IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Memaparkan catatan dengan label Pinewood Iskandar Malaysia Studios. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pinewood Iskandar Malaysia Studios. Papar semua catatan

Sabtu, 5 Januari 2013

'Lembaran baru' bagi industri filem dan TV serantau

Hollywood of South East Asia - Pinewood Iskandar Malaysia Studios

 


'Lembaran baru' bagi industri filem dan TV serantau

SELEPAS pembangunan beberapa institusi pendidikan dan taman bertema LegoLand, Wilayah Iskandar Malaysia di Johor kini menumpukan perhatian pada usaha membangunkan sebuah taman perfileman ala Hollywood - Pinewood Iskandar Malaysia Studios.

Seluas 50 hektar, atau 70 padang bola sepak, ia dikatakan dapat membuka lembaran baru bagi industri perfileman dan televisyen di rantau ini, termasuk Singapura, ekoran keupayaannya memperkenal kepakaran terbaik industri tersebut, termasuk dari Hollywood.

Kemudahan di studio bersepadu terbesar Asia Tenggara itu akan dibuka secara bertahap mulai Mei tahun depan.

Apabila siap sepenuhnya menjelang akhir tahun depan, ia akan mempunyai dua studio televisyen seluas 12,000 kaki persegi setiap satu yang dapat memuatkan 1,400 penonton dan lima pentas perfileman dengan keluasan antara 15,000 dengan 100,000 kaki persegi setiap satu.

Pentas terbesar itu akan dilengkapi sebuah tangki air bagi membolehkan penggambaran dalam air.
Studio itu akan mempunyai juga pusat pos penerbitan teknologi canggih, bengkel menghasilkan setset penggambaran dan pentas luar seluas 10 hektar.

Mendedahkan rancangan itu kepada Berita Harian dalam satu temu bual eksklusif di tapak binaan studio di Nusajaya baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pinewood Iskandar Malaysia Studios, Encik Michael Lake, berkata projek itu telah mencetuskan keghairahan dalam industri perfileman dan penerbitan seluruh dunia, termasuk Hollywood, Bollywood, Eropah, Australia dan Singapura.

Lokasinya yang dekat dengan negara ini - 15 minit perjalanan kereta dari Pusat Pemeriksaan Tuas - membolehkan syarikat penerbitan dan pembikin filem Singapura merealisasikan skrip mereka ke layar siaran menerusi studio itu dengan mudah kelak.

Menyifatkan studio itu sebagai 'sebuah pusat beli-belah' yang membolehkan penerbit dan pembikin filem menyewa ruang kalis bunyi berhawa dingin, Encik Lake menjangka kemudahan itu membawa masuk hasil berjumlah RM1.9 bilion ($760 juta) menjelang 2020.

Kawasan di belakang studio itu, seluas 30 hektar, ialah tanah simpanan yang boleh digunakan bagi meluaskan studio itu jika perlu.

"Hasil yang diramal ini termasuk perbelanjaan menerusi industri pemakanan, perhotelan, pembinaan, runcit dan bermacam-macam lagi yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat. Dan saya pasti syarikat Singapura juga dapat berkongsi menikmati hasilnya," kata Encik Lake.
Satu lagi tarikan yang dijangka menarik syarikat industri penerbitan Singapura ialah sebuah perkampungan media di sebelah studio itu, Media@Medini.

Di situ, syarikat baru yang mahu memulakan usaha penerbitan dan syarikat yang menyewakan peralatan studio boleh bertapak.

Penubuhan kursus ijazah seni sinematik di kampus terbaru Universiti Multimedia Malaysia (MMU) di Educity yang berdekatan dijangka dapat melatih ramai karyawan perfileman, dan studio itu boleh dijadikan wadah bagi pelajar menjalani latihan, kata Encik lake.

Kursus itu ialah usaha sama antara MMU dan Universiti Southern California - universiti ulung yang melahirkan ramai pembikin filem tersohor, termasuk Encik George Lucas.

Encik Lake, 70 tahun, mempunyai pengalaman lebih 45 tahun dalam bidang penerbitan dan pengurusan perfileman di Amerika Syarikat, Australia dan Asia. Antara filem yang beliau terlibat terbitkan ialah The Matrix Trilogy, Ocean's 11 & 12, Miss Congeniality, Three Kings dan Charlie and The Chocolate Factory.
Studio perfileman asal Britain itu dijangka membawa masuk teknologi dan kepakaran terkini dari Hollywood and Britain ke rantau ini.

Misalnya, Pinewood, yang mempunyai operasi di Britain, Canada, Republik Dominican, Berlin dan Los Angeles, bertanggungjawab menghasilkan hampir kesemua filem Superman dan James Bond, termasuk filem terbaru perisik Inggeris itu, Skyfall.

Ditanya apakah studio di Nusajaya itu akan melahirkan filem-filem blokbuster Hollywood, Encik Lake berkata sebagai permulaan beliau menyasarkan filem dengan bajet antara AS$5 juta ($6.16 juta) hingga AS$20 juta.

Beliau menyifatkan pasaran perfileman India sebagai sebuah pasaran kuat bagi studio itu kerana "kos AS$15 juta bagi sebuah penerbitan Bollywood memenuhi kriteria kami".

"Dengan rebat tunai 30 peratus yang diberi kerajaan Malaysia kepada setiap penerbitan yang dihasilkan di sini, ia tentunya menarik.

"Namun ia tidak bermakna kami menolak filem-filem blokbuster Hollywood. Ia akan datang. Bahkan, saya akan menemui Hollywood di Los Angeles tidak lama lagi dan mungkin akan timbul minat," kata Encik Lake.


JDTns - iskandarmalaysia.com.my


DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com