JOHOR BAHRU – Siri jelajah diraja Kembara Mahkota Johor (KMJ) tidak terkecuali mempamerkan kelainan dan keunikan setiap kali penganjurannya yang tersendiri saban tahun.Mengetuai kembara, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan memilih buat julung kalinya sejak KMJ dicetuskan baginda sejak 2001 untuk memandu bas mewah Prevost Marathon Coach bermula hari ini sehingga 24 Jun depan.Penganjuran KMJ bertujuan mendampingi masyarakat khususnya golongan miskin di jajahan takluk negeri ini sekali gus mengeratkan hubungan institusi diraja dan rakyat.
KMJ dimulakan dengan kembara bermotosikal pada 2001 sehingga 2006, 2008, 2010 dan 2012 dan 2013; diikuti Jelajah Pulau pada 2004 dan 2007; Jelajah Perkampungan Orang Asli 2005; Jelajah Pendalaman 2009; Kembara Berkeretapi pada 2010 manakala pada 2011 penjelajahan menggunakan tiga kenderaan iaitu motosikal berkuasa tinggi, pacuan empat roda dan bot.Ia akan diiringi isteri baginda, Tuanku Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bersama enam putera dan puteri iaitu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail; Tunku Aminah; Tunku Abdul Jalil; Tunku Idris dan Tunku Abu Bakar bersama pemimpin negeri dan ketua jabatan akan menjelajah ke seluruh negeri ini, sejauh 858 kilometer.
Majlis bermula di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru dan berakhir di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, Nusajaya selain pelbagai acara diatur di setiap laluan yang disinggah baginda.Antaranya, pelancaran kempen Johor Bebas Asap Rokok, senam robik, pameran kesihatan dan permainan rakyat selaras tema KMJ kali ini yang mempromosi gaya hidup sihat selain keunikan sebuah van yang akan mengagihkan aiskrim secara percuma kepada rakyat.
Pada hari pertama, Sultan Ibrahim dan rombongannya akan mengembara sejauh 303 kilometer dari Johor Bahru ke Pasir Gudang, Kulaijaya, Kota Tinggi dan Mersing.Diikuti menjelajah 235 kilometer pada hari kedua dari Mersing ke Kluang, Batu Pahat dan Segamat dan hari keesokannya, melalui perjalanan 163 kilometer dari Segamat ke Ledang, Muar, Batu Pahat dan mengakhiri kembara pada hari keempat sejauh 157 kilomter dari Batu Pahat ke Pontian seterusnya tamat di Nusajaya.
Sumber :
Sinar Harian