memenuhi laluan pejalan kaki sehingga ke paras buku lali.

Kejadian air pasang besar yang hanya berlaku sekali setahun dalam tempoh tiga hari bermula kelmarin, dapat disaksikan dalam tempoh dua jam sahaja dari 11 pagi hingga 1 petang.

Fenomena itu turut menarik minat kanak-kanak untuk bermandi manda walaupun keadaan air didapati tidak bersih.

Bagi Ahmad Daud, kejadian air pasang besar yang berlaku di pekan Kukup itu adalah perkara biasa setiap kali hujung tahun. Menurutnya, penduduk dan peniaga tempatan sudah membuat persediaan awal dengan memindahkan barang ke tempat lebih tinggi sebaik sahaja dimaklumkan kejadian air pasang besar, kira-kira sebulan lalu.

“Pergerakan penduduk dan pelancong di pekan Kukup terganggu selama dua jam. Pelbagai gelagat mereka yang pertama kali merasai suasana air pasang besar dapat dilihat,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, kakitangan Terminal Feri Antarabangsa Kukup, Abd Shukor Haron berkata, perjalanan feri tetap diteruskan seperti biasa dan tidak mengalami gangguan.

Bagaimanapun, katanya, orang ramai terpaksa meredah air pasang sepanjang kira-kira satu kilometer untuk terminal feri.

JDTns- Sinar

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com