JOHOR BAHRU - Johor Darul Takzim melakar kemenangan sulung selepas menewaskan Perak 1-0 yang terpaksa beraksi dengan sembilan pemain pada separuh masa kedua pada saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini, semalam.
Gol kemenangan Harimau Selatan diperoleh menerusi Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak pada minit ke-47 dan kejayaan meraih tiga mata itu ternyata menceriakan lebih 25,000 penyokong setia Harimau Selatan.
Selepas tewas 2-3 kepada Pahang baru-baru ini, jurulatih, Fandi Ahmad melakukan sedikit rombakan dengan meletakkan Aidil Zafuan dan Mohd. Faizal Mansor di posisi pertahanan bergandingan bersama Azmi Muslim dan Muslim Ahmad manakala Mohd. Zamir Selamat menggantikan Muhammad Al-Hafiz Hamzah sebagai penjaga gol.
Penguasaan tuan rumah bermula seawal minit keenam apabila Safiq Rahim hampir membuka tirai jaringan melalui sepakan lambung dari luar kotak penalti, namun sedikit tersasar dan tandukan Aidil selang empat minit hasil sepakan penjuru sekadar melepasi palang.
Tuan rumah memiliki dua peluang terbaik pada minit ke-24 dan ke-26 apabila diberikan sepakan percuma namun sepakan Safiq Rahim dinafikan penjaga gol pasukan pelawat, Mohd. Farizal Marlias.
Malang buat skuad kendalian Mohd. Azraai Khor Abdullah apabila Khairi Kiman dilayangkan kad merah kerana mengutip dua kad kuning pada minit ke-37 sebelum Mohd. Hisyamudin Mohd. Shaari muncul pemain kedua Perak mendapat kad merah, lapan minit kemudian.
Kelebihan dua pemain itu ternyata membuka peluang kepada tuan rumah mendapatkan gol dan Aidil Zafuan akhirnya muncul wira tuan rumah selepas berjaya menanduk masuk gol tunggal perlawanan hasil sepakan penjuru Safiq Rahim pada minit ke-47 menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.
Perak hampir mengejutkan tuan rumah dengan gol penyamaan, namun tandukan Rafael Souza Silva Novais pada minit ke-53 sekadar terkena palang dan tandukan susulan rakan sepasukannya Muhd. Shahrom Abd. Kalam melepasi palang gol.
Kemasukan Safee Sali pada minit ke-55 menggantikan Azmi Muslim tidak banyak memberikan impak kepada pasukan tuan rumah yang dilihat banyak mempersia-siakan peluang untuk menambah bilangan gol.
Nurul Azwan Roya gagal memanfaatkan peluang terbaik untuk menambah bilangan gol pada minit ke-90 apabila sepakan derasnya dari luar kotak penalti tersasar jauh.
Dalam satu lagi perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan harus berterima kasih kepada kecemerlangan kepada penjaga golnya, Mohd. Hamsani Ahmad yang berjaya menyelamatkan maruah tuan rumah apabila berjaya mengikat Terengganu dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Bekas penyerang Negeri Sembilan, Jean-Emmanuel Effa Owona gagal menterjemahkan deretan peluang dalam perlawanan yang menyaksikan penguasaan lebih banyak tertumpu kepada pasukan pelawat.