IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Ahad, 10 Mei 2015

PBT serap lebih RM3j GST

PBT serap lebih RM3j GST 

 Lebih RM3 juta anggaran jumlah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dijangka dipungut oleh semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor terhadap perkhidmatan diberikan, pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd Latif Bandi berkata, kesemua jumlah GST itu diserap PBT di negeri ini, bagi memastikan cukai berkenaan tidak dikenakan kepada rakyat.

Menurutnya, malah langkah itu (penyerapan GST) sudah dilakukan semua PBT di Johor selepas kira-kira dua minggu cukai berkenaan dilaksanakan kerajaan bermula 1 April lalu, berikutan mendapat bantahan dalam kalangan pembayar cukai.

“Kerajaan negeri telah mengadakan mesyuarat dengan 16 PBT di negeri ini, untuk memastikan GST tidak dikenakan ke atas rakyat bagi setiap perkhidmatan PBT selepas mendapat rungutan.

“Atas sebab itu, selepas dua minggu GST dilaksanakan kerajaan, PBT diarahkan untuk menyerap dan menanggung cukai ini agar ia tidak dikenakan kepada rakyat yang mengguna pakai perkhidmatan daripada PBT seperti bayaran sewa dewan, permohonan lesen perniagaan, pindah milik dan parkir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Karnival Sambutan Hari Perbandaran Ke-14, Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), di sini semalam.


Abd Latif berkata, meskipun menyerap dan menanggung cukai GST berkenaan, setiap PBT sebenarnya masih perlu terus mencari hasil bagi membolehkan projek pembangunan dapat dijalankan di kawasan masing-masing.

“Sebab itu PBT di negeri ini akan meminta pengecualian mengenai cukai GST ini daripada kerajaan persekutuan dan Kastam. Ini kerana GST yang diserap dan kemudiannya dibayar kepada Kastam menyebabkan hasil pendapatan diraih PBT berkurangan.

“Apabila pendapatan berkurangan, sukar untuk PBT di Johor melakukan projek pembangunan bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada pembayar cukai. Oleh itu, kami akan memohon pengecualian daripada kerajaan dan Kastam bagi mendapatkan pengecualian,” katanya.
Beliau juga memberitahu ada menyatakan mengenai pengecualian itu kepada Menteri Kesejahteraan Bandar Dan Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan ketika perjumpaan Timbalan-Timbalan Ketua Umno Bahagian dengan Perdana Menteri di Kuala Lumpur, kelmarin.

“Saya ada bertemu dengan menteri seterusnya memberitahu mengenai titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung pengecualian ini.

"Beliau akan membawa perkara ini dalam mesyuarat Kabinet,” katanya.
Terdahulu, Sultan Ibrahim  Sultan Iskandar meminta kerajaan negeri dan PBT supaya tidak mengenakan GST terhadap perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat.

Dalam titah ketika merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-13 itu, Sultan Ibrahim mahu kerajaan negeri dan PBT di Johor meminta pengecualian daripada kerajaan persekutuan berhubung perkara itu.








Sultan Johor titah pelaksanaan GST harus dikaji

Sultan Johor titah pelaksanaan GST harus dikaji 

 JOHOR BAHRU - Sultan Johor Sultan Ibrahim menegur kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat.
  
"Saya minta kerajaan negeri dan PBT supaya tidak mengenakan GST terhadap perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat dan meminta pengecualian daripada kerajaan persekutuan," titah baginda ketika merasmikan pembukaan penggal persidangan ketiga Dun Johor ke-13, di sini hari ini.
  
Baginda bertitah adalah tidak masuk akal untuk mengenakan GST ke atas perkhidmatan sedemikian memandangkan perkhidmatan kerajaan adalah tanggungjawab asas kepada rakyat dan tidak wajar ia menjadi beban kepada rakyat.
  
Pelaksanaan GST yang bermula sebulan lepas juga harus sentiasa diteliti dan dikaji mengikut kesesuaian keadaan, titah baginda .
  
Mengenai pelaksanaannya, baginda bertitah kajian mendalam telah pun dibuat oleh kerajaan persekutuan sebelum sistem percukaian itu diluluskan, demi kepentingan kerajaan dan rakyat juga.  
  
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek dilaporkan sebagai berkata sebanyak 2,405 pegawai dan anggota penguat kuasa kementerian itu dibekukan cuti sejak sebulan lepas bagi memastikan setiap aduan mengenai pelaksanaan GST diambil tindakan.
  
KPDNKK turut melantik 427 orang anggota penguat kuasa baru-baru ini untuk memantau aduan orang ramai.
  
Setakat 30 April, KPDNKK telah mengeluarkan 1,026 notis menerusi Ops Catut membabitkan kesalahan menaikkan harga barang.     Persidangan Dun akan bermula Ahad ini hingga 18 Mei.
  
Turut berangkat ke majlis perasmian ialah Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim. – Bernama

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com