Seorang juruukur bahan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini Isnin selepas didapati bersalah menulis komen menghina Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menerusi laman sosial Facebook Oktober tahun lepas. Hakim Muhammad Jamil Hussin turut memerintahkan tertuduh, Ahmad Abd Jalil, 28, yang berasal dari Klang, Selangor, dipenjara enam bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.
Dia didakwa membuat komen yang jelik dengan niat menyakiti institusi Kesultanan Johor dan rakyat menggunakan aplikasi Facebook melalui akaun http://www.facebook.com/ibrahim.osman.313371 menggunakan nama profil 'Zul Yahya'.
Kesalahan itu dilakukan di pejabatnya di RD Resources Sdn Bhd, 30-3, Jalan Wangsa Delima 11, Seksyen 5, Kuala Lumpur, pukul 6 petang pada 10 Oktober 2012. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Muhammad Jamil dalam penghakimannya berkata pembelaan tertuduh hanya bersifat penafian semata-mata, apabila dia mendakwa tidak memuat naik gambar, tidak menghantar khidmat pesanan ringkas dan menafikan kaitan dengan Facebook terbabit serta tidak mengetahui Ibrahim Osman. Peguam Mohd Radzlan Jalaludin yang mewakili tertuduh merayu supaya anak guamnya tidak dihukum penjara dengan alasan Ahmad sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana manakala isterinya menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam dan mempunyai 10 adik-beradik.
Pendakwaan yang dikendalikan Ketua Unit Pendakwaan Johor Umar Saifuddin Jaafar dan Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim memohon mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya memandangkan kesalahan Ahmad adalah serius dan Sultan Johor pula merupakan individu berkedudukan tinggi. Keluarga tertuduh termasuk ibu dan bapanya hadir di mahkamah pada Isnin dan Ahmad membayar denda itu. Tiga puluh saksi pendakwaan dan sembilan saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sejak perbicaraan kes itu bermula 5 Februari lepas. - BERNAMA