IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Jumaat, 28 Disember 2012

Rayu dana bedah jantung

KOTA TINGGI – “Dalam fikiran saya hanyalah kesihatan isteri menjadi keutamaan,” kata Ramlan Mursadi, 46 dari Felda Air Tawar 1, di sini.

Menurutnya, dia tidak sampai hati melihat keadaan isterinya Roszana Jahari, 45, yang disahkan menghidap komplikasi jantung berlubang sejak Ogos lalu.

Menurut ayah kepada tujuh anak itu, dia kini terpaksa bekerja lebih masa sehingga lewat malam semata-mata untuk mencari wang bagi menampung kos rawatan isteri.

“Selama ini isteri berada dalam keadaan sihat, malah kesemua anak kami dilahirkan dalam keadaan normal dan tidak mengalami sebarang masalah.

“Bagaimanapun ketika mendapat berita mengenai penyakit isteri, saya benar-benar terkejut namun dalam masa sama saya reda dengan ujian Tuhan,” katanya.

Kini katanya, hampir setiap bulan isterinya terpaksa menjalani rawatan yang menelan perbelanjaan sehingga RM600 setiap kali rawatan.

“Roszana dijadualkan akan menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) dengan kos rawatan sebanyak RM25,000, 9 Januari depan.

“Dengan gaji RM1,400 sebulan sebagai pembantu jualan, kemampuan saya amat terbatas tambahan pula kesemua anak-anak saya akan memulakan persekolahan tidak lama lagi,” katanya.

Bagi Roszana, walaupun berdepan dengan ujian getir yang mendatang secara tiba-tiba itu, namun dia terpaksa menguatkan dirinya demi untuk anak-anak.

Katanya, bagaikan luruh hatinya apabila diberitahu doktor yang dirinya menghidap penyakit jantung berlubang yang kini sudah sebesar dua sentimeter.

“Menurut doktor, saya telah menghidap penyakit tersebut sejak kecil lagi, namun selama ini saya tidak menyedarinya tambahan pula saya berada dalam keadaan yang sihat.

“Namun pada Syawal lalu saya mengalami batuk yang teruk lalu pergi membuat pemeriksaan ketika itu berat badan saya sudah mulai susut daripada 65 kilogram (kg) turun kepada 45kg. 

“Doktor beritahu saya menghidap paru-paru berair serta mengalami masalah jantung. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu.

“Pada mulanya saya agak sedih, namun apabila memikirkan anak-anak yang masih kecil saya harus kuatkan semangat demi mereka,” katanya sebak.

Menurut suri rumah sepenuh masa itu, selain bergantung harapan kepada suaminya dia juga amat berharap agar orang ramai dapat memberi sumbangan untuk menampung kos pembedahannya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh membuat pembayaran ke akaun (Maybank) Ramlan Mersadi 101075174581.

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com