KUANTAN - Kunjungan skuad Tok Gajah ke Johor Bahru malam ini berdepan Johor Darul Takzim boleh dijadikan kayu pengukur untuk pertembungan separuh akhir Piala FA nanti.
Pengurus pasukan Pahang, Datuk Che Nasir Salleh berkata, semua pemain harus mempamerkan aksi terbaik untuk menang dalam perlawanan tersebut sebagai penyuntik semangat menjelang saingan separuh akhir Piala FA 2013.
Pahang layak ke separuh akhir Piala FA dengan agregat 2-0 setelah menumpaskan Sime Darby FC manakala JDT menewaskan Selangor menerusi penentuan sepakan penalti pada pusingan suku akhir.
"Kita sudah menang dengan JDT dalam perlawanan pembukaan Liga Super 2013 dengan jaringan 3-2 dan saya tidak mahu kemenangan tersebut melekakan para pemain kerana skuad Harimau Selatan semakin bertenaga dengan kehadiran dua pemain import baharu.
"Pada masa sama saya menaruh kepercayaan tinggi terhadap dua awang import baharu Pahang, Damion Delano Stewart dari Jamaica yang bermain di posisi pertahanan dan Matias Conti dari Argentina sebagai penyerang untuk memastikan kejayaan Pahang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurutnya, perlawanan malam ini juga dijangka sengit apabila kedua-dua pasukan mempertaruhkan dua penyerang import dari Argentina.
"Kita ada Matias manakala Johor memiliki Leonel Jorge Nunez dan mereka mempamerkan aksi mantap apabila kedua-dua pemain tersebut menjaringkan dua gol dalam saingan Piala FA baru-baru ini," ujarnya.
Sementara itu, ketua pasukan, Jalaluddin Jaafar berkata, beliau mahu semua pemain bermain bersungguh-sungguh untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan malam ini.
Katanya, kehadiran Delano dan Matias banyak membantu mengubah corak permainan skuad Tok Gajah terutama di bahagian serangan dan pertahanan.