Tunku Ismail sangat kesal dengan Kelantan FA yang tidak meletakkan
Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi mengawal keselamatan penyokong
Johor.
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu
telah melahirkan kekecewaan terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan
(KAFA) yang tidak melakukan persediaan bagi mengawal keselamatan
penyokong Johor yang hadir di stadium semasa perlawanan Liga Super
antara Johor Darul Takzim dan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV,
Kota Baharu pada Selasa (15 Januari).
Tindakan KAFA tidak meletakkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi
mengawal keselamatan penyokong Johor sepanjang mereka berada di stadium
adalah amat dikesali, titah baginda.
Tunku Ismail bertitah
pihak baginda menerima banyak aduan penyokong Johor dibaling batu dan
botol oleh penyokong fanatik Kelantan.
"Selain itu para pemain
dan penyokong Johor terpaksa menyelinap keluar melalui pintu lain
selepas lampu limpah dipadamkan dan diiringi Polis Diraja Malaysia
sejauh 20 kilometer meninggalkan stadium," titah Tunku Ismail.
Sementara itu, Tunku Ismail berkata anggota tentera yang kelihatan di
stadium ketika perlawanan berkenaan dua hari lepas merupakan anggota
komando Rejimen 21 Grup Gerak Khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Tunku Ismail menafikan mereka yang lengkap bersenjata itu merupakan
anggota tentera daripada pasukan Timbalan Setia Negeri Johor (TSN).
"Mereka (anggota Gerak Khas) berada di stadium kerana menerima arahan
yang menyatakan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar
akan mencemar duli menyaksikan perlawanan itu," titah baginda pada
sidang media di kediaman baginda di sini hari ini.
Baginda
bertitah kehadiran anggota Gerak Khas itu merupakan persediaan
keselamatan sekiranya Sultan Johor, yang juga Kolonel Komandan GGK
menyaksikan perlawanan terbabit.
Tunku Ismail yang juga
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor bertitah kehadiran anggota
Gerak Khas itu merupakan prosedur biasa yang telah ditetapkan dan tidak
perlu dijadikan isu oleh mana-mana pihak.
"Kita boleh tanya
kepada para pegawai mereka (Grup Gerak Khas), mereka ditugaskan bersedia
untuk kehadiran Sultan Johor," titah baginda.
Media hari ini
melaporkan ketidakpuasan hati penyokong pasukan Kelantan berikutan
kehadiran anggota tentera lengkap bersenjata yang disangka daripada TSN
pada perlawanan antara kedua-dua pasukan dua hari lepas.
JDTns - BERNAMA
IKLAN BERBAYAR
Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com